Sunday, September 16, 2012

Sisi indah Lombok

pix_middle

BUMI Gora, Pulau Seribu Masjid atau Bumi Rahmat. Namakan apa saja, namun daya tarikannya tetap sama apabila anda berkunjung ke sebuah pulau di daerah Nusa Tenggara Barat, Pulau Lombok.

Bagi rakyat negara ini, ia tentu lebih sinonim dengan beberapa kes anak gadis dibawa lari jejaka Sasak yang terkenal dengan budaya Merariq, iaitu melarikan anak gadis untuk berkahwin yang menjadi amalan sejak zaman dulu lagi.

  • Foto

    DAMAI...suasana di Pantai Tanjung Aan, Lombok Utara.

  • Foto

    SUMBER EKONOMI...penduduk kampung bergotong-royong membanting padi di Lombok Selatan, berhampiran kaki Gunung Rinjani.

  • Foto

    PELUANG...penulis bergambar kenangan berlatar belakangkan Tanjung Aan.

  • Foto

    TERUJA...penulis bersama rombongan yang mengunjungi Pulau Lombok baru-baru ini.

  • Foto

    REZEKI...Sanaah memecahkan batu untuk dijual sebagai sumber pendapatan.

Itu mungkin sebahagian kisahnya, tetapi yang penulis ingin kongsi bersama ialah satu sisi lain pulau berkeluasan 4,725 kilometer persegi ini yang mempunyai dua juta penduduk. Ia dianugerahkan tarikan pelancongan, memukau mata siapa saja yang bertandang ke sini.

Pantai Senggigi, antara ‘syurga’ pemandangan pantai terletak 10 kilometer dari kota pesat Mataram yang menjadi tumpuan pelancong asing, membuatkan penulis terlupa seketika episod hitam membabitkan puluhan rakyat negara ini yang dilarikan dan hidup menderita di Lombok.


Puluhan hotel bertaraf lima bintang dengan reka bentuk menarik menjadikan kawasan pelancongan tertua di Lombok itu dikelaskan sebagai ikon pulau itu dengan suasana waktu malam yang ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti, termasuk menikmati alunan muzik daripada penyanyi tempatan yang setia menunggu pendengar seawal jam 7 malam.


Selain itu, kecantikan pemandangan di Pantai Kuta dan Tanjung Aan juga sukar dilupakan tatkala terasa masih belum puas menikmati ketenangan di Senggigi.

Membasahkan tekak dengan air kelapa yang baru dipetik membuatkan ahli rombongan berasa terbuai-buai dengan tiupan angin diselang seli dengan suara kanak-kanak bermain di gigi pantai.

Di satu sudut, kelihatan beberapa pemuda kampung berdekatan bermain papan luncur, pemandangan biasa dilihat di sepanjang pantai bersih itu yang secara tidak langsung menjana pendapatan mereka apabila ia mula menarik perhatian pelancong asing, khasnya peminat sukan luncur air.

Ahli rombongan yang membabitkan beberapa wakil media diberi penerangan oleh pegawai pemasaran Garuda Air, Sally Tan mengenai beberapa kawasan tumpuan, termasuk lokasi elit di Lombok Lodge yang mengenakan caj RM1,000 satu malam hinggalah ke hotel bajet di sekitar Lombok Utara.

Yang membuatkan penulis kagum ialah bagaimana pulau yang bakal menjadi pesaing pusat pelancongan Bali itu diselia dengan baik dengan peruntukan 16 juta rupiah (kira-kira RM5,600) sebulan, termasuk pembayaran gaji kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan, Nusa Tenggara Barat.

Meminjam kata-kata Perancang Kebudayaan dan Pelancongannya, A Guiser, sepanjang tahun lalu saja, 270,000 pengunjung menginap di hotel lima bintang dan ia meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh dua tahun berbanding hanya 140,159 orang pada 2008.

Yang pasti, ia semakin meningkat setiap hari dengan lebih banyak kawasan baru dibuka untuk pengunjung dan antara tempat yang mesti dikunjungi ialah tiga pulau kecil yang digelar gili, iaitu Terawangan, Meno dan Air.

Bagaikan penempatan asing dan istimewa, Gili Terawangan yang mempunyai 1,200 penduduk, paling menjadi tumpuan pelancong asing, khususnya dari Eropah, ‘bersidai’ di sepanjang laluan utama.

Mengambil masa lebih kurang 15 minit dari tanah besar, pulau kecil ini unik kerana pengunjung ke situ dilarang menggunakan kenderaan berenjin, sebaliknya bergerak menggunakan basikal atau kereta kuda.

Bayangkan, kita langsung tidak melihat kereta atau motosikal, jauh sekali mendengar deruman enjin kenderaan. Yang ada hanya orang ramai berjalan kaki, sebahagiannya berjemur di pantai, termasuk ada yang menikmati sajian di restoran.

Rombongan kami turut dibawa menyusuri pantai melalui jalan berbukit di Pantai Malimbu dan di sini, pemandangan lautnya indah dan belum diusik oleh mana-mana projek pembangunan seperti di beberapa tempat lain.

Ketika bas persiaran berhenti untuk sesi bergambar, mata saya tertumpu kepada seorang ibu bersama anaknya yang tekun memukul batu bata yang kemudian dilonggok di satu kawasan.

Dengan bibir tidak lekang senyuman, Sanaah, 35, berkongsi ceritanya yang terpaksa menggunakan kudrat untuk memukul batu besar menjadi serpihan kecil untuk dijual.

Di sebelahnya, Irmawati, 21, yang juga anak sulungnya membantu memecahkan ketulan batu untuk dijual pada harga sekitar RM7 untuk setiap bakul.

Terletak di tepi jalan menuju Pantai Malimbu, Sanaah berkata, dia menghabiskan masa seharian melakukan kerja itu bagi menyara keluarganya dengan tiga anaknya yang masih kecil.

Lantas penulis teringat bagaimana senang dan mewahnya kita di Malaysia memperoleh pendapatan lumayan, perbezaan yang nyata begitu jauh jika dibandingkan situasi Sanaah yang bersusah payah mengerah kudrat di bawah terik mentari.

Menyorot sejarah, sekitar 1960-an dikatakan bumi Lombok menghadapi kemarau panjang sehingga menjejaskan kehidupan penduduk yang majoritinya mencari rezeki dengan menanam padi.

Puas mencari jalan keluar masalah itu, gabenor waktu itu, Gatot Suherman memperkenalkan sejenis padi digelar ‘gugur rancah’ yang boleh ditanam tanpa menggunakan air, dan ia bagaikan satu rahmat kepada penduduk pulau berkenaan kerana tidak lagi kebuluran akibat kekurangan beras.

Apapun, peluang berada di Lombok adalah pengalaman baru kepada penulis yang tidak akan dilupakan kerana di sebalik pelbagai isu membabitkan pemuda pulau itu, timbul rasa kagum betapa Bumi Gora dikurniakan pemandangan indah untuk dinikmati pelancong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: