Sunday, April 1, 2012

Wajah baru kamar hotel Concorde


SUASANA mewah dalam bilik Eksekutif Premier, Hotel Concorde Shah Alam.


BOLEH dikatakan Hotel Concorde Shah Alam merupakan mercu tanda paling mudah untuk dikenali di bandar raya tersebut.

Ini kerana lokasi hotel lima bintang itu begitu strategik dan kehadirannya bagaikan sinonim dengan pembangunan pesat bandar raya anggerik itu yang merupakan ibu negeri Selangor. Hotel Concorde menjadi pilihan ramai kerana perkhidmatan kelas pertama yang disediakan kepada setiap tetamu dan pengunjungnya.

Jika anda memandu dari Kuala Lumpur, perjalanan untuk ke Hotel Concorde Shah Alam hanya mengambil masa kira-kira 30 minit, bergantung kepada keadaan iaitu sekiranya tiada sebarang kesesakan trafik di Lebuh raya Persekutuan, manakala perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hanya mengambil masa kira-kira 45 minit.

Ketika ini, Hotel Concorde Shah Alam melalui fasa baru apabila bangunannya telah selesai menjalani proses penambahbaikan demi memberi kepuasan berganda kepada pelanggan. Wajahnya juga begitu berseri setelah dicat baru.

Bukan sahaja penampilan luaran, dengan peruntukan besar mencecah RM3 juta, penambahbaikan dilakukan dengan memberikan kelainan tona warna dalaman hotel tersebut. Ia melibatkan perubahan warna cerah yang lebih ceria di segenap sudut hotel.

Hotel yang mempunyai 381 bilik dan suite itu dilengkapi perabot dan hiasan dalaman yang menampilkan sentuhan lebih moden, sesuai dengan imej era alaf baru. Bilik-bilik yang mengalami penambahbaikan turut menampilkan pencahayaan lampu yang lebih canggih.

Bilik yang disediakan merangkumi bilik Superior, Deluxe, Eksekutif Deluxe, Premier, Eksekutif dan Suite, Pangsapuri serta bilik Premier Shah Alam. Antara bilik yang terlibat dengan penambahbaikan dan susun atur eksklusif secara besar-besaran adalah bilik Superior dan Eksekutif Deluxe.

Segalanya dilakukan demi kepuasan pelanggan yang ingin bersantai dalam suasana penuh limpahan kemewahan dan paling utama keselesaan berganda.

Terletak di tingkat empat hingga lapan, kerja-kerja ubah suai dan penambahbaikan bilik Superior telah siap sepenuhnya pada November tahun lalu.

Para tetamu pasti akan terpesona kerana bilik-bilik tersebut dicat dengan tiga tona warna bumi, dinding yang dicat semula, termasuk lantainya dihiasi permaidani baru yang terbentang indah.

Segala keselesaan yang diimpikan jauh dari kediaman sendiri tersedia di sini dengan bilik-bilik Superior yang telah diubahsuai itu. Sungguh berbaloi jika dapat menginap di sini, sama ada atas tujuan urusan perniagaan, mahu pun bersantai sendirian atau bersama keluarga.

Untuk tetamu yang inginkan bilik yang lebih baik, sudah pasti bilik baru Eksekutif Deluxe menjadi pilihan. Bilik jenis terbaru itu diinspirasikan daripada ciri-ciri klasik.

Kombinasi gaya dan keselesaannya cukup sempurna. Hiasan dalamannya menekankan ciri-ciri tona warna bumi dan reka bentuk inovatif untuk menonjolkan tarikan moden dalam kelasnya yang tersendiri.

Kesemua bilik Eksekutif Deluxe dilengkapi televisyen LCD skrin lebar, meja tulis dengan reka bentuk moden dan lampu bacaan LED boleh ubah.

Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seterika dan papan penggosok pakaian, selain perkhidmatan internet tanpa had. Bilik-bilik ini berada di tingkat 12 dan 14 dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 90 unit.

Selain itu, Hotel Concorde mempunyai panorama menarik dan indah. Satu malam menginap di sini akan meninggalkan kenangan manis hingga anda pasti akan bertandang lagi. Pasti anda tidak akan lupakan panorama malam yang indah di sini dengan pemandangan bandar raya Shah Alam dan mercu tandanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Ia sudah pasti memberikan ketenangan mendalam, sesuai untuk mereka yang ingin mencari ilham.

Kunjungan di bandar raya ini dengan memilih Hotel Concorde Shah Alam sebagai tempat menginap menjadi lebih bermakna kerana bandar raya ini mempunyai pelbagai destinasi menarik, antaranya Taman Botani Negara Shah Alam atau dahulu dikenali Taman Pertanian Bukit Cahaya serta Taman Air Wet World Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: