|
BUAT pertama kali dalam sejarah saluran berbahasa Tamil, Astro Vaanavil, program berbentuk pertandingan iaitu Vaanavil Super Star (VSS) akan disampaikan secara berbeza selepas 11 tahun penganjuran.
Menghimpunkan semula seramai 44 orang bekas pemenang dan finalis pertandingan bakat VSS pada tahun ini bakal mencetus fenomena tersendiri apabila ia akan 'melagakan' bekas pemenang di atas satu pentas.
Pegawai Perhubungan Awam Astro, Vijaya Rani Selappa memberitahu, ia adalah perancangan untuk tahun ke sepuluh namun terpaksa ditangguh pada tahun ini atas sebab-sebab tertentu.
"Pada awalnya, kami menyasarkan lebih ramai bekas pemenang dan finalis yang akan menyertai pertandingan ini tapi malangnya, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, ada yang tidak dapat bersama kami," ujarnya mengenai sasaran awal yang seramai 70 hingga 80 orang peserta.
Antara peserta yang bakal menggegar pentas kali ini seperti pemenang tahun 2002 (ketika itu program tersebut dinamakan Paadal Thiran Potti), Alinda Alphonse; bekas pemenang tahun 2003, Anuratha Murugagoo dan pemenang tahun 2006, Chaarumathe Savaratnam.
"Kesemua 44 orang ini akan melalui enam fasa atau kalam sebelum seorang pemenang dinobat sebagai juara. Namun, sebagai menghormati semua peserta, kami akan menyediakan hadiah untuk setiap orang yang mencecah nilai terkumpul M170,000.
"Selain itu, pemenang utama akan memperoleh sebuah kereta mewah bernilai lebih RM270,000 sebagai mengekalkan tradisi VSS," kata Pengurus Saluran Vaanavil, V. Krishnan.
Krishnan turut berpesan kepada bakat baharu yang sedang menunggu peluang menyertai pertandingan VSS, agar belajar daripada mereka yang sudah terkenal (bekas pemenang).
"Walaupun bekas pemenang ini sudah menjadi artis, mereka juga tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Ia akan menjadi satu pengajaran yang bagus kepada peserta baharu. Saya harap dapat berjumpa bakat baharu ini pada penganjuran tahun hadapan," katanya ringkas.
Pihak VSS turut membariskan beberapa orang juri tempatan dan dari India yang baharu. Oleh kerana tidak pernah terlibat sebagai juri pertandingan sebelum ini, semua peserta ini dihakimi dengan adil dan tiada unsur pilih kasih.
Sementara itu, pihak Astro Vaanavil buat pertama kali, mengadakan promosi besar-besaran bagi program VSS dengan menyalut poster barisan peserta VSS 2012 di lima buah bas yang akan mengelilingi kawasan sekitar Lembah Klang.
"Ia juga antara usaha pihak Astro Vaanavil untuk mempromosi dan mengetengahkan barisan peserta serta artis tempatan di khalayak umum demi meraih sokongan," ujar Krishnan lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: