Tuesday, September 4, 2012

Serah harta kerana cinta

MENARIK sungguh kisah suami menabung konon untuk simpanan hari tua bulan lalu. Suami saya juga macam itu akhirnya apabila simpanan tambah banyak, kami anak-beranak ditinggal kering-kontang, sedangkan dia enjoy dengan isteri baru.

''Ketika ditinggalkan, saya langsung tak ada simpanan. Dengan gaji tak sebanyak mana, saya uruskan tiga orang anak yang masih bersekolah rendah dan menengah. Bayangkan, ketika itu kami baru tiga tahun beli rumah atas nama bersama. Kalau saya tak terus bayar boleh jadi bankrap.'' Itu cerita Normarina dalam e-melnya dan ketika kami berbual baru-baru ini.

''Saya tak pernah menduga perkahwinan saya jadi seperti ini sebab kami kahwin suka sama suka, direstui keluarga. Kami ada anak lelaki dan perempuan, pendek kata semua lengkap, macam keluarga bahagialah. Tetapi akhirnya saya menderita.

''Sejak bercinta lagi suami saya, Ris terlalu menjaga peribadi saya, tentang pakaian, aksesori, penampilan, semua dia ambil tahu dan nasihatkan saya apa yang patut supaya dilihat cantik dan anggun. Kerana sikapnya terlalu mengambil berat hal saya, saya jatuh hati, ikut saja apa nasihatnya. Pendek kata, semua cakapnya benar belaka.

''Semua persiapan bertunang, berkahwin, hantaran, belanja hangus mengikut pilihannya. Tanpa saya sedari, dari situlah dia mula mengira duit ringgit saya, gaji dan seterusnya simpanan saya. Saya pula dek terlalu percaya, semua tentang diri ini saya ceritakan kepadanya. Umur dah 25 tahun tentulah saya ada simpanan.

''Tambahan pula sebelum kahwin saya tinggal dengan emak dan ayah. Tak perlu bayar sewa rumah, makan minum ditanggung, kalau bagi emak pun tak banyak. Lepas tu emak simpan sedikit duit pemberian saya itu dalam ASB, kata emak untuk masa depan sebab saya bukan kakitangan kerajaan, tak ada pencen.

''Emak juga galakkan saya buat pinjaman bank untuk ASB. Oleh kerana emak bekerja, setiap bulan duit gajinya emak simpan untuk kami adik-beradik. Biarpun sedikit. Jadi memang saya ada simpanan dan tambah banyak bila buat pinjaman bank.

''Kata emak biar sikit lama-lama banyak juga, sebab kami masih muda, banyak masa untuk menabung. Daripada simpanan itulah emak berjimat belikan barang kemas lengkap sepersalinan ketika kami adik-beradik kahwin.

''Malangnya, bila berkawan dengan Ris saya lupakan nasihat emak. Saya utamakan apa kata Ris. Saya hentikan pinjaman bank untuk ASB. Lebih teruk untuk hantaran belanja hangus saya keluarkan duit simpanan ASB bagi pada Ris bantu dia buat duit hantaran. Kata Ris sebagai suami isteri kita mesti tolong-menolong, jujur, setia dan mendengar setiap nasihat suami. Saya akur. Cinta punya pasal saya jadi buta.

''Ketika berkahwin simpanan saya zero, habis saya keluarkan untuk buat belanja persiapan kahwin dan hantaran. Bodohnya, semua duit tu saya beri pada Ris. Semua saya lakukan tanpa pengetahuan emak.

''Sebenarnya belum kahwin lagi Ris telah minta saya serahkan semua pendapatan bulanan saya kepadanya untuk dia uruskan. Bila saya tanya buat apa, katanya inilah cara terbaik bila berkahwin. Sikit sama sikit, banyak sama banyak kita dapat rasa. Bukan saja gaji Ris ambil, malah bonus juga katanya untuk tabungan keluarga.

''Lepas kahwin Ris tukar kereta baru, lebih besar dan selesa. Saya masih guna kereta kecil untuk mudah pergi kerja. Bila belanja bertambah, Ris minta semua duit gaji dan bonus saya kononnya untuk mudahkan dia uruskan keluarga.

''Ris uruskan dari A sampai Z. Saya tak pernah bayar sewa rumah, bil, petrol, ansuran kereta dan makan minum kami begitu juga bila lahir anak pertama. Melihat kepada kebijaksanaan Ris mengurus, saya rasa amat bertuah.

''Demikianlah bahagianya hidup saya, hingga anak bertambah tiga orang. Tak seperti adik-beradik lain, sering lewat bayar bil dan sebagainya. Mereka gelar Ris suami mithali sebab bertanggungjawab. Tetapi saya tak pernah ceritakan bahawa semua gaji dan bonus saya serahkan pada Ris. Kata Ris tak baik ceritakan urusan dalaman keluarga pada orang lain walaupun pada emak bapa sendiri. Saya akur sebab percayakan Ris.

''Tetapi langit tidak selalunya cerah. Saya sangka panas hingga ke petang, tapi hujan di tengah hari. Setelah usia perkahwinan mencecah 15 tahun, Ris mula buat hal.

''Saya mula sedar bila isteri kawan Ris bercerita Ris nak kahwin lagi. Memang saya tak percaya. Sebab Ris baik. Kawan bercerita sebab kesiankan saya yang tertipu. Lemah lutut dan nak gugur jantung saya, tetapi saya bawa bertenang. Nasib ada emak tempat bercerita. Saya curahkan segala isi hati.

''Emak nasihatkan saya tenang dan cari kekuatan di tikar sembahyang.

''Mulai saat itu saya mula berfikir tentang anak-anak dan tidak lagi beri gaji pada Ris. Akibatnya Ris bukan saja marah, malah serahkan semua urusan keluarga pada saya. Katanya saya dah pandai sangat, buatlah sendiri. Dia juga suruh saya bayarkan kad kreditnya tetapi saya tolak, alasan saya duit tak cukup. Lainlah kalau Ris serah gajinya pada saya. Marah sungguh dia.

''Walaupun rahsianya saya dah tahu, tetapi saya tak tanya. Saya suruh anak-anak minta belanja sekolah dan segala keperluan pada Ris. Pastilah dia tolak. Tapi anak-anak pandai pujuk ayah mereka, akhirnya Ris lemah dan terpaksa keluarkan duit untuk anak.

''Pada waktu sama, cerita Ris nak kahwin semakin hangat, ada kata dia dah nikah di sempadan. Saya diamkan diri sebab nak cari jalan bercerai cara baik. Namun bila saya tanya, mulai saat itu saya jadi musuh besarnya. Akhirnya kami bercerai. Janji bagi nafkah dalam mahkamah tinggal janji.

''Mujurlah emak ada di sisi. Saya pindah duduk rumah emak sebab Ris tak mahu bantu bayar sewa dan tak bagi nafkah. Saya sewakan apartmen kami untuk bayar ansuran bank. Ris minta sewa dibahagi dua tetapi saya minta dia bayar nafkah. Lagipun saya kena bayar hutang bank. Dia terdiam.

''Walaupun sakit hati tetapi saya tak boleh marahkan Ris saja kerana saya juga yang bodoh serahkan semua duit gaji dan simpanan. Kini, sudah tiga tahun jadi ibu tunggal, saya terpaksa uruskan keluarga sendiri. Inilah bahananya ikut kata suami tanpa usul periksa. Akhirnya diri sendiri binasa.

''Kepada anak gadis yang baru berumahtangga, hati-hatilah dan jangan jadi seperti saya. Saya tak kata semua lelaki ada niat jahat tetapi beringatlah sebelum kena,'' nasihat Normarina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: