Menjadikan buah-buahan sebagai hadiah untuk sahabat handai ketika berkunjung ke rumah terbuka sempena hari raya memang jarang dilakukan.
Apa kata amalan itu dimulakan dari sekarang kerana mengikut Tinjau Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ke-3, kira-kira 70 peratus rakyat Malaysia dalam semua kumpulan usia mengamalkan diet tidak sihat dan tidak mengambil buah-buahan serta sayuran secukupnya.
Selain itu, hanya 30 peratus daripada rakyat Malaysia bersenam secara tetap untuk sihat.
Pakar perunding diet tempatan, Indra Balaratnam berkata, ramai orang tidak dapat mengawal nafsu makan semasa hari raya biarpun mereka menyedari pengambilan makanan secara berlebihan memberi kesan buruk kepada tubuh badan.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya mengawal nafsu makan pada musim perayaan kerana mereka tentu menerima banyak undangan rumah terbuka.
"Musim perayaan boleh membawa tekanan. Pastikan anda mempunyai bekalan buah-buahan yang kaya dengan Vitamin C untuk membantu memperkuatkan sistem ketahanan badan dan menjauhkan selesema dan sakit tekak.
"Buah-buahan warna merah atau ungu kaya dengan antioksida yang dapat menguatkan sistem ketahanan badan.
"Ambil lebih banyak buah-buahan yang kaya dengan antioksida, untuk membantu menentang kesan kerosakan yang dibawakan oleh tekanan ke atas badan semasa musim cuti," kata Indra.
Sebolehnya beliau berkata, makan sedikit di setiap rumah yang dikunjungi dan untuk mengelakkan masalah makanan tidak hadam.
"Makan nanas selepas mengambil makanan berat kerana nanas mengandungi enzim bromelain yang membantu penghadaman
"Sebelum ke majlis jamuan atau rumah terbuka saya cadangkan juga minum campuran jus tomato, lobak merah dan epal untuk mendapatkan tambahan karetonoid atau jus tembikai susu dan mentimun untuk menggebukan kulit.
"Satu kajian yang dijalankan di Britain menunjukkan bahawa pengambilan dua hidangan tambahan sayuran dan buah-buahan seperti lobak merah dan tomato membantu mencantikkan warna kulit.
"Menurut pakar penyelidik, pigmen karetonoid warna oren kemerahan membantu menjadikan kulit lebih berseri," kata Indra.
Dalam pada itu MBG Fruitshop buat julung kalinya telah menganjurkan pesta Yes! Fruits dengan pelbagai aktiviti pendidikan yang menyeronokkan tentang buah-buahan sempena Syawal dan Hari Buah-Buahan Antarabangsa dari Julai hingga Ogos lalu.
Pengarah Urusannya, Adnan Lee, berkata, memandangkan rakyat Malaysia sibuk, mereka mungkin lupa pentingnya peranan buah-buahan dalam mengimbangkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Sempena Hari Buah-Buahan Antarabangsa, pihaknya telah menghidupkan semula 'cinta dan hubungan' rakyat Malaysia dengan buah-buahan.
Pada masa yang sama, meninjau apa pendapat rakyat tentang buah-buahan atau ingatan mereka tentang buah-buahan.
"Akhir sekali, kami ingin menggalakkan rakyat Malaysia supaya makan lebih buah-buahan dan berkongsi buah-buahan di tempat kerja, di rumah dan dalam pergaulan sosial untuk menjaga kesihatan.
"Kami mendapat inspirasi daripada satu tinjau selidik yang dijalankan oleh pelajar di Berlin. Ia menunjukkan bahawa cara terbaik untuk mengeratkan hubungan ialah berkongsi makanan, terutama sekali makanan yang sihat dan berkhasiat seperti buah-buahan.
" Tidak lama kemudian, idea berkongsi makan buah-buahan mengilhamkan Hari Buah-Buahan Antarabangsa yang dirayakan di seluruh dunia pada 1 Julai.
"Bagi Malaysia, ini akan merupakan pesta buah-buahan yang pertama pernah di adakan di negara ini," kata Adnan.
MBG akan juga memulakan tinjau selidik buah-buahan di seluruh negara untuk mengetahui tabiat makan buah-buahan, kecenderungan dan pandangan orang ramai tentang pentingnya buah-buahan dalam hidup mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: