Monday, September 17, 2012

Dua malam di Taman Negara

Selain berseronok dengan aktiviti yang disediakan, pengunjung Taman negara turut berpeluang menyingkap keunikan kehidupan Orang Asli.

IKA sebut pasal bercuti mungkin ramai yang menggambarkan lokasi seperti pulau, pantai, tanah tinggi mahupun luar negara. Berlainan pula dengan kisah percutian Nur Hidayu Khairul Azman.

Dia yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta di ibu kota cuba lari daripada hiruk pikuk kota metropolitan Kuala Lumpur ke Taman Negara Pahang.

Mari kita ikuti kisah percutian ala-ala 'back to nature' Hidayu bersama lima lagi rakan kolejnya selama tiga hari dua malam:

Dari Kuala Lumpur, kami bergerak menaiki kereta menghala ke Lebuhraya Pantai Timur dengan jarak perjalanan 252 kilometer hanya mengambil masa hampir empat jam.

Sampai sahaja di Kuala Tahan pada pukul 4.00 petang, kami terus bergerak ke hostel yang merupakan sebahagian daripada pakej yang ditawarkan.

Sebaik meletakkan beg, aktiviti bebas pun bermula. Salah seorang rakan kami terus tertidur sebaik meletakkan kepala di atas bantal manakala yang lain terus mulakan aktiviti bergambar.

Maklumlah ini merupakan pengalaman pertama kami ke Taman Negara.

Selepas makan malam, tepat pukul 8 malam kami berkumpul untuk memulakan aktiviti pertama ekspedisi ini.

Kami menaiki sebuah bot dan dibawa ke lokasi Night Jungle Walk. Dalam keadaan gelap gelita, kami bergerak dengan hanya berbekalkan cahaya lampu suluh.

Nasib baik, sang purnama membantu. Cahaya bulan ini nyata menerangi kegelapan kami yang sedang bergerak ketakutan.

Sebaik sahaja sampai di Bumbun Tahan, kami dikejutkan dengan panorama yang agak jarang dilihat di bandar.

Lokasi ini memudahkan kami melihat jutaan bintang yang sedang berkelip-kelip ibarat berada di lokasi asing.

Sedang asyik menikmati keindahan malam, kami pun bergerak pulang ke asrama pada pukul 11 malam.

Hari kedua, selepas bersarapan dengan menu nasi lemak dan air teh-o, kami dibawa ke Canopy Walkway sejauh 1.5 kilometer.

Mungkin pembaca sependapat dengan saya bahawa jarak tersebut agak dekat tetapi setelah melalui perjalanan meredah hutan belantara Taman Negara itu pasti kamu menyesal jika terlupa membawa minuman.

Ini kerana, titian kanopi sepanjang 500 meter dan ketinggian 30 meter merupakan titian paling panjang dan tertinggi di dunia.

Bagaimanapun kami terhibur dengan bunyi arus sungai yang berderau, melihat kilauan ikan berenang dicelah-celah batu dan menikmati kedinginan air dari Gunung Tahan.

Tepat pukul 1 tengah hari, kami pun menjamu selera dengan menu nasi campur sebelum melakukan aktiviti merentasi sungai yang dinamakan rapid shooting menggunakan bot panjang.

Di sepanjang perjalanan kami sempat mengambil gambar suasana perkampungan Orang Asli yang terdapat di tepi sungai.

Menyusuri Jeram Panjang, kami singgah sebentar ke Nusa Camp untuk aktiviti mandi-manda dan BBQ pada sebelah malam.

Masuk sahaja hari ketiga, kami sempat membeli cenderahati yang terletak berdekatan Taman Negara sebelum kami check-out pada pukul 12 tengah hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: