BERGAYA... Stephani dan pengiringnya menari ala Gangnam Style.
SEJAK rakaman majlis perkahwinan menjadi kegilaan orang ramai, pasangan pengantin bersaing mencari cara yang lebih ganjil dan menarik bagi menjadikan acara perkahwinan itu benar-benar menarik.
Antara mereka ialah Stephani Nguyen dan Jeremy Ueno yang mendapat idea untuk menyesuaikan lagu dan klip video K-pop paling popular di YouTube masa kini, untuk menghasilkan video upacara perkahwinan mereka yang menggelikan hati.
Pasangan itu memberi penghormatan kepada Gangnam Style, single popular raper Korea Selatan, Psy yang sudah ditonton lebih 140 juta kali sejak mula dimuatnaikkan pada 15 Julai lalu.
Pasangan itu meniru tarian dalam video berkenaan dengan menari di beberapa kawasan di Bay, California, termasuk di tempat letak kereta, dalam bas dan juga di jalan raya.
Tetamu mereka juga kelihatan dalam video yang dihasilkan dengan sungguh baik oleh Lightbulb Videoography, memakai pelbagai fesyen ‘gila-gila’.
Kebanyakan adegan hampir sama dengan video terbitan Psy (Park Jae-Sang), termasuk adegan tetamu menari dalam lif ketika pintunya terbuka dan pengantin lelaki berenang dalam kolam renang, sama seperti rapper superstar itu.
Pengantin perempuan itu dilihat ditabur dengan konfeti ketika menari dengan berbaju menampakkan pusat dan berseluar manakala adegan lain menunjukkan pengantin lelaki dan rakannya memakai tuala di dalam sauna.
Pada penghujung video, setiap peserta mengenakan pakaian hari perkahwinan masing-masing dan menuju ke meja utama majlis berkenaan sambil menari.
Video yang diterbit secara profesional itu berakhir dengan beberapa adegan pilihan yang menggelikan hati.
Video tarian gila-gila Psy sebelum ini sudah ditiru, termasuk oleh sekumpulan rakan yang melakonkan semula video Psy sebagai pengguna laman web Chat Roulette.
Satu lagi versi yang dina makan Lifeguard Style membabitkan 14 kakitangan yang menari dan terjun ke dalam kolam renang tempat mereka bekerja di California. Bagaimanapun, semua anggota kumpulan itu dipecat oleh majikan mereka.
‘Gangnam Style’ adalah slanga Korea yang merujuk kepada gaya hidup mewah yang berkait dengan daerah Gangnam, kawasan mewah dan ranggi di Seoul.
Seni katanya mempunyai unsur sindiran kepada mereka yang gemar menunjuk-nunjuk di dalam kehidupan. Psy menggambarkan dirinya sebagai playboy dalam video klip itu manakala latar belakang Gangnam sebagai jalan cerita menunjukkan daerah itu terkenal dengan kehidupan malam penduduk kaya yang gemar berparti liar di kelab malam yang banyak ditemui di daerah itu.
Video itu mendapat sambutan hangat menerusi rangkaian sosial Internet dan dikongsi oleh selebriti di seluruh dunia.
Los Angeles Times berkata, lagu itu seolah-olah ‘dapat menguasai dunia’ manakala majalah Time berkata, ‘sukar untuk tidak melihatnya berulang kali’.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: