Sunday, September 2, 2012

Izin kami tunjuk kemampuan

TABAH...birokrasi segelintir pihak dan sistem pendidikan khas yang ketinggalan zaman memaksa Nur Carmeela berusaha dua kali ganda lebih gigih daripada rakan sebaya yang normal sebelum berjaya ke menara gading.
TABAH...birokrasi segelintir pihak dan sistem pendidikan khas yang ketinggalan zaman memaksa Nur Carmeela berusaha dua kali ganda lebih gigih daripada rakan sebaya yang normal sebelum berjaya ke menara gading.

“KAMI akui status diri sebagai warga pekak, tetapi kita tinggal di satu negara, satu dunia. Bukan layanan istimewa kami harapkan, sekadar mahu tinggal bersama masyarakat, di mana kami tidak dilayan secara diskriminasi disebabkan masalah pendengaran kami.

“Tolong benarkan kami tunjukkan apa kami boleh kami lakukan. Pekak boleh!” rayu Tengku Nur Carmeela Tengku Bahaudeen, 21.

  • Foto

    BERBAKAT...sukar mendapat tempat di institusi pengajian tinggi kerana statusnya sebagai orang pekak menyedihkan Nur Carmeela.

  • Foto

    BANGGA...Nur Carmeela terpilih sebagai wakil kumpulan graduan pekak LUCT untuk menyampaikan ucapan penghargaan pada hari graduasinya.

Harapan Nur Carmeela wajar membuka mata rakyat Malaysia mengenai dilema golongan pekak di negara yang seakan-akan semakin terpinggir dan diabaikan tanpa pembelaan sewajarnya.

Kata-kata Nur Carmeela pada ucapan akhirnya ketika majlis konvokesyen Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing (LUCT) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bulan lalu, mendapat tepukan gemuruh sebanyak empat kali daripada hadirin dan tetamu kehormat walaupun hanya berdiri sebagai graduan bertaraf diploma.


Gadis yang lebih mesra dengan panggilan Carmeela ini antara sembilan graduan pekak yang menerima diploma dan ijazah pada majlis itu yang turut melakar sejarah baru di LUCT sebagai paling ramai penerima dalam tempoh sedekad.


Lebih membanggakan, graduan Diploma Teknologi Perekaan Grafik ini turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Industri LUCT dan terpilih sebagai wakil kumpulan graduan Pekak LUCT untuk menyampaikan ucapan penghargaan pada hari graduasinya.

“Ia hari bersejarah buat saya dan warga pekak khasnya kerana menerima penghormatan terbesar menjadi graduan pekak pertama memberi ucapan perdana menggunakan bahasa isyarat pada majlis konvokesyen.

“Justeru, saya menggunakan sebaik-baiknya peluang itu untuk meluahkan suara hati saya pada akhir ucapan dan terharu kerana ia mendapat tepukan gemuruh majoriti tetamu.

“Saya tidak bertujuan menying­gung sesiapa, sebaliknya hanya mahu masyarakat tahu kesukaran hidup golongan seperti saya terpaksa tempuhi pada setiap hari,” katanya.

Nur Carmeela sekali lagi meluahkan harapan sama kepada wartawan Metro Ahad sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 negara kelmarin kerana temanya pada tahun ini iaitu ‘Janji Ditepati’ ditagih warga pekak sepertinya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitu juga dengan rintangan hidup terpaksa dilaluinya ketika usia baru menjangkau 21 tahun, Khamis lalu, sebelum berjaya melangkah ke menara gading.

“Antara cabaran terbesar saya dan warga pekak lain di kampus ialah ketiadaan perkhidmatan jurubahasa isyarat yang bertauliah untuk membantu memudahkan pembelajaran kami. Tenaga pengajar tidak memiliki pengetahuan mengenai cara berkomunikasi dengan golongan seperti kami.

“Namun, mereka tidak pernah berputus asa untuk membantu kami sedaya mungkin.
Keikhlasan mereka memberi kekuatan kepada kami dan menganggapnya sebagai cabaran untuk menamatkan pengajian dengan bergantung pada penggunaan teknologi multimedia,” katanya.

Disebabkan masalah pendengarannya, Carmeela perlu berusaha dua kali ganda lebih kuat daripada rakan sekuliahnya kerana ketika penuntut lain pulang sebaik tamat waktu pengajian, dia masih berada di kelas bagi mendengar penerangan daripada pensyarahnya buat kali kedua untuk memastikan dia benar-benar faham.

Pendedahan kepada sistem pembelajaran menggunakan kaedah Kiu banyak membantu gadis ini, terutama dalam memberi keyakinan diri untuk bergaul dengan masyarakat.

Dia mula menggunakan alat membantu pendengaran sejak berusia tiga tahun dan dilatih untuk bercakap dan berkomunikasi dengan insan normal oleh ibunya, Rohimah Alias, 50.

“Saya dilahirkan pekak dan ketika ibu bapa mengetahui perkara ini, mereka memutuskan satu-satunya cara untuk saya menghadapi kehidupan normal seperti insan lain ialah jika saya belajar bercakap.

“Mereka adalah tulang belakang yang banyak membantu saya. Mereka memasukkan saya dalam sekolah berbeza, di mana saya perlu menggunakan alat membantu pendengaran, belajar membaca pergerakan bibir dan akhirnya menyesuaikan diri dengan bahasa isyarat,” katanya.

Di sebalik kekurangan sokongan daripada aspek penerapan pembelajaran ketika zaman sekolah rendah dan menengah, kemasukannya ke Pusat Pertuturan Kiu di Kampung Pandan banyak membantu pendidikannya.

“Saya bercadang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam mengejar cita-cita menjadi pereka grafik profesional. Impian saya hanya satu, mahu dilayan sama taraf dengan insan lain tanpa diskriminasi masyarakat, termasuk cara mereka memandang golongan pekak seperti saya.

“Saya juga berharap Kementerian Pelajaran menyemak semula sistem pendidikan di sekolah khas untuk golongan pekak, sekali gus menepati janji untuk melayan semua lapisan masyarakat dengan adil tanpa diskriminasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: