Monday, April 23, 2012

Konsep Inggeris LoVe London


HIMPUNAN pakaian Philosophy Men hadir dalam konsep kasual dan santai.


JENAMA Graffi Tee, Philosophy Men dan Salabianca meraikan kegemilangan dua acara besar yang sangat jarang berlangsung dalam tahun yang sama.

Seiring dengan ulang tahun Jubli Intan pemerintahan Ratu Elizabeth II dan Sukan Olimpik, Salabianca menunjukkan penghormatan mereka menerusi rekaan bermotif alam semula jadi, sesuai dengan pertunjukan flora dan perarakan kuda Derby.

Dres organza paras betis (tea length), dres musim panas dan baju T dengan corak barang kemas Ratu Britain itu menghasilkan gabungan gaya moden dan klasik.

Pengaruh imej taman botani yang kuat dapat dilihat pada fabrik organza dan net yang digunakan. Penataan tiga dimensi (3D) flora dan fauna pada dres yang dihasilkan jelas menonjolkan semangat taman Inggeris yang menjadi signatur negara tersebut.

Meneliti koleksi Philosophy Men pula, ia lebih menitikberatkan penghargaan terhadap cuti umum Britain di Brighton, Bath dan Gibraltar. Seleksi rekaan dipengaruhi warna langit cerah kebiruan dan ditambat dengan titisan embun asli. Ia disudahkan dengan jalur seperti baju kelasi yang berfungsi sebagai penegas imej.

Unsur humor dan kecerdikan Britain diterapkan ke dalam rekaan Graffi Tee yang mencedok idea daripada karakter James Bond dan Sherlock Holmes. Motif buku-buku popular menghiasi baju T itu menjadi simbolik pengiktirafan kepada penulis-penulis berbakat negara tersebut.


GAUN tunic nuansa lembut tampak ceria apabila digayakan bersama sarung kaki warna firus.


Sebagai pelengkap tontonan kebudayaan Britain, ketiga-tiga jenama itu juga mengeluarkan baju T LoVe London yang menjadi stail asas Inggeris.

Turut mencuri tumpuan ialah baju T bercorak kuasa muzik pop Britain, kehebatan zoologi dan kartun pengawal Wales bagi menyemarakkan hari-hari si pemakai.

Kesemua rekaan boleh didapati di butik-butik Graffi Tee, Philosophy Men dan Salabianca seluruh negara bermula pertengahan April ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: