setem hang tuah
Khalid (depan, tiga dari kiri) dan Dr Ibrahim (depan, tiga dari kanan) menunjukkan potret serta setem Hang Tuah. Gambar kecil: Wajah yang 99 peratus menyerupai Hang Tuah.
Hang Tuah.
Wajah yang 99 peratus menyerupai Hang Tuah.

MELAKA – Orang ramai kini boleh melihat wajah sebenar Laksamana Hang Tuah selepas gambar pahlawan itu dicetak di atas setem eksklusif keluaran Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad).

Pengerusi Pesawad, Khalid Hussin berkata, wajah pada setem itu menyamai 99 peratus wajah pahlawan Hang Tuah yang terkenal ketika pemerintahan Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

“Gambar ini milik peribadi Ahli Bersekutu Pesawad, Datuk Dr Ibrahim Ghaffar yang bersetuju untuk mendedahkan dan berkongsi wajah Hang Tuah kepada orang ramai selepas Pesawad mengemukakan permohonan pada Jun lalu.

“Setem ini terhasil dalam tempoh sebulan iaitu selepas Pejabat Pos Malaysia meluluskan permohonan pengeluaran eksklusif oleh Pesawad seminggu sebelum Ramadan lalu,” katanya kepada pemberita, di Duyong, semalam.

Khalid berkata, setem memaparkan wajah Hang Tuah yang telah mula digunakan untuk penghantaran Kad Raya oleh Pesawad itu diwujudkan bertujuan menaikkan jati diri orang Melayu.

“Kita perlu bangga sebagai Melayu yang pernah unggul pada zaman kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu dan sebab itu setem ini dikeluarkan.

“Selain itu, Pesawad menjadikan ia sebagai salah satu aktiviti untuk mendapatkan dana persatuan yang ditubuhkan sejak 2010,” katanya.

Menurutnya, satu set setem mengandungi 10 keping setem dijual dengan harga 60 sen setiap satu, tidak dijual di Pejabat Pos dan Pesawad satu-satunya pihak diberi kebenaran itu menjual setem tersebut.

“Orang ramai boleh mendapatkan setem ini dengan menghubungi Ahli Jawatankuasa Pesawad menerusi talian 012-915 1187 atau 013-309 8210 dan belian perlu dibayar melalui kiriman wang,” katanya.

Sementara itu, Dr Ibrahim berkata, potret lukisan Hang Tuah itu terhasil pada 1989 selepas beberapa kali bertemu dengan pahlawan itu di alam ghaib bermula pada 1988.

“Selepas beberapa kali bertemu dan wajah sama tampil, saya tidak ragu-ragu lagi bahawa memang dialah Hang Tuah lalu saya minta bantuan seorang rakan melukis potret Hang Tuah berdasarkan cerita saya,” katanya.