Monday, September 17, 2012

Ditipu pengedar dadah

TIADA apa lagi yang dapat dilakukan oleh Farah (bukan nama sebenar) kecuali merelakan setiap kejadian yang berlaku pada dirinya.

Masih muda, baru berumur 20 tahun, Farah, yang tidaklah begitu sempurna pemikirannya (dilahirkan lembam), terpaksa 'dijauhkan' daripada keluarga untuk menutup rahsia selepas mengandung enam bulan tanpa nikah.

Keluarganya yang menemui jalan buntu terpaksa menyerahkan Farah ke Rumah Sinar Salam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, untuk dijaga sementara sehingga melahirkan anaknya.

''Kadang-kadang saya rasa ini semua takdir yang yang perlu ditempuh dan saya reda. Saya sebenarnya bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang terumbang-ambing.

''Saya sendiri bukanlah seorang gadis yang lepas bebas sewenang-wenangnya. Saya hidup mengikut aturan dan seboleh-bolehnya ingin menjadi muslimah yang sejati," tutur Farah satu-satu ketika ditemui di rumah perlindungan untuk wanita dan anak-anak berkenaan.

Dia yang berasal dari Johor Baharu, Johor ini, kecundang di tangan lelaki pada usia 17 tahun sebaik habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ditipu.

''Saya ini tidak banyak kawan kak. Hidup saya banyak dihabiskan di rumah malah saya bukanlah seorang yang pandai. Saya tahu kekurangan diri saya.

''Tapi saya kenal halal dan haram sesuatu perkara. Apa yang saya mahu lakukan ialah berbuat baik untuk keluarga dengan mencari pekerjaan," katanya.

Farah bercerita, keinginan untuk bekerja telah menemukan dia dengan seorang lelaki berusia 25 tahun yang beria-beria mahu membantunya mencarikan pekerjaan di sebuah kilang berdekatan rumah.

''Salah saya ialah saya tidak memberitahu ibu dan bapa saya mengenai pertemuan dan perbincangan kami untuk keluar mencari pekerjaan.

''Pada pendapat saya, dia baik orangnya dan tidak kisah dengan keadaan saya yang agak lambat untuk menangkap butir bicara apa yang diperkatakan," kata Farah.

Pada hari yang dijanjikan, Farah telah membonceng motor bersama lelaki itu ke sebuah tempat yang hanya diketahui oleh lelaki berkenaan, kononnya untuk menghadiri temuduga.

Tiba di sebuah kedai makan, lelaki berkenaan mengajak Farah bersarapan bersamanya dan dia akur kerana lelaki itu menegaskan masih awal lagi untuk ke kilang berkenaan.

Sampai satu peringkat, Farah diserahkan segelas minuman dengan sebiji pil.

''Saya tidak tahu pil apa. Saya ingatkan gula-gula sakit tekak. Saya pun makan pil itu yang menjadikan saya khayal dan hampir pitam.

''Memandangkan saya rasa tidak sihat, saya mengajaknya untuk pulang sahaja. Dia pun menghantar saya pulang tetapi tidaklah sampai di rumah hanya separuh jalan dan dia kemudian memberi nombor telefonnya.

''Katanya, kalau rasa tidak sihat lagi telefon dia segera," katanya.

Semenjak hari itu Farah berkata, dia merasa tidak sedap badan. Asyik rasa murung, berpeluh dan demam. Badan rasa sakit-sakit, sekejap rasa sejuk dan kemudian rasa tidak keruan.

Apabila keadaan ini berlaku, Farah terus menelefon lelaki berkenaan dan dia sedia bertemu dengannya.

''Dalam pertemuan itu dia mengatakan saya boleh sihat sekiranya saya memakan pil yang dibawanya dengan syarat saya perlu membayarnya.

''Pada tempoh bulan pertama, saya dapat membayarnya kemudian duit saya habis dan saya tidak mempunyai wang lagi untuk membeli pil berkenaan," katanya yang merupakan anak keempat daripada tujuh adik-beradik itu.

Apabila ditanya tidakkah keluarganya mengesyaki sesuatu melihat perubahan sikapnya, Farah menjelaskan, keluarganya ada bertanya dan ingin membawanya ke klinik namun Farah menolak atas alasan sudah ada 'ubat'.

Farah berkata, dirinya yang selalu berada di rumah menyebabkan keluarga tidak mengesyaki apa-apa cuma sekadar mungkin akibat perubahan hormon selepas demam SPM berakhir.

Malang menimpa Farah apabila dia 'sakit' semula dan dek kerana ketiadaan wang, Farah dipaksa menggadai maruahnya untuk membayar harga 'ubat' yang disediakan oleh lelaki terbabit.

Rentetan daripada itu, Farah akhirnya merasa kelainan pada dirinya dan kemudian disahkan mengandung.

''Masa itu keluarga saya terutama ibu dan bapa saya jadi kelam kabut. Saya dimarah dan dipukul. Bapa saya cuba menjejak lelaki berkenaan dengan menghubungi nombor yang diberikan, malangnya nombor itu sudah tiada dalam perkhidmatan.

''Setelah perbincangan dilakukan dan melihatkan saya semakin teruk akibat ketagih dadah, saya kemudiannya dihantar ke Sinar Salam untuk membantu menghilangkan ketagihan dadah," jelasnya.

Setelah beberapa bulan, Farah selamat melahirkan cahaya matanya seorang bayi perempuan yang kini berusia sembilan bulan.

Malang bagi Farah kerana dia masih terus terpaksa menjalani terapi untuk menghilangkan ketagihan terhadap najis dadah.

''Saya rasa sedih kak, orang OKU (orang kelainan upaya) macam saya pun ada orang ambil kesempatan.

''Saya berazam selepas saya pulih saya akan jaga anak saya sendiri setelah balik ke Johor Baharu nanti," katanya yang memberitahu anaknya kini dijaga oleh ibu dan bapanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: