Tuesday, September 4, 2012

KCCZ popular dengan katering

Chef Zainal (duduk kiri) bersama-sama anak buahnya yang sentiasa memberikan sokongan.

BAU haruman rendang Tok Perak dan Ayam Goreng Betawi yang dihidangkan bersama nasi beriani membuka selera penulis dan pengunjung yang datang sempena pembukaan Central Kitchen Katering Citarasa Chef Zainal (KCCZ) di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Aroma daun limau purut mengiringi Ayam Goreng Betawi memang memikat selera.

Adunan rempah-ratus lada hitam, ketumbar dan jintan manis yang digoreng tanpa minyak atau sangai menghasilkan aroma Rendang Tok Perak menyebabkan penulis tidak sabar mencicipnya.

Menurut Pengarah Urusan KCCZ, Zainal Mohd. Saad, 50, atau lebih mesra dengan panggilan Chef Zainal, kedua-duanya adalah resipi turun-temurun.

Chef Zainal yang gemarkan masakan tradisional sentiasa mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan wajik ubi kayu atau cakar ayam ubi kayu yang mudah disediakan.

Biarpun tanpa pendidikan formal dalam bidang masakan tetapi minat memasak sejak kecil ditambah dengan pengalaman bekerja di beberapa hotel terkemuka amat berharga bagi Chef Zainal.

"Kini setelah penat bekerja makan gaji, saya dan rakan kongsi memulakan perniagaan katering di rumah seluas 900 kaki persegi.

"Selepas mendapat sambutan yang menggalakkan, kami mula menyewa bangunan di bawah rumah bagi menempatkan Central Kitchen sebagai tempat penyediaan makanan," katanya yang pernah muncul di beberapa rancangan televisyen tempatan.

Malah beliau juga menguruskan kantin bagi siswi Kolej Polytech Mara di Kuala Lumpur.

Beliau mula dikenali selepas terpilih menyediakan makanan bagi pemain semasa perlawanan Manchester dan Arsenal di Kuala Lumpur pada Julai lalu.

Malah KCCZ juga menyediakan pelbagai pakej katering bermula daripada rumah terbuka hari raya, majlis kerajaan dan korporat, akikah, doa selamat sehingga kepada majlis perkahwinan.

Lebih menarik KCCZ menyediakan pakej penuh bagi perkahwinan termasuk katering, khemah, fotografi, andaman, penyanyi serta pakaian mengikut tema.

Ditanya mengenai perniagaannya, Chef Zainal berkata, beliau merancang membuka beberapa lagi cawangan Central Kitchen di tempat lain di seluruh negara bagi memenuhi permintaan pelanggan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: