Sunday, September 9, 2012

Batik tembusi Eropah

Michelle Lau Sook Yee mahu mempopularkan batik Meesha Sukira ke peringkat dunia.

BATIK bukan sahaja istimewa kerana dihasilkan menggunakan kerja tangan malah cantik dengan elemen-elemen tradisional yang menggunakan corak semula jadi seperti unsur flora dan fauna.

selain itu, penggunaan warna yang menarik dan pelbagai juga menambahkan lagi keserian dan keindahan seni halus batik itu sendiri.

Tidak hairanlah jika fabrik batik semakin meluas di pasaran Malaysia dan luar negara kerana nilai keseniannya yang tinggi.

Pengarah Urusan Meesha Sukira, Michelle Lau Sook Yee berkata, batik kini boleh semakin mendapat permintaan daripada orang ramai.

"Jika dahulu ia hanya dilihat sebagai pakaian tradisional dan terkenal di kalangan masyarakat kampung, tetapi persepsi itu semakin berubah pada hari ini.

"Malah batik semakin dikomersialkan di pasaran antarabangsa. Batik di Meesha Sukira telah menembusi pasaran Eropah seperti Milan dan Rom serta Amerika Syarikat selain sekitar Brunei," katanya.

Tambahnya, untuk permintaan di luar negara setiap rekaan busana batik dihasilkan dengan memenuhi cita rasa pengguna dan boleh dipakai oleh semua golongan .

"Kami cuba mencari kelainan dalam setiap rekaan yang dihasilkan supaya nampak ringkas dan menarik.

"Corak pada batik dan baju memainkan peranan penting. Sebab itulah setiap rekaan di Meesha Sukira menekankan konsep ringkas dan moden selari dengan perkembangan batik itu sendiri," katanya

Ujar Michelle lagi, batik yang dipasarkan di pasaran antarabangsa dieksport dalam bentuk busana yang siap dipakai.

Batik dengan rekaan skirt pendek antara produk yang dipasarkan di luar negara.

"Skirt pendek yang dihasilkan dengan rekaan batik bercorak ringkas dan padanan warna yang menarik sangat sesuai dipakai golongan wanita bekerjaya.

"Selain itu, skirt ini juga sesuai digayakan di majlis santai dan sesuai dipakai ketika bersiar-siar di pantai kerana rekaannya yang ringkas selain menggunakan fabrik yang bagus," katanya.

Tambah beliau, fabrik kapas dan sutera digunakan untuk setiap rekaan batik di Meesha Sukira.

"Fabrik sutera dan kapas yang diimport dari China menjadi pilihan kerana kosnya murah tetapi berkualiti.

"Kedua-dua fabrik ini sangat sesuai kerana permukaannya yang lembut dan menyerap peluh selain sesuai untuk dipakai dengan iklim seperti di Malaysia," katanya.

Katanya lagi, untuk meluaskan pasaran di dalam dan luar negara, Meesha Sukira telah mempelbagaikan produk batiknya.

"Antara produk yang dihasilkan adalah kasut dari fabrik batik, tas tangan, skarf, kaftan dan juga kotak perhiasan.

"Selari dengan pemilihan fabrik sedemikian, rekaan dan potongan yang diilhamkan juga mengikut cita rasa masyarakat moden hari ini.

"Potongan busana juga tidak tertumpu kepada wanita tidak bertudung seperti potongan polos, dan blaus panjang.

"Namun, sebagai keseimbangan gaya hidup wanita hari ini, potongan seperti kaftan dan jubah dalam sentuhan lebih segar dan selesa sesuai untuk gaya pemakaian wanita," katanya.

Tambahnya lagi, batik Malaysia berbeza dengan batik dari Indonesia dan Thailand dari aspek motif dan rekaan melalui hasil kerja tangan yang berbeza.

" Setiap rekaan batik yang dihasilkan di sini menggunakan teknik outline iaitu menggunakan lilin dan campuran warna yang menarik.

"Canting yang berisi campuran lilin cair dilakar di atas kain yang mempunyai corak bebas. Kemudian lakaran ini diwarna mengikut corak yang dicanting," katanya.

Ujarnya, selain menjadi pembekal batik, Meesha Sukira juga pernah terlibat dalam promosi batik di peringkat antarabangsa.

"Batik di Meesha Sukira digunakan untuk membuat pakaian seragam atlet ketika berlangsungnya Sukan Komanwel di Delhi, Sukan Olimpik Beijing dan juga Sukan Asia Doha," katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Meesha Sukira boleh premisnya di Taman Sri Batu Caves Selangor atau atau berkunjung cawangannya yang terletak di Isetan KLCC.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: