Sunday, September 16, 2012

Cinta songsang janda muda


MENURUT Zakiah, semakin ramai pengkid yang mahu kembali kepada fitrah.


ZAKIAH ialah ibu tunggal berusia 36 tahun yang mempunyai seorang anak perempuan hasil perkongsian hidup bersama bekas suaminya.

Dia yang sudah tujuh tahun menjanda mengakui, pengalaman pahit hidup sebagai isteri menjadikan cinta dan perasaannya kini sudah mati untuk insan bergelar lelaki.

“Menjadi isteri kepada suami kaki judi memang azab. Sedetik pun hati saya tak pernah tenang, ada sahaja benda yang hendak digaduhkan. Setiap kali kalah judi, yang menjadi mangsa, saya dan anak.

“Kalau boleh saya tak mahu buka cerita pasal kehidupan yang lepas. Semuanya menyakitkan hati,” luah Zakiah penuh kesumat.

Menurut pekerja di sebuah salun rambut ini, bekas suaminya mula pandai berjudi selepas abang iparnya keluar dari penjara tidak lama selepas mereka berkahwin.

“Kami hanya hidup bahagia selama dua tahun. Selebihnya, hidup saya tak ubah seperti dalam neraka. Duit gaji saya habis dikikis sampaikan bila anak menangis laparkan susu, saya cuma mampu beri air masak.

“Barang-barang kemas dan peralatan rumah, habis digadainya. Rumah yang dibeli dengan hasil titik kami sebelum berkahwin turut terlepas ke tangan orang lain.

“Saya yang tidak tahan dengan perangainya nekad meninggalkan rumah. Saya mahu bercerai dan tidak ingin hidup dengan dia lagi tetapi perjalanan untuk bebas tidak semudah itu. Badan saya sampai lunyai dipukul. Anak kami yang masih kecil turut terkena tempias panas barannya.

Dominan

“Malam itu, selepas dirogol suami sendiri, saya diceraikan dengan talak satu.

“Sejak itu, saya sukar percayakan lelaki. Bagi saya lelaki adalah manusia hidung belang,” ujarnya yang tidak pernah mendapat perhatian dan kasih sayang daripada seorang bapa sejak kecil.

Perceraian itu membawa Zakiah ke Melaka. Dia yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, nekad mengubah nasib hidupnya dua beranak.

“Beberapa bulan di Melaka, saya mula dirapati oleh beberapa orang pengkid. Awalnya, bukan niat saya untuk menjadi seperti mereka, tetapi selepas berkawan rapat, saya mula tertarik dengan gaya dan cara mereka melayan wanita.

“Buat masa ini, saya sedang bercinta dengan pasangan pengkid berusia 45 tahun. Saya senang berkawan dengan dia,” ujar Zakiah.

Ditanya apa sebabnya dia memilih pengkid sebagai pasangan, jawabnya mudah.

“Pengkid memahami naluri wanita kerana dia juga wanita. Kalau saya mengadu tidak sihat contohnya, dia terus bawa ke klinik. Kalau saya berhajatkan sesuatu, dia terus membelikannya untuk saya, bukan macam sebahagian lelaki. Kita kata sakit pun, ada yang buat tak tahu. Kalau minta teman pergi beli-belah, masing-masing kedekut nak keluar duit belanja.

“Berbeza dengan pasangan saya. Dia bekerja sendiri dan tidak pernah lokek. Hatinya memang untuk saya malah dia sanggup buat apa sahaja demi saya.

“Saya suka dengan perhatian yang dia diberikan, walaupun kadang-kadang rimas juga bila dia terlalu ‘menjaga’ saya. Apa pun, saya dan anak kini hidup bahagia dengan dia,” cerita Zakiah.

Dalam tempoh tujuh tahun menjanda, ini adalah percintaan Zakiah yang keempat bersama pengkid.

“Mula-mula dahulu saya rapat dengan dua orang pengkid belasan tahun. Seronok berkawan dengan mereka sebab kita yang lebih matang akan menjadi dominan.

“Namun, lama-kelamaan, saya rasa cepat bosan sebab perlu menyediakan keperluan mereka, daripada kad isian semula prabayar, rokok, baju dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, pasangan ketiganya adalah seorang warga asing bukan Islam yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Singapura.

“Umur kami sebaya. Orangnya boleh tahan cantik dan dia bijak menyembunyikan orientasi seksual di sebalik kerjaya dan pakaiannya.

“Kami berkenalan menerusi satu kelab pengkid. Memandangkan dia bekerja di Singapura, kami hanya berjumpa sekali-sekala, kadang-kadang dua minggu sekali, kadang-kadang sebulan sekali.

Fitrah

“Kami lebih banyak berborak dan berkongsi video peribadi di ruang sembang Skype.

“Namun begitu, saya tidak mampu bertahan lama dengannya. Tabiatnya yang suka minum arak dan memakan babi ketika dia bertandang ke sini membuatkan saya cepat mual.

“Bau masam arak yang kuat membuatkan saya tidak selesa lebih-lebih lagi kalau selepas itu dia mengajak saya masuk ke bilik di hotel. Disebabkan itu, kami putus.

“Selepas itulah saya berjumpa dengan pasangan saya sekarang. Orangnya cukup memahami dan menyayangi saya,” jelas Zakiah.

Dalam perbualan singkat menerusi telefon itu, Zakiah sempat berkongsi cerita panas dunia pengkidnya.

“Anak saya tahu dia ada dua mama, iaitu saya dan pasangan saya. Sehingga kini, dia tidak syak apa-apa, mungkin kerana dia masih kecil lagi.

“Satu perkara yang saya suka mengenai pengkid ialah apabila bersama, pengkid tidak berbogel. Pengkid juga pembersih.

“Mereka juga akan membelai dan mengurut manja pasangan selepas berasmara, tidak seperti lelaki yang lebih suka tidur.

“Untuk kelihatan lebih tegap, pasangan saya mengambil hormon lelaki dan pil tahan haid setiap bulan. Untuk kepuasan diri sendiri, mereka juga hanya akan memakai seluar dalam lelaki,” ujar Zakiah.

Menganggap setiap orang ada kisah duka sendiri sehingga mengubah haluan hidup seseorang, Zakiah mengambil pendekatan untuk menghormatinya berbanding terus menghukum.

“Saya sendiri ada kisah yang tidak mahu saya kenang, begitu juga dengan pasangan saya, mahupun orang lain. Untuk melupakannya mungkin sukar, tetapi kita masih boleh melangkah ke hadapan dan bina hidup baharu yang lebih baik.

“Saya pasti, ramai yang lebih suka mencemuh golongan pengkid daripada mengenali dan membantu mereka, khususnya dari segi spiritual.

“Kesedaran yang sama pernah timbul dalam diri saya, apatah lagi saya mempunyai anak perempuan. Saya memang menyayangi pasangan saya, tetapi bukan sampai tahap ingin berkahwin dengannya. Satu hari nanti, insya-Allah, saya akan tinggalkan semua ini.

“Saya juga pasti ramai pengkid yang ingin kembali kepada fitrah kelahiran mereka sebagai wanita. Malah ramai pengkid berkawan untuk menyayangi bukan untuk memuaskan nafsu songsang mereka,” kongsi Zakiah sebelum menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: