ANTARA tarikan utama Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan adalah makanan, bangunan bersejarah dan keindahan pantainya.
Tidak ketinggalan kehijauan bentuk muka buminya yang menyajikan misteri tersendiri sekali gus menyediakan pengalaman sukar dilupakan kepada pelancong.
Justeru, pengembaraan di hutan hujan Khatulistiwa adalah antara daya tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke Pulau Mutiara.
Salah satu lokasi yang boleh diterokai adalah Jerejak Rainforest Resort yang terletak di tengah-tengah kehijauan alam semula jadi di Pulau Jerejak.
Kunjungan ke situ sudah pasti akan menyentuh jiwa pelancong dan memberi pengalaman unik serta berbeza daripada lokasi-lokasi pelancongan lain yang terdapat di Pulau Pinang.
Pengurusnya, Meor Ahmad Nazim Mior Ahmad Nazim berkata, Jerejak Rainforest Resort yang terletak di sebelah timur pulau berkenaan menawarkan 20 calet mewah.
Katanya, meskipun resort itu terletak di pulau terpencil dari pusat bandar, kesemua biliknya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.
Beliau menambah, harganya pula antara RM280 dan RM420 termasuk sarapan untuk dua orang.
Selain itu, kami juga menawarkan 50 bilik standard deluxe di mana harganya bermula daripada RM210 termasuk sarapan," katanya.
Bagi tetamu yang menginap di calet atas puncak bukit, perkhidmatan pengangkutan buggy disediakan untuk membawa tetamu ke bilik atau turun setiap kali mereka mahu keluar atau pulang.
Bagi tetamu yang mahu merasai pengalaman dimanjakan sambil merehatkan badan, jiwa dan minda, mereka boleh berkunjung ke Jerejak Spa yang dikelilingi hutan hujan tropika yang tenang dan mendamaikan.
Kelesuan badan tetamu pasti akan diredakan menerusi urutan Baku dengan haruman bunga segar dan persekitaran yang menenangkan minda.
Tukang urut di resort itu didatangkan khas dari Bali, Indonesia yang berpengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun bagi memastikan urutan Bali yang disediakan benar-benar asli.
Jerejak Rainforest Resort juga merupakan lokasi sesuai untuk mengadakan aktiviti bina semangat.
Di situ disediakan pakej menarik termasuk lapangan berhalangan, laluan bertali, sukaneka dan paintball.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: