Tuesday, September 4, 2012

Buah naga tema hidangan

SEBAHAGIAN daripada 50 menu berasaskan buah naga yang disajikan kepada pelanggan Restoran Bunga Naga Atas Bukit di Kampung Lubuk Batu, Jitra, Kedah.

SEBAIK sahaja melangkah masuk ke Restoran Bunga Naga Atas Bukit di Kampung Lubuk Batu, Jitra, Kedah, anda pasti kagum melihat kreativiti pemiliknya menggunakan buah naga sebagai tema dalam pelbagai sajian makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.

Ditambah dengan kelazatan gabungan resipi warisan dan terkini membuatkan restoran berkonsepkan masakan kampung yang diusahakan oleh Harun Jasin, 63, dan isterinya, Rohaya Othman, 49, menjadi bualan ramai.

Apatah lagi restoran berkenaan terletak di atas bukit yang sekali gus menghadirkan suasana alam semula jadi dengan dikelilingi kehijauan dusun buah-buahan dan hembusan udara segar serta menyamankan.

Restoran yang menggunakan moto 'Cita rasa Asli, Resipi Terkini' itu mula beroperasi pada pertengahan tahun 2008 selepas pasangan suami isteri tersebut yang pada asalnya mengusahakan ladang buah naga berhasrat mengembangkan perniagaan berasaskan buah berkenaan.

Setelah hampir lima tahun beroperasi, Restoran Bunga Naga Atas Bukit kini menyajikan lebih 50 menu yang menjanjikan kelainan kepada para pelanggan untuk menikmatinya.

Pelanggan bukan sahaja boleh menempah masakan bertemakan buah naga tetapi pelbagai hidangan lain yang memenuhi cita rasa mereka.

Antara menu popular adalah asam pedas tumis buah naga, ikan cabai buah naga lima rasa, ikan bakar warisan, ayam berlada biji gajus, udang goreng saring, ketam goreng kari dan ikan goreng kicap bawang putih.

"Kami cuba pelbagai resipi dan alhamdulillah, kami berjaya menghasilkan sajian yang mendapat sambutan pelanggan. Dari semasa ke semasa, kami juga berusaha menambah jumlah hidangan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

"Selain hidangan berasaskan buah naga, restoran kami turut menawarkan pelbagai sajian lain. Kesemua hidangan yang disajikan adalah halal dan dijual pada harga berpatutan," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Harun berkata, meskipun menyediakan pelbagai menu menarik, namun masakan bertemakan buah naga terus menjadi identiti restoran mereka.

Katanya, mereka mendapatkan bekalan buah naga dari seluruh negara memandangkan ladang buah naga milik keluarganya telah digunakan untuk mendirikan bangunan ruang makan bagi membesarkan lagi restorannya yang kini mempunyai 12 pekerja.

"Untuk masakan lain, kami menggunakan bahan mentah yang segar dan berkualiti termasuk mendapatkan bekalan daripada penduduk setempat," ujarnya lagi.

Menurut Harun, makanan yang disediakan di restoran itu dihidangkan secara ala carte dan hanya disediakan jika ada tempahan daripada pelanggan.

Kesemua sajian dimasak dan dipantau sendiri oleh Rohaya yang mewarisi bakat memasak daripada bapanya bagi memastikan keaslian kualiti serta rasa hidangan yang dipersembahkan kepada pelanggan mereka.

Katanya, sehingga kini Restoran Bunga Naga Atas Bukit menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada tetamu kerabat diraja, menteri, tokoh-tokoh politik dan korporat, pelajar universiti dan orang ramai dari dalam serta luar negara.

"Pada masa ini, restoran kami mampu memuatkan kira-kira 150 pelanggan pada satu-satu masa," katanya.

Restoran Bunga Naga Atas Bukit dibuka mulai pukul 4 petang hingga 11.30 malam setiap hari. Untuk ke restoran tersebut, hanya mengambil masa kira-kira lima minit perjalanan kenderaan dari Bandar Darul Aman, Jitra.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menempah sajian makanan di restoran berkenaan, mereka boleh menghubungi talian 04-9162150, 019-4747150 atau 012-4280150. Sebarang maklumat lanjut juga boleh didapati dengan melayari www.rbn.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: