Sunday, September 9, 2012

Lokasi bersantai popular lewat malam

Ibu bapa tidak risau tentang keselamatan anak-anak kerana kawasan sekitar yang selamat.

AM sudah menunjukkan detik 12 tengah malam. Tidak seperti lokasi lain yang sudah sunyi sepi, dataran Pekan Rabu Kuah di Pulau Langkawi, Kedah kebiasaannya masih gamat dan meriah dengan pengunjung terutama pada cuti hujung minggu atau menjelang 31 Ogos untuk menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara.

Selain bersantai menikmati angin malam, ramai pengunjung yang datang bersama ahli keluarga memilih untuk berehat di tepi laut bagi menyaksikan kapal-kapal yang berlabuh.

Malah kawasan ini juga menjadi tempat pertemuan dan perjumpaan bagi ahli-ahli kelab pemilik Toyota Vios Tuner (TVT) Malaysia-Langkawi.

Ketua kumpulan TVT Langkawi, Mohd. Noor Talib, 33, berkata, perjumpaan tersebut selain bertujuan mempamerkan kenderaan masing-masing yang sudah diubah suai dan masih mengutamakan ciri-ciri keselamatan yang diluluskan, ia juga bagi mengeratkan hubungan sesama ahli.

Katanya, aktiviti kelab tersebut sudah bermula sejak beberapa bulan lalu dan setiap bulan bilangan ahli yang menyertainya semakin ramai.

Menurutnya, mereka tidak mengehadkan umur penyertaan ahli, sebaliknya sesiapa sahaja yang ingin menyertai kelab itu hanya perlu memiliki kenderaan jenis Toyota Vios, mempunyai lesen dan boleh memberi kerjasama yang baik.

"Dulu, kelab ini hanya dianggotai oleh kira-kira 10 ahli. Bagaimanapun, jumlahnya kini meningkat kepada 15 ahli," katanya.

Beliau berkata, mereka memilih dataran Pekan Rabu, Kuah sebagai lokasi perjumpaan kerana selain kawasannya luas, pemandangan di situ juga menarik dan mendamaikan.

"Pemandangan waktu malam di sini begitu cantik. Pengunjung boleh melihat kapal-kapal yang berlabuh, mendengar deruan ombak dan menikmati angin malam yang membuai.

"Malah anak-anak juga boleh dibiarkan berlari-lari dan bermain kerana kawasannya yang luas dan jauh daripada kesibukan jalan raya.

Seorang pengunjung, Fazilah Isa, 40, berkata, untuk bersantai bersama keluarga, dataran Pekan Rabu, Kuah itu amat bersesuaian.

Katanya, kebanyakan gerai-gerai makan lain di sekitar daerah itu menutup operasi apabila menjelang tengah malam.

Bagaimanapun, gerai-gerai di dataran itu masih beroperasi sehingga lewat malam dan ada yang beroperasi sehingga awal pagi.

"Keluarga saya suka menghabiskan masa di sini terutama ketika hujung minggu. Kami akan menghabiskan masa berjam-jam berehat dan menikmati bekal yang dibawa sebelum pulang ke rumah.

"Jika di sini, kami akan berborak panjang hingga lewat malam sambil melepaskan lelah selepas seharian penat bekerja. Dengan cara ini, hubungan kami sekeluarga juga semakin erat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: