Monday, September 17, 2012

Rumah kasih sayang

SUASANA sambutan hari raya baru-baru ini memberi suntikan keceriaan buat anak-anak dan keluarga yang menghuni di RMH ini.

Sebenarnya RMH berfungsi sebagai 'rumah-di luar rumah' untuk keluarga yang mempunyai anak-anak berpenyakit kronik dan sedang menerima rawatan di hospital-hospital berdekatan.

RMH di PPUKM adalah program Rumah Ronald McDonald yang pertama dan satu-satunya di Asia.

Di dalamnya terdapat 19 buah bilik tidur lengkap dengan pendingin hawa dan kelengkapan lain seperti bilik permainan, bilik menonton televisyen, bilik dobi dan ruang dapur dan makan.

Pengerusi Ronald McDonald House-PPKUM, Datin Fadillah Othman berkata, lokasi RMH ini memang dibina berdekatan dengan wad pediatrik bagi memudahkan ibu bapa untuk membawa anak ke rawatan susulan.

Katanya, di RMH sejumlah keluarga yang telah datang dari jauh dan menetap bersama di bawah satu bumbung ketika anak-anak mereka yang menghidapi penyakit kronik sedang menerima rawatan di hospital-hospital tersebut.

"Di sini ramai yang menjalani rawatan kanser. Seperti yang diketahui rawatan kanser memerlukan banyak kitaran yang perlu dijalani.

"Kami memang mahu memudahkan ibu bapa dan maka sebab itulah diadakan rumah ini. Biar ibu bapa dapat menjaga anak yang sakit dengan keadaan yang selesa," katanya ditemui pada majlis rumah terbuka bagi meraikan penghuni RMH .

Hadir sama pada majlis sambutan hari raya tersebut ialah Presiden Rumah Kebajikan Ronald McDonald Malaysia, Chan Chee Chin.

Fadillah berkata, rumah ini sebenarnya banyak dibina di seluruh dunia namun di Asia hanya terdapat di PPUKM ini.

Sementara itu, Chee Chin dalam ucapannya berkata, pihaknya memahami akan kesukaran emosi dan fizikal yang dihadapi oleh para pesakit dan ahli keluarga mereka.

"Oleh sebab itu dengan adanya program seperti ini, kami berharap dapat meringankan beban mereka dengan menyediakan penempatan sementara yang selesa seperti di rumah.

"Mereka boleh tinggal di RMH tanpa dikenakan sebarang kos atau dengan bayaran minimum RM5 semalam. Ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan untuk membayar kos penempatan dan pengangkutan bahkan memudahkan keluarga-keluarga untuk meluangkan lebih masa bersama.

"Dengan cara ini ia membantu anak-anak mereka untuk sembuh dengan lebih baik dan cepat," katanya.

Chee Chin juga menyeru ahli keluarga yang mempunyai anak yang sedang menjalani rawatan penyakit di PPUKM menggunakan kemudahan ini.

RMHC juga berharap untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dan sukarelawan kami untuk memainkan peranan yang aktif dalam RMH sebagai sebahagian dari usaha untuk menjadikan RMH lebih dekat dan bermakna kepada masyarakat setempat.

"Kami berasa bahawa perayaan Hari Raya Aidilfitri seperti hari ini adalah satu langkah yang tepat bagi menyuntik kegembiraan dengan meraikan anak-anak tersebut serta keluarga mereka bersesuaian dengan semangat hari raya," jelas beliau lagi.

Dalam majlis sambutan hari raya itu RMH turut meraikan lebih 15 keluarga yang menetap di rumah tersebut bersama 40 orang anak-anak yatim Rumah Nur Hikmah, Kajang, Selangor, pekerja McDonald's Malaysia dan PPUKM.

Keluarga-keluarga ini terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak yang sedang menerima rawatan di PPUKM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: