Anzalna Nasir
Anzalna Nasir

SIAPA sangka aktres jelita yang kini giat mencipta nama dalam pentas lakonan tempatan, Anzalna Nasir sebenarnya masih lagi belum memiliki lesen memandu walaupun usianya kini telah mencecah 24 tahun.

Anzalna mengakui punca sehingga kini dirinya tidak memiliki lesen kerana fobia dan tidak yakin untuk memandu sendiri.

Maka tidak hairanlah Anzalna sering dilihat bersama kekasih, Mohd Hanif Mohd Zaki, 24, mahupun keluarga yang sentiasa menemaninya ke mana sahaja termasuklah ke lokasi penggambaran.

"Sebelum ini ketika berumur 22 tahun saya ada cuba belajar memandu, tetapi kerana tidak yakin, saya pernah melanggar rumah sendiri. Sejak daripada itulah keberanian saya untuk memandu semakin berkurangan.

"Mujurlah ada keluarga dan teman lelaki yang memahami situasi saya. Merekalah yang akan menemani ke mana jua saya pergi," katanya.

Walaupun begitu, Anzalna mengakui agak sukar baginya untuk menjalani aktiviti lakonan sehingga dia terpaksa membatasi kariernya sebagai seorang pelakon.

"Oleh kerana tidak ada lesen, saya terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang menjalankan penggambaran di luar Kuala lumpur.

"Oleh sebab itu, baru-baru ini saya mengambil keputusan berdaftar untuk mengambil kelas memandu untuk memudahkan segala urusan yang akan datang," jelasnya.

Berserah soal jodoh

Menyentuh mengenai hubungan cinta yang semakin mekar bersama jejaka pilihan hatinya itu, Anzalna mengatakan dirinya menyerahkan segalanya kepada Tuhan.

Biarpun tidak pernah berselindung dengan perihal cinta bersama kekasihnya kepada orang ramai, namun pelakon berbintang Capricon tidak begitu selesa sekiranya kisah percintaan mereka diperbesarkan.

"Kalau boleh, saya mahu orang mengenali saya dengan bakat lakonan bukannya kerana kisah percintaan mahupun kontroversi kerana sebagai seorang pelakon, saya mahu kebolehan saya dihargai.

"Soal cinta dan jodoh pula saya serahkan kepada Tuhan. Lagipun ia terlalu peribadi untuk dikongsi bersama orang ramai. Cukuplah sekadar peminat tahu saya sudah memiliki kekasih," ujarnya.