Wednesday, September 12, 2012

Impian tercapai

NOR Sabrina Nordin (bertudung) antara pelatih wanita pertama terpilih menyertai program Skim Jurutera, BHIC.

NOR Sabrina Nordin, 24, merupakan pelatih wanita pertama terpilih menyertai program Skim Jurutera Muda atau Young Engineers Scheme (Yes) ditawarkan syarikat perkapalan, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) yang sebelum ini dimonopoli oleh kaum lelaki sejak diperkenalkan syarikat terbabit bermula tahun lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik pasangan suami isteri, Nordin Mohd. Noh, 51, dan Esah Abdul, 55, tidak pernah menyangka terpilih mengikuti program itu selepas menjalani beberapa peringkat ujian temuduga bersama-sama tiga calon wanita daripada 70 peserta yang ditemuduga di bawah program tersebut.

''Pada mulanya, saya hanya mahu mencuba nasib dan tidak merancang untuk menyertai program Yes namun Alhamdulilah, siapa sangka akhirnya saya jatuh cinta dengan kerjaya kejuruteraan di Boustead," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Shah Alam baru-baru ini.

Sabrina kini menjawat jawatan sebagai jurutera eksekutif mekanikal BHIC yang spesifik dalam kerja-kerja penstrukturan paip selepas diserap masuk ke dalam jawatan tersebut baru-baru ini.

''Selama tujuh bulan saya mengikuti latihan di bawah program Yes di BHIC setelah menjalani pelbagai ujian temuduga selama dua bulan dan selama tempoh latihan, saya terpaksa bekerja dalam bidang yang dikuasai sepenuhnya kaum lelaki," ujarnya.

Katanya, ketika menjalani latihan di BHIC, hanya dia menjadi pelatih jurutera wanita dalam kalangan 19 pelatih lelaki dan walaupun terpaksa bekerja dalam kawasan kapal serta agak lasak namun dia tidak pernah merasa dibeza-bezakan oleh rakan sekerjanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Korporat Komunikasi (BHIC), Mimi Marina Mansoor berkata, pihaknya mula memperkenalkan program itu pada tahun lalu khusus untuk graduan kejuruteraan yang berminat melibatkan diri dalam bidang perkapalan.

Beliau menjelaskan, program yang ditawarkan pihaknya merangkumi pembelajaran dalam kelas dan latihan amali di limbungan kapal seperti latihan membaiki kapal, mekanikal, mereka bentuk sistem paip dan kemahiran komunikasi.

''Setakat ini, kumpulan pertama telah berjaya menamatkan kursus baru-baru ini melibatkan seramai 19 orang peserta.

''Mereka telah mengikuti latihan selama setahun dan selepas tamat kursus, mereka ditawarkan peluang pekerjaan dalam bidang operasi bersama syarikat.

''Kita mensasarkan seramai 50 orang peserta bakal menamatkan pengajian mereka menjelang September tahun depan dan selepas tahun 2013, kami bercadang untuk melatih sekurang-kurangnya 25 pelajar dalam masa setahun," katanya.

BHIC merupakan sebuah syarikat perkapalan yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan dan membaiki kapal, kejuruteraan, maritim dan penyedia perkhidmatan pertahanan.

Selain itu, menurut beliau, BHIC mempunyai kelengkapan di limbungan kapal (shipyards) yang terletak di Pulau Pinang, Lumut dan Langkawi dan terlibat secara aktif dalam bidang maritim yang memerlukan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: