Friday, September 7, 2012

15,000 hadir sambutan Aidilfitri KBS


AHMAD SHABERY (empat dari kiri), timbalannya Razali (empat dari kanan) dan Ping Sieu (tiga dari kanan) beramah mesra dengan Pandelela pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sambutan rumah terbuka Aidilfitri 2012 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meriah dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung pada majlis yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini semalam.

Penganjuran rumah terbuka Aidilfitri yang serentak dengan Hari Bertemu Pelanggan KBS itu memberi peluang kepada belia untuk beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan dengan para pegawai kementerian.

Antara tetamu yang hadir ialah pemimpin dan ahli persatuan-persatuan belia, gabungan Majlis Belia Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.


GANDINGAN Sharifah Shahira dan Ebby Yus sebagai pengacara majlis menggamatkan suasana rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan.


Selain itu, kehadiran pemenang pingat gangsa Olimpik 2012, Pandalela Rinong Pamg dan bekas pemain skuasy negara, Mohd. Azlan Iskandar turut memeriahkan lagi majlis rumah terbuka itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan itu menggambarkan keindahan rakyat Malaysia terutama sekali kerana ia melibatkan anak muda dan belia.

“Alhamdulillah sambutan begitu meriah dan ceria sekali, ini menggambarkan keindahan Malaysia. Anak mudanya datang beramai-ramai dari pagi... suasananya begitu menggembirakan,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.


SUASANA meriah kehadiran ribuan tetamu yang mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan.


Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Senator Gan Ping Sieu.

Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan beberapa artis tempatan termasuk Awie, Black, Jimmy Palikat, Mr. Os, Mila dan Yazer AF manakala Sharifah Shahira dan Ebby Yus bertindak sebagai pengacara.

Sebanyak 40 buah gerai disediakan yang menawarkan pelbagai jenis juadah dari seluruh negara seperti nasi dagang, sate, nasi beriani, laksa Johor, keropok lekor, roti jala, lemang, rendang dan aneka minuman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: