Monday, September 17, 2012

Percutian cita rasa mewah di Grand Lexis

Kolam renang peribadi bagi tetamu yang mahukan ketenangan sepenuhnya sepanjang percutian di Grand Lexis.

GRAND Lexis merupakan destinasi penginapan yang paling ideal bagi individu bercita rasa tinggi untuk berehat dalam suasana tenang dan mewah sekali gus melengkapkan percutian keluarga mahupun berkumpulan apabila singgah ke pantai peranginan negara, Port Dickson.

Kunjungan ke hotel lima bintang itu pasti mempersonakan siapa sahaja terutama menerusi penyediaan bilik serta persekitaran resort yang bakal memberikan pengalaman percutian tidak dapat dilupakan.

Apa tidaknya, kesemua 317 bilik tidur yang tersedia di hotel berkonsep mewah itu dilengkapi dengan kolam renang peribadi.

Kolam renang peribadi di setiap bilik itu dianggap antara daya tarikan bagi mereka yang mahukan ketenangan beristirahat tanpa sebarang gangguan, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang ingin berbulan madu.

Bukan itu sahaja, hiasan dalaman, aturan dan ruang bilik tidur seluas 121 meter persegi serta pelbagai kemudahan lain pasti memberi keselesaan dan kepuasan optimum kepada pengunjung.

Malah, Grand Lexis yang terletak hanya dua kilometer dari pekan Lukut itu turut mempelbagaikan pilihan tempat penginapan yang dibahagikan kepada ruang bilik di bangunan utama hotel, taman berlandskap, taman dan calet yang menganjur ke laut.

Dengan kawasan seluas 10 hektar membolehkan hotel berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi untuk pengunjung termasuk restoran, karaoke, sauna, perpustakaan mini dan gimnasium.

Aktiviti riadah lain yang boleh disertai pengunjung ialah bola sepak pantai, bola tampar, memanah, menunggang basikal, basikal tiga roda, memancing serta skuba.

Bagi pengunjung yang mahu menjamu selera, mereka boleh mendapatkan khidmat pesanan dan penghantaran makanan ke bilik. Atau jika tidak, aturkan langkah ke Restoran Duyung, Pool Cafe, Lanun Bar dan Restoran Genn Japanese.

Di situ, pelbagai pilihan masakan sama ada tradisional tempatan, hidangan barbeku, sajian Barat dan Jepun disediakan.

Pengurus Besar Grand Lexis, Chan Hon Ming berkata, hotel yang telah beroperasi hampir dua tahun itu sentiasa mengutamakan aspek keselesaan, kebersihan, keselamatan dan menyediakan pelbagai kemudahan khusus buat pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara.

''Kami mahu mereka tinggal di sini dalam suasana yang menyeronokkan sekali gus pulang dengan pengalaman bercuti yang tidak boleh dilupakan.

''Selari dengan motto hotel ini, kita sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan kami.

''Meskipun Grand Lexis menyediakan percutian berkonsep mewah, namun pihak kami masih menawarkan tempat penginapan pada harga yang berpatutan kepada pengunjung," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Di samping itu, Hon Ming menambah, Grand Lexis turut menjadi lokasi pilihan bagi sektor koporat menjalankan program seperti hari keluarga, seminar, bengkel serta persidangan.

''Kita juga sedia untuk menyediakan kemudahan serta perkhidmatan kepada pasangan mengadakan resepsi serta majlis perkahwinan," ujarnya sambil menambah hotel itu menerima sijil kepujian daripada TripAdvisor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: