Kata orang, apabila si suami terlalu sayangkan isteri, dia yang akan mengalami alahan dan mengidam apabila isteri mengandung. Begitulah yang dialami pasangan romantis, Azad Jazmin, 37, dan Eira Syazira, 28.
Menurut Eira, semenjak disahkan hamil, dia hanya mengalami alahan ketika awal kehamilannya. Namun, semenjak Ramadan lalu, dia tidak lagi mengalami sebarang alahan mahu pun mengidam.
Sebaliknya, Azad yang mengalami alahan teruk iaitu muntah terutamanya pada awal pagi dan turut mengidam makanan seperti laksa.
"Dulu orang tua-tua selalu kata, kalau isteri mengandung, suami pun boleh alami alahan dan mengidam macam-macam. Dulu memang saya tidak percaya tapi bila kami sudah alami sendiri, baru kami tahu.
"Lucunya saya tidak lagi mengalami sebarang alahan, tapi Azad pula yang mengalami alahan teruk sekarang. Sehinggakan, ketika sedang berbual sambil memandu, tiba-tiba sahaja Azad termuntah.
"Malah, pernah sekali, Azad mengidam memakan laksa dan sanggup mencari sehingga jumpa sedangkan sebelum ini dia tidak suka laksa. Manakala nasi kandar yang selama ini jadi makanan kesukaannya tidak lagi digemarinya," jelas Eira sambil ketawa.
Eira berkata, selain alahan dan mengidam, Azad juga berubah sikap menjadi seorang yang lebih lucu dan romantik.
"Bayangkan, boleh dikatakan setiap hari dia akan menyorok dan saya perlu mencari dia. Pernah kami sedang membeli-belah mencari pakaian bayi, tiba-tiba dia hilang. Mula-mula dulu saya cari juga, bila dah lama-lama saya buat tak tahu sahaja.
"Malah Azad juga selalu buat lawak sehinggakan saya ketawa tidak henti-henti. Kadangkala bila kenangkan umurnya, tidak seiring pula dengan karakternya," katanya.
Perlahankan karier
Menyentuh mengenai perkembangan terkininya, Eira berkata, dia akan memasuki set penggambaran sebuah telefilem untuk siaran TV Alhijrah, 6 September ini.
Katanya, dia akan digandingkan dengan Aqasha dan Azad juga akan turut terlibat dalam telefilem yang belum diketahui judulnya itu.
"Saya terima kerana mereka mahu saya bawa watak wanita hamil. Selepas tamat penggambaran sekitar akhir September, saya akan memperlahankan karier saya.
"Jika diikutkan, sejak disahkan mengandung, Azad memang tidak galakkan untuk saya aktif berlakon kerana bimbangkan kandungan. Tapi, mungkin kerana rezeki anak, tawaran datang tidak putus-putus dan banyak naskhah yang bagus.
"Oleh kerana itu, saya sempat membintangi tujuh telefilem antaranya Esok Raya Babe, Ampun Untukmu, Cinta Noridah untuk siaran sepanjang Ramadan dan Syawal lalu," ujarnya.
Rezeki murah: Azad
Sementara itu, Azad berkata, dia amat bersyukur sebaik mengetahui Eira hamil dua bulan baru-baru ini dan amat teruja menantikan kehadiran cahaya mata yang dijangka lahir pada 2 Januari depan.
Katanya, mungkin kerana rezeki anak, dia juga banyak menerima tawaran terutamanya filem.
"Saya kini sedang bercuti semenjak Ramadan lalu, itu pun selepas berakhirnya penggambaran Gangster Celop. Oktober ini, saya akan memasuki pula set penggambaran Mamak Cupcake.
"Manakala pada 25 Oktober nanti, filem lakonan saya, Ape Celop Toq akan ditayangkan di pawagam.
"Walaupun jadual padat, saya sedaya upaya akan cuba luangkan masa bersama Eira dan kerana itulah saya lebih gemar Eira masak di rumah kerana kami dapat meluangkan masa bersama-sama," katanya yang juga kelihatan berisi.
Sunday, September 2, 2012
Eira hamil, Azad alami alahan, mengidam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: