Sunday, September 2, 2012

Analisis gerak lawan

pix_middle

DUA kerajaan diketuai raja dan permaisuri dari negara hitam dan putih bersedia untuk bertempur dengan tujuan memenangi perlawanan. Peperangan disertai si gajah, kuda dan benteng mengawal di kiri kanannya untuk meneguhkan pertahanan.

Bagi menambah rasa gerun di hati musuh, lapan askar atau bidak mendahului barisan, namun gerakan bakal dimulai kerajaan putih menggunakan kebijaksanaan pemain catur menggunapakai 64 petak disediakan.

  • Foto

    FOKUS...pemain yang fokus terhadap perlawanan.

  • Foto

    KUMPUL...antara pencinta catur yang berkampung di UM.

  • Foto

    KESERONOKAN...sukan menyeronokkan.

  • Foto

    RISIKO...langkah yang pasti mengundang risiko permainan.

Kerap dikatakan hanya orang bijak mampu memainkan catur gara-gara ia memerlukan kepekaan pemain untuk menggerakkan buah. Andai tersilap langkah, risiko kehilangan buah catur terbuka luas.

Penganjuran Grand Asian Chess Challenge (GACC) ke-16 oleh Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah, Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Malaysian Chess Federation (MCF) dan Rakan Muda berjaya mengumpul 69 pencinta sukan catur berusia antara 18 hingga 24 tahun berkampung di Dewan Tunku Canselor, UM selama lima hari.


Pengarah GACC 16, Chua Chun Kwang berkata, selain membuka peluang pencatur berkumpul, pertandingan berkenaan turut memberi kesempatan berkongsi pengetahuan.


“Tujuan GACC diadakan untuk meningkatkan ‘ranking’ (kedudukan) dan kemahiran pencatur, juga mengeratkan hubungan antara universiti yang mengambil bahagian, sama ada tempatan mahupun luar negara.

“Antara 12 universiti yang mengambil bahagian ialah UM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM) serta peserta dari Singapura, Indonesia, Sri Lanka, India dan Nigeria.

“Jika sebelum ini, kita membahagikan pemain mengikut kategori terbuka lelaki dan perempuan, kali ini kita melaksanakan sistem terbuka, sekali gus memberi peluang kepada semua pencatur bersaing sesama sendiri.

“Permainan yang berlangsung sekurang-kurangnya lima jam memerlukan pemain memiliki kekuatan mental dan fizikal.

“Catur memerlukan pemain mengatur pergerakan menggunakan minda untuk menganalisis kelebihan dan kelemahan setiap langkah diambil.

“Manakala kekuatan fizikal pula membabitkan ketahanan pencatur duduk di meja pertandingan untuk jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui.

Wakil UPM, Wan Aizuddin Wan Razali, 25, mengakui kelebihan dan manfaat menguasai permainan catur membolehkannya mengaplikasi kemahiran itu dalam kehidupan peribadi, termasuk membuat keputusan.

Menggerakkan buah catur menuntut pemain berfikiran cerdas, peka dan menimbang segala risiko yang bakal menimpa, kaedah sama dilakukan Wan Aizuddin untuk menentukan setiap kata putus berkaitan dirinya.

“Saya mempelajari catur pada usia lewat iaitu 12 tahun berbanding lima hingga enam tahun daripada teman sekolah. Acap kali bermain, pasti saya kalah tetapi itu tidak menghentikan minat ini.

“Sebaliknya daripada kekalahan itu, perlahan-lahan saya belajar memperbaiki skil dan satu masa, saya berjaya mengalahkan teman yang juga guru catur saya.

“Sejak itu, langkah saya dalam sukan catur semakin besar apabila pernah mewakili pertandingan peringkat daerah, kemudian di kolej matrikulasi serta universiti.

“Berdepan pemain lebih hebat membuatkan saya bertambah bersemangat bermain.
Pernah sekali, saya bertanding dengan pelajar sekolah rendah dan kemenangan ke atas remaja itu membuka mata saya bahawa usia bukan penentu kejayaan melainkan minat mendalam,” katanya yang mempunyai sebanyak 1782 mata bagi ranking Badan Catur Dunia (FIDE).

Mengagumi grandmaster catur Russia, Garry Kasparov, anak muda ini tegas mengatakan, kemahiran bermain catur bukan dipengaruhi faktor negara, sebaliknya budaya, contohnya Malaysia lebih dipengaruhi permainan dam.

Zafran Khalis Mokhtar Azizi, 21, yang mendapat pengaruh kuat daripada bapa berkata, seperti sukan lain, catur memerlukan pemain yang cekap mengatur strategi, manakala perbezaan hanya lokasi permainan diadakan sama ada ‘outdoor’ atau ‘indoor’.

Jelasnya, catur berjaya membentuk dirinya untuk lebih sabar dan tidak mudah putus asa seandainya tersilap percaturan, malah menjadikannya agresif mencari penyelesaian bagi memenangi sesuatu perlawanan.

Menurutnya, dia mula bermain catur ketika berada di tahun tiga dan syukur apabila keluarga, terutama bapa, memberi sokongan padu untuk meneruskan minat berkenaan.

Sementara itu, anak kelahiran Negeri Sembilan, Saodah Yaacob, 20, berkata segelintir masyarakat beranggapan catur bukan sukan dan ia terbukti apabila temannya pernah meragui kenyataan diutarakannya.

“Kawan saya terkejut apabila saya turut bertanding untuk acara catur dan mempersoalkan bahawa catur bukan sukan.

“Sememangnya catur tidak seperti sukan lain yang diadakan di lapangan dan terpaksa mengeluarkan peluh, tetapi harus diingatkan bermain catur memerlukan kekuatan mental untuk mengatur strategi,” katanya.

Pernah menyertai Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Saodah mengakui mula mempelajari catur apabila mendaftarkan diri bagi kelab catur di sekolah.

Baginya, catur banyak memberi manfaat terhadap dirinya, malah anak kecil digalakkan berkecimpung dalam sukan terbabit.



PROFIL 1:

Nama: Wan Aizuddin Wan Razali
Umur: 25 tahun
Asal: Terengganu
Universiti: Universiti Putra Malaysia


PROFIL 2:

Nama: Zafran Khalis Mokhtar Azizi
Umur: 21 tahun
Asal: Selangor
Universiti: Universiti Putra Malaysia


PROFIL 3:

Nama: Saodah Yaacob
Umur: 20 tahun
Asal: Negeri Sembilan
Universiti: Universiti Malaya


>INFO:

  • Pertandingan Grand Asian Chess Challenge (GACC) ke-16 diadakan di Universiti Malaya.

  • Sebanyak 12 universiti tempatan dan luar negara terbabit dalam kejohanan selama lima hari itu.

  • Peserta berusia di antara 18 sehingga 24 tahun.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: