Sambutan yang menggalakkan terhadap aktiviti terbabit telah menimbulkan kesedaran di kalangan beberapa orang pelajar dan staf Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menghasilkan go-kart dengan menggunakan kemudahan peralatan yang terdapat di universiti terbabit serta memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh badan-badan yang bertanggungjawab.
Bermula pada tahun awal tahun 2010, Kelab Rekabentuk PPK Pembuatan yang terdiri daripada tenaga pengajar dan pelajar-pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Reka bentuk Produk telah menjalankan satu projek bagi menghasilkan go-kart.
Reka bentuk dan pemasangan bahagian utama go-kart iaitu casis telah dihasilkan sendiri oleh kumpulan itu dengan mengambil kira spesifikasi yang telah ditetapkan oleh badan-badan seperti Persekutuan Kart Antarabangsa (IKF) dan Suruhanjaya Kart Antarabangsa-Persekutuan Automotif Antarabangsa (CIK-FIA).
Projek membangunkan casis go-kart itu telah mengambil masa lebih kurang tiga bulan dengan menggunakan tiub keluli aloi yang dikimpal .
Komponen-komponen utama lain seperti tayar, sistem brek dan stereng terdiri daripada komponen go-kart yang terdapat di pasaran.
Bagaimanapun, enjin yang digunakan merupakan sebuah enjin pelbagai guna yang telah diubah suai untuk kegunaan pada go-kart tersebut.
Terdapat beberapa kelemahan yang didapati pada sistem enjin berkenaan.
Sebagai contoh, ia tidak menggunakan sistem klac yang menyebabkan enjin tidak berfungsi sekiranya go-kart tersebut berada dalam keadaan berhenti.
Oleh kerana kelemahan yang terdapat pada sistem enjin tersebut, bermula pada tahun lalu beberapa juruteknik telah mengambil inisiatif bagi mengubahsuai sistem tersebut dengan mereka bentuk serta membangunkan sebuah sistem klac yang berupaya mengekalkan operasi enjin sepanjang masa.
Projek sampingan yang dijalankan oleh kumpulan itu telah berjaya membuktikan bahawa kemahiran yang ada pada pelajar-pelajar serta staf-staf UniMAP mampu untuk menghasilkan sebuah go-kart yang berpotensi untuk dikomersialkan setanding dengan go-kart yang berada di pasaran.
Go-kart UniMAP yang menggunakan enjin Mitsubishi GT600, berkapasiti 180 c.c. mampu mencapai kelajuan maksimum 80 kilometer sejam dengan menggunakan nisbah gear penghantaran lima bagi pemanduan di jalan lurus.
Penggunaan nisbah gear yang lebih sesuai perlu dilakukan bagi membolehkan enjin itu yang mempunyai nilai tork maksimum 12 Nm memecut dengan kadar yang lebih tinggi bagi kegunaan di litar go-kart sebenar.
Oleh itu, usaha yang berterusan masih dijalankan oleh kakitangan dan pelajar terbabit untuk mendapatkan spesifikasi nilai-nilai nisbah gear penghantaran yang lebih efisien bagi kegunaan di atas litar-litar yang pelbagai bentuk dan keadaan .
Spesifikasi itu penting bagi memperoleh kelajuan maksimum yang bersesuaian dengan mengambil kira aspek-aspek keselesaan dan keselamatan dalam pemanduan.
Di samping itu, go-kart itu juga digunakan oleh pelajar-pelajar tahun akhir di Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan dalam menjalankan projek tahun akhir mereka.
Projek-projek yang dilakukan termasuklah menganalisis kesan getaran yang dialami oleh pemandu, pengubahsuaian casis yang lebih padat dan ringan serta mereka bentuk sistem pengendalian yang lebih cekap dan selamat.
Pada akhirnya , usaha menjalankan projek itu pada mulanya bukanlah bertujuan untuk aktiviti pertandingan dan perlumbaan sahaja yang mana bagi menghasilkan sebuah go-kart yang mampu menyaingi jenama-jenama ternama yang telah lama berada di pasaran memerlukan perbelanjaan yang agak besar.
Projek ini lebih dilihat menyediakan satu platform yang memboleh kakitangan dan pelajar UniMAP mengeluarkan idea dan konsep reka bentuk baru serta mempraktikkan kemahiran yang ada untuk pembangunan sebuah kenderaan seperti go-kart.
Sementara itu Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan (PPK) Jamali Md. Sah, berkata, selepas berjaya dengan projek go kart hasil daripada pelajar pembuatan pihaknya sedang mengumpul kepakaran kakitangan terdiri daripada pensyarah dan juruteknik untuk mengembangkan usaha tersebut.
Beliau yang juga Ketua kumpulan projek berkenaan berkata, kejayaan menghasilkan gor-kart pada kos minimum untuk menjadikan sukan itu lebih mudah dikongsi oleh masyarakat tempatan.
''Ia juga sebagai platform untuk kakitangan dan pelajar menyalur idea dan konsep reka bentuk baru selain mempraktikkan kemahiran untuk pembangunan kereta lumba,'' ujarnya
Sementara itu menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik UniMAP, Dr. Shahriman Abu Bakar, litar lumba akan mula dibina di Pauh, Perlis, bulan ini dan dijangka siap April tahun depan.
"Ia tertakluk pengiktirafan daripada badan profesional automotif Malaysia untuk semua jenis perlumbaan,''ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: