Sunday, September 16, 2012

Kenangan lukisan kucing dan pokok Kate-William


WILLIAM dan Kate berpakaian kasual semasa melawat Lembah Danum di Lahat Datu, Sabah.


SEBAIK sahaja pengumuman keberangkatan tiba disampaikan, ribuan kepala mula menjengah-jengah laluan pejalan kaki yang berlantaikan batu khas berwarna kelabu cerah yang terletak beberapa langkah di hadapan mereka.

Saat yang mereka nantikan hampir tiba. Semakin kuat bunyi gendang dipalu, semakin jelas kelihatan sosok tubuh dua figura terkenal dunia yang dinantikan sejak awal pagi lagi.

Walaupun terpaksa menjinjit kaki, memanjangkan leher dan berhimpit-himpit di celah ribuan peminat lain, masing-masing tidak sabar untuk menyaksikan sendiri kehadiran pewaris takhta diraja termuda Britain itu di Taman Kuala Lumpur City Center (KLCC).

Tepat pukul 10.30 pagi Jumaat lalu, dengan langkah kaki yang disusun kemas dan senyuman manis yang tidak pernah lekang di bibir, kehadiran Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan isterinya, Kate Middleton disambut dengan tepukan gemuruh di samping kibaran bendera Jalur Gemilang dan Britain.

“Bersalaman dengan mereka adalah peluang yang mungkin datang sekali dalam seumur hidup. Saya sangat teruja menantikan detik ini.

“Sebaik sahaja tahu mereka akan buat tinjauan mesra di Taman KLCC, saya memang merancang untuk datang datang ke sini.

“Tadi apabila mereka berdua menghampiri kami, saya rasa macam tidak percaya bahawa yang berdiri di hadapan kami ialah Putera William dan Kate.

“Bila dilihat dari dekat, Kate kelihatan sangat cantik dalam dres putih lembut itu. Mereka juga sangat mesra.

“Apa yang lebih menggembirakan, saya sempat mengambil gambar mereka dengan jelas dari jarak dekat,” ujar seorang penuntut universiti swasta, Sharon Poh, 23, yang sudah menunggu seawal pukul 7.30 pagi di taman itu.

Empat negara

William dan Kate minggu ini meluangkan masa selama tiga hari di Malaysia. Pasangan itu kini sedang dalam siri lawatan selama sembilan hari ke empat buah negara di Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

Lawatan itu sempena sambutan jubli intan yang meraikan pemerintahan Ratu Elizabeth II yang ke-60 tahun sebagai Ketua Negara-Negara Komanwel.

Pasangan diraja ini tiba di ibu negara Khamis lalu selepas dua hari berkunjung ke Singapura yang menjadi destinasi pertama lawatan mereka di rantau ini.

Sejurus tiba di Malaysia, William dan Kate menghadiri majlis santapan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Sri Perdana di Putrajaya diikuti dengan lawatan ke sebuah pertubuhan amal, Hospis Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur.

Di situ, Kate yang anggun dalam persalinan dres biru cair memberikan pengucapan awam pertamanya di luar Britain selepas bergelar Duchess of Cambridge.

Dalam ucapan selama dua minit itu, Kate berkata, menyediakan tempat yang menyokong, menjaga dan meluangkan banyak masa bersama kanak-kanak dan keluarga mereka adalah perkara yang mampu mengubah dan menambah kualiti hidup.

“Dengan penjagaan dan rawatan paliatif berkesan, kehidupan boleh diubah,” ucapnya.


KATE melayan mesra kanak-kanak di Hospis Malaysia sebelum mengabadikan gambar lukisan pokok dan burung sebagai kenang-kenangan.


Kucing dan tikus

Hadir bersama suaminya yang tampan dalam suit gelap, Kate dan William sempat meluangkan masa berbual dan menemankan kanak-kanak di situ melukis di atas batu-bata di ruang legar Hospis Malaysia.

Sebagai kenangan, William melukis gambar kucing dan tikus yang sinonim dengan karakter utama siri kartun Tom & Jerry.

“Anda mahu saya lukis apa?,” tanya Kate kepada seorang pesakit berusia 14 tahun.

“Lukislah apa sahaja yang boleh membahagiakan anda,” jawab pesakit tersebut.

Dengan wajah ceria dan senyuman manis di bibir, Kate melukis sebatang pokok dan burung-burung berterbangan di atasnya.

Malam pertama di Malaysia, William dan Kate dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Istana Negara untuk jamuan rasmi santapan makan malam bersama 400 tetamu lain.

Pada hari kedua, William dan Kate membuat penampilan awam pertama di negara ini apabila melawat Masjid As-Syakirin di KLCC sebelum bermesra dengan rakyat tempatan dan pelancong asing di Taman KLCC untuk menikmati kepelbagaian budaya Malaysia di pekarangan Menara Berkembar Petronas.

Usai agenda di Taman KLCC, William menyampaikan ucapan mengenai kepentingan hubungan Britain-Malaysia pada jamuan tengah hari yang dianjurkan Dewan Perniagaan British Malaysia.

Lewat petang hari kedua juga, pasangan diraja itu berlepas ke Sabah selepas menikmati Jamuan Teh Jubli Intan di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.

Di Kota Kinabalu, berita kedatangan pasangan personaliti diraja itu adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan.

Menurut Bernama, kebanyakan rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu gembira dan teruja untuk menerima kunjungan daripada pasangan tersebut.

“Memang gembira bila dapat menatap wajah Putera William dan isterinya. Siapa yang tidak mengenali mereka?

“Pastinya kunjungan mereka di sini akan sentiasa dikenang oleh rakyat di negeri ini sampai berkurun-kurun.

“Kunjungan ke Sabah adalah penghormatan yang besar buat kami. Ia pasti menjadi memori indah yang akan tersemat di setiap sanubari rakyat Sabah,” ujar pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah All saints, Nirona Yon.

Selain singgah di Kota Kinabalu, William dan Kate turut melawat usaha pemuliharaan di salah satu hutan hujan tropika utama di Sabah iaitu Lembah Danum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: