SERASI...antara babak DHAT yang bakal mencetuskan rasa cemburu?
BAKAT dimiliki tidak setaraf tubuhnya yang genit. Pada usia 18 tahun, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri atau Elfira membuktikan dia mampu menjadi yang terbaik apabila merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin, tahun lalu.
Kebanyakan orang industri perfileman tempatan meramalkan Elfira bakal menjadi pelakon terkenal. Penilaian dibuat berdasarkan kejayaan diraih dalam usia muda, termasuk membintangi produksi besar filem Jepun, Second Chance dan ditayangkan di beberapa negara Asia. Ia turut menjadi pengiktirafan besar kepada artis remaja itu.
Selain mengambil tempat Liyana Jasmay sebagai wajah terbaru Maybelline, Elfira membuktikan dia mempunyai kelebihan daripada sudut personaliti dan kecantikan.
Tidak menghairankan jika ada yang menggelarnya primadona pada masa akan datang.
Namun, ada harga perlu dibayar berikutan kejayaan awal diperoleh pada usia muda.
Mempunyai ratusan ribu peminat dan menjadi perhatian ramai menyebabkan gerak-geri pelakon yang mula mencipta nama menerusi pementasan teater Ali Baba dan Ibu Zain ini sering diperhatikan.
Timbul kontroversi baru-baru ini apabila ada yang mendakwa pelakon yang mengikuti pengajian peringkat diploma di Kolej Universiti Damansara Utama (KDU) dalam bidang Seni Persembahan & Komunikasi ini suka bangga diri dan menunjuk-nunjuk.
Gosip disiarkan itu ternyata memberi kesan besar, membabitkan pengajiannya mahupun kerjaya.
Yang pasti, tanggungjawab besar kini terpikul berat di bahu Elfira. Selain mengejar cita-cita, dalam waktu sama dia harus memastikan perjalanan hidupnya bersih daripada kontroversi.
Elfira yang turut menjayakan penggambaran drama bersiri Dalam Hati Ada Cinta di Paris, Perancis baru-baru ini berkata, kontroversi membabitkan dirinya timbul daripada salah faham. Ibaratnya, tidak kenal maka tidak cinta.
Jelas gadis kelahiran Kuala Lumpur ini, dakwaan dibuat hanya berdasarkan cakap-cakap orang yang tidak pernah mengenalinya, sedangkan yang berlaku sebenarnya hanya gurauan di kalangan mereka yang rapat dengannya dan kenal antara satu sama lain.
“Tidak mungkin saya mahu bersikap begitu dengan sengaja. Perkara terbabit ditimbulkan sewaktu saya bersama pengarah, Michael Ang dan beberapa pelakon lain memperkatakan satu isu. Michael pula suka mengusik dan selalunya kami pelakon yang rapat dengannya akan layan perangainya.
“Kami mula berdialog seperti berlakon dan keluarlah ayat yang kalau orang dengar dan nampak seperti kami bergaduh, tetapi sebenarnya itu gurauan.
“Waktu itu mungkin ada orang baru bekerja dengan produksi milik Michael terkejut menyaksikan situasi itu dan mula bercerita. Maka tersebarlah cerita mengatakan saya cuba menunjuk-nunjuk dan bangga diri.
“Selalunya orang tidak mengenali diri saya yang sebenar mudah membuat persepsi negatif. Sebaik-baiknya sebelum membuat andaian, kenalilah seseorang itu dengan lebih baik dan kemudian baru membuat pertimbangan,” katanya.
Mengenai pengajiannya, kata Elfira, setakat ini semuanya berjalan lancar.
Walaupun waktu sama sibuk dengan penggambaran drama, ia tidak pernah memberi masalah untuk dia menangani dua perkara ini dalam satu masa.
“Istimewanya pengajian Seni Persembahan & Komunikasi di KDU, pembelajaran secara amali lebih dititik beratkan. Bayangkan jika saya berlakon drama atau terbabit dengan kerja di belakang tabir produksi, saya akan diberikan markah.
“Tertinggal kuliah bukan masalah kerana kebanyakan tenaga pengajar sedia memberi tunjuk ajar dan berkongsi nota. Yang penting, tugasan diberi harus disiapkan.
“Saya selalunya memberi penekanan kepada tugasan kerana ia penting. Malah, ada ketika di lokasi pun saya sibuk menyiapkan tugasan,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang seni persembahan dan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dan sarjana di luar negara.
Aksi panas Elfira dan Randy
SELAIN drama bersiri Qalesya, antara karya yang mengangkat nama Elfira ialah Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, yang kali pertama menemukannya dengan bintang popular dari seberang, Randy Pangalila.
Biar Mimpi Sampai Ke Bintang juga mencatat kejayaan besar buat produksi Cube Filem hingga memberi idea kepada penerbit dan pengarahnya, Michael Ang menerbitkan drama bersiri Dalam Hati Ada Taman (DHAT) yang bakal disiarkan di Astro Ria, Oktober depan.
Pastinya gandingan sekali lagi Elfira dan Randy dinanti ramai pengikut telemovie Biar Mimpi Sampai ke Bintang yang memperoleh 1.2 juta penonton.
Tidak kurang juga pasti ramai mahu melihat permainan watak antara Elfira dan Randy dalam DHAT dan sejauh mana pula ia berbeza dengan Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.
Kata Elfira, sudah tentu watak dilakonkan dalam dua drama ini sangat berbeza, apatah lagi durasi tayangan juga tidak sama. Katanya, dalam DHAT pembawaan wataknya lebih berat kerana konflik yang berlaku sangat luas.
Ia juga lebih menarik, tetapi ‘mood’ yang ada dalam Biar Mimpi Sampai Ke Bintang juga ada dalam DHAT.
Keserasian antara Elfira dan Randy juga bertambah kuat dalam DHAT, terutama membabitkan babak percintaan. Ada beberapa aksi juga dirasakan bakal mencetuskan kontroversi, termasuk bercium.
“Dalam DHAT, babak romantis itu memang ada tetapi ia dilakukan dengan cara berbeza supaya penonton dapat merasainya. Isu cium itu pula sebenarnya bukan saya benar-benar cium pipi Randy, sebaliknya saya cium tangan sendiri.
“Ia ada kaitan dengan dialog. Saya tidak mahu bercerita panjang mengenainya tetapi mahu penonton menyaksikannya. Pada saya, idea penulis skrip menghasilkan babak itu sangat manis dan comel,” katanya.
Akui Elfira, gandingannya dengan Randy tidak disukai semua orang, malah sebelum ini banyak kritikan dan kutukan diterima Elfira daripada peminat setia Randy yang rata-ratanya perempuan.
Menganggap perkara berlaku sebagai biasa, kata Elfira, ia timbul daripada sifat cemburu dan ia adalah normal, terutama bagi gadis sebayanya.
“Saya juga ada idola sendiri. Apabila melihat idola saya muncul dengan perempuan lain atau berlakon dengan orang lain, saya juga ada rasa cemburu.
Pada saya, kritikan dan kutukan diberi bukan masalah besar. Ia menjadi adat.
“Saya tidak pernah berasa sakit hati apabila ada orang berbuat demikian (mengkritik dan mengutuk) hanya kerana saya berlakon dengan Randy.
“Sebagai pelakon yang menjadi perhatian umum, saya juga meletakkan diri saya di tempat mereka sebelum membuat tindakan membabitkan kritikan dan kutukan yang mereka berikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: