Wednesday, September 12, 2012

MAHSA lancar kampus baru

CANSELOR Kolej Universiti MAHSA, Tun Zaki Tun Azmi (kiri) bersama Pro Canselor Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican (dua dari kiri) dan Prof. Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah bersama pelajar-pelajar kolej berkenaan yang menerima Biasiswa Haji Abdullah. MAHSA akan mempunyai kampus baru di Bandar Saujana Utama yang akan dilancarkan hari ini.

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Malaysia Allied Health Science Academy College (MAHSA) melakar satu lagi sejarah dengan pelancaran kampus terbarunya di Bandar Saujana Utama dekat sini.

Kampus terbaru yang bakal menempatkan bangunan fakulti, canselori, penempatan untuk 15,000 pelajarnya, kemudahan sukan dan masjid itu merupakan satu daripada pelan pembangunan lima tahun MAHSA yang telah dirangka sebelum ini.

"Pembinaan kampus ini merupakan tahap pertama dalam pelan perkembangan institusi ini. Bagi fasa kedua pula, MAHSA akan membina hospital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran," kata MAHSA dalam kenyataan di sini hari ini.

Pelancaran kampus terbaru kolej universiti itu akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

Menurut MAHSA, fasa terakhir pelan lima tahun itu pula adalah bagi membina kemudahan hotel untuk mengambil faedah populariti dan lonjakan industri pelancongan perubatan di negara ini.

"Pendek kata, projek yang diusahakan MAHSA itu mengandungi beberapa sektor penting iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan dan industri perkhidmatan bagi menjana pembangunan di Selangor selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh," kata kenyataan itu.

MAHSA berkata, semua usaha yang sedang dirancang dan dilaksanakan oleh kolej universiti itu adalah selari dengan apa yang digariskan Perdana Menteri sebelum ini bagi membangunkan sektor pendidikan negara ke arah lebih cemerlang.

"Ini kerana MAHSA menyedari pendidikan adalah komponen penting bagi mencipta ekonomi negara yang berpendapatan tinggi. Maka kunci bagi memenuhi matlamat Wawasan 2020 bergantung pada pembangunan modal insan melalui aspek pendidikan," katanya.

Sehubungan itu, MAHSA telah berkembang dengan jayanya dalam industri pengajian tinggi dengan menggabungkan kemahiran akademik yang cekap selain tenaga pekerja yang memiliki personaliti terbilang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: