Tuesday, September 4, 2012

Pengertian merdeka buat Amanda

Amanda ceria menyambut Aidilfitri dan hari kemerdekaan negara.

MESKIPUN berada di minggu kedua Syawal, sambutan Aidilfitri masih meriah. Bulan ini lebih bermakna apabila negara turut meraikan kemerdekaan yang ke-55 pada Jumaat lalu.

Begitu juga buat penyanyi berkulit mulus, Amanda Imani yang menganggap perayaan berganda ini sungguh bermakna buat dirinya.

Bagi Amanda, dia dan keluarga menyambut Aidilfitri dan kemerdekaan dengan cara yang sederhana tetapi meriah.

Walaupun Amanda tidak pernah berada dalam zaman penjajahan tetapi dia tetap merasai keperitan orang dulu mendapatkan kemerdekaan melalui sejarah.

“Bagi saya merdeka adalah negara kita bebas daripada penjajahan, rakyat bebas berfikir dan kita boleh lakukan apa sahaja yang diingini selagi tidak melanggar undang-undang negara. Walaupun pelbagai kaum, kita semua rakyat Malaysia.

“Makna merdeka adalah tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh," katanya yang akan mengibarkan bendera Malaysia di rumah dan di kereta.

Ditanya apa perasaannya menyambut kemerdekaan, dia bangga dengan Malaysia dan transformasi yang telah dikecapi.

Amanda turut berkongsi pendapatnya tentang kemerdekaan di kalangan generasi muda sepertinya.

“Setiap generasi muda mempunyai pendapat yang berbeza. Ada yang masih menghayati kemerdekaan, ada yang anggap merdeka hanya sebuah acara untuk bergembira sahaja dan menyaksikan konsert hiburan. Saya rasa semangat merdeka itu masih ada cuma pengertian merdeka itu berbeza-beza," katanya penuh semangat.

Sempena sambutan merdeka, Amanda mempunyai beberapa jemputan nyanyian untuk membuat persembahan.

“Kali ini sambutan Aidilfitri dan merdeka sekali. Jadi, jadual saya sangat padat tetapi saya cuba membahagikan kerjaya, diri sendiri dan keluarga dengan sebaik-baiknya," katanya yang baru sahaja meraih anugerah Penampilan Artis Terbaik daripada Organizacion de Festivales Europeos de Musica (ORFEUM) dan World Association of Festivals and Artists (WAFA) sempena pertandingan Universong: The Canary Island International Song Festival (Festival Universong) yang berlangsung di Sepanyol pada 21 Julai lalu.

Aidilfitri

Bercerita tentang sambutan raya, Amanda masih merasakan keseronokannya.

“Aidilfitri tahun ini amat istimewa kerana saya dapat bersama menyambut Syawal dengan semua ahli keluarga di Kuala Lumpur. Saya masih merasai kemeriahan menyambut 1 Syawal lalu. Saya bangun awal di pagi raya untuk bersolat subuh dan menyiapkan diri dan juga juadah raya sebelum bergegas ke masjid bersama ahli keluarga," katanya yang mempunyai kenangan manis dan pahit di hari raya.

Tambahnya, jika dahulu, dia suka mendapat duit raya tetapi sekarang Amanda pula memberi duit raya kepada kanak-kanak.

Antara peristiwa sedih yang masih tersemat di ingatannya, dia pernah terluka teruk main mercun.

“Walaupun sibuk memenuhi undangan nyanyian, saya tetap meluangkan masa membuat biskut raya dan aising untuk kek cawan. Saya juga membeli bunga-bunga segar untuk menghias rumah. Saya paling suka bunga sundal malam yang harum," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: