Monday, September 17, 2012

Maddy buru kerjaya peragawati

Dua tahun lalu, wanita ini melalui pengalaman sukar ketika pertama kali pulang ke Malaysia selepas 19 tahun membesar di luar negara.

Katanya, dia tidak tahu berbahasa Melayu walaupun ibu bapanya berasal dari Malaysia.

"Ramai yang tidak percaya saya tidak boleh bercakap bahasa Melayu. Kadang-kadang saya berasa malu. Yalah, wajah kelihatan Melayu tetapi hanya boleh bercakap bahasa Inggeris," kata peragawati sepenuh masa, Madiha Alyafie, 21, atau lebih mesra dengan panggilan Maddy.

Disebabkan tempoh pengajian di luar negara lebih singkat dan pantas, Maddy berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada usia 21 tahun.

"Pada awalnya, saya sendiri tidak dapat menyesuaikan diri. Saya terpaksa belajar berbahasa Melayu daripada rakan-rakan di UiTM. Mereka sangat memberi sokongan hinggalah saya fasih berbahasa Melayu dalam tempoh dua tahun," ujarnya.

Maddy yang sedang menyertai pertandingan pencarian peragawati, Miss Gifted berpendapat, cantik dan berpendidikan sangat penting untuk berjaya dalam dunia peragaan.

"Berbeza dengan pertandingan lain, ia mencari peragawati yang mempunyai rupa dan latar pendidikan yang baik. Zahnita Wilson antara mentor pertandingan itu.

Saya lihat Zahnita ialah contoh peragawati yang mempunyai kedua-duanya. Dia juga membuktikan kerjaya ini boleh menjamin masa depan. Saya percaya, jika kita mempunyai pakej itu, insya-Allah kita boleh merancang perjalanan cita-cita kita lebih baik," jelasnya yang cukup meminati bidang perniagaan.

Berbicara tentang fesyen, Maddy mengagumi rekaan pakaian Kashfi Zulkifli.

"Anda lihat busana saya hari ini. Koleksi ini ringkas tetapi unik. Saya kelihatan seperti seorang puteri yang berperwatakan manja, lembut dan elegan," ujarnya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: