Sunday, September 2, 2012

Kerosakan cetus ilham Isma

MESRA...hubungan baik antara kakitangan.
MESRA...hubungan baik antara kakitangan.

ANDAI si petani menanam pokok mengharapkan benih tumbuh membesar menghasilkan rezeki, wanita ini pula galak melabur duit kerana ingin melihat nilainya semakin bertambah. Konsep dan harapan sama, berbeza hanya pada subjeknya.

Pernah berkecimpung dengan institusi perbankan, Pengarah Urusan Myrelo, Isma Ismail atau dikenali dengan Isma Dasiuk mengakui menggemari bidang perniagaan, apatah lagi ia membabitkan potensi keuntungan.

  • Foto

    GIGIH...Isma yang gigih memastikan kelangsungan Myrelo.

  • Foto

    PRODUK...antara produk syarikat menguruskan operasi.

  • Foto

    MINAT...kegilaan Isma terhadap motosikal berkuasa besar.

Jika segelintir wanita lain gemar melabur wang untuk memiliki barangan atau koleksi terbaru, berbeza dengan Isma yang lebih suka melihat nilai wang itu ‘beranak’.

Memegang tampuk kepemimpinan syarikat berteraskan penempatan dan pemindahan (relocation), Isma berkata, perniagaannya bertapak secara kecil-kecilan sejak enam tahun lalu dengan bermodalkan RM500,000.


Memperoleh dana daripada keluarga sendiri, syarikat Bumiputera ini menawarkan perkhidmatan memindahkan barangan sama ada dari kediaman, pejabat dan korporat, merangkumi pembungkusan dan menyusun kembali di ruang mengikut permintaan pelanggan sejurus tiba di destinasi terbabit.


“Idea untuk membuka syarikat ‘relocation’ lahir apabila saya dan suami, Craig Dasiuk mengalami masalah memindahkan barang dan perabot dari rumah lama di USJ, Subang Jaya ke kediaman baru di Bukit Jelutong, Shah Alam, pada 2005.

“Kemudian, kami mendapatkan perkhidmatan lori yang diiklankan di tepi jalan.
Mengecewakan apabila kebanyakan barangan kami rosak dan bercalar-balar.

“Pinggan mangkuk dan lampu yang baru dibeli pecah, perabot pula bercalar atas kelalaian individu terbabit. Kos kerugian terpaksa kami tanggung kerana tiada insurans ditawarkan,” katanya ketika ditemui.

Menyedari kesukaran mendapatkan perkhidmatan proses perpindahan bagi individu berbanding syarikat korporat membuahkan idea, lantas tertubuhnya Myrelo yang permulaannya diuruskan Craig.

Sanggup menjual rumah dimiliki untuk menambah modal, pada awalnya ibu kepada tiga cahaya mata ini berasa menyesal melaburkan jumlah wang yang besar, namun dia mula menikmati manfaat sebaik saja nama syarikatnya meniti di bibir pelanggan.

Beliau berkata, pada awal perniagaan, suami sanggup berhenti kerja untuk memberi perhatian penuh terhadap Myrelo, manakala dia bekerja makan gaji sementara waktu.

Selepas setahun bertapak dalam industri, niat Isma bekerjasama dengan suami tercapai, bahkan dia turut membanting tulang bersama dua adiknya, Noor Amy dan Syahrizal.

Walaupun bidang diceburinya dikatakan dikuasai golongan Adam, ia bukan penghalang bagi wanita berusia 40 tahun ini untuk menonjolkan bakat dimiliki menerajui syarikatnya.

Mencontohi semangat dimiliki bapa, Ismail Shafiee, 73, dan arwah ibunya, Norsiah Basarudin, wanita ini tidak sesekali berputus asa ketika berdepan cabaran serta kemelut perniagaan.

Menghayati pesanan arwah ibu, tidak bergantung harapan kepada orang lain dan berusaha membuatkan Isma semakin kuat bersaing selain mencetuskan idea serta kreativiti baru.

Katanya, bermula daripada kecil tanpa nama sememangnya menjadi cabaran besar kepada Myrelo untuk bertapak dalam industri, apatah lagi perlu bergelut mendapatkan pelanggan yang pastinya baru mendengar nama syarikat.

Lantas pengenalan perkhidmatan tahap profesional dicipta, di mana ia menekankan setiap pekerja mengenakan seragam korporat, tampak kemas daripada segi penampilan, menyediakan insurans, pembungkusan barangan dan menyusun atur berjaya mengekalkan kepercayaan pelanggan.

Bergelar ‘orang pertama’ dalam syarikat tidak membuatkan wanita ini lupa diri, sebaliknya kerap turun padang untuk memantau operasi pemindahan dan penempatan dilaksanakan tenaga kerjanya.

Isma berkata, pemerhatian terhadap operasi dijalankan adalah tanggungjawab penting untuk memastikan dan mengekalkan standard, kualiti juga mutu perkhidmatan Myrelo yang menjadi imej syarikat.

“Kita juga menyediakan perkhidmatan telus dan setiap dokumentasi diserahkan kepada pelanggan, sekali gus mengelakkan mereka berasa tertipu jika ada penambahan harga servis.

“Menyentuh hal penipuan, saya sebagai penyedia perkhidmatan perpindahan dan penempatan tidak terlepas daripada masalah sama apabila menjalin kerjasama dengan rakan seperjuangan lain.

“Untuk mendapatkan kontrak kerajaan, syarikat perlu berdaftar dengan kementerian sebelum menerima lesen. Disebabkan prosedur memakan masa lama, Myrelo bekerjasama dengan syarikat yang memiliki lesen untuk kontrak bernilai RM20,000.

“Sebaik selesai melakukan kerja di kementerian itu, syarikat terbabit mendiamkan diri apabila soal pembayaran diutarakan dan hingga kini, tiada bayaran diterima,” katanya yang mengahwini lelaki kelahiran Kanada.

Bermula detik itu, Isma mula berhati-hati dan belajar daripada kesilapan dalam menjalin kerjasama dengan pihak lain.

Sayap Myrelo mula dikembangkan tiga bulan lalu dengan pembukaan cawangan di Pulau Pinang, selain cadangan membuka cawangan di Johor Bahru dalam tempoh terdekat.

Tidak hanya menyediakan perkhidmatan peringkat nasional, Myrelo berupaya mengendalikan pelanggan dari luar negara termasuk Bhutan, Dubai, Singapura, United Kingdom dan Australia menggunakan ejen dilantik.



PROFIL:

NAMA: Isma Ismail
JAWATAN: Pengarah Urusan Myrelo
TARIKH LAHIR: 9 Februari 1972
ASAL: Pulau Pinang
SUAMI: Craig Dasiuk
ANAK: Ashley Mia (11), Keisya Rae (8) dan Suri Sofea (2)

PENDIDIKAN: Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Charles Sturt University, Australia (2003)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: