Monday, April 23, 2012

Tak makan saman

TAK PEDULI...kenderaan yang diparkir di tempat larangan di Pantai Dalam.
TAK PEDULI...kenderaan yang diparkir di tempat larangan di Pantai Dalam.
AMARAN...papan tanda larangan meletakkan kenderaan di kawasan laluan bomba tidak dipedulikan orang awam.
AMARAN...papan tanda larangan meletakkan kenderaan di kawasan laluan bomba tidak dipedulikan orang awam.

KUALA LUMPUR: Sikap segelintir pemandu yang meletakkan kenderaan di petak khas berhampiran pili bomba selain menghalang pintu masuk laluan jentera bomba di kawasan apartmen dan kondominium mengundang pelbagai masalah jika berlaku kecemasan dan kebakaran.

Walaupun terdapat garisan kuning dan papan tanda amaran selain rantai besi diletakkan di pintu pagar berkenaan, segelintir pemandu tidak peduli dengan semua tanda amaran itu.


Tinjauan Metroplus ke beberapa kawasan perumahan di Pantai Dalam mendapati banyak kenderaan diletakkan di petak yang dikhaskan untuk pasukan bomba.

Penduduk, Jeremy Wong, 48, berkata, biarpun kawasan itu menghadapi masalah kekurangan tempat letak kenderaan, semua penghuni seharusnya tidak mementingkan diri sendiri demi kebaikan bersama.


“Tidak menjadi masalah jika pemilik kereta mahu meletakkan kenderaan di tepi laluan kerana tempat letak kereta di kawasan ini tidak mencukupi, namun jika meletakkan kenderaan di pintu masuk laluan bomba, ia tidak boleh dimaafkan.


“Sudahlah laluan sedia ada sempit, ditambah pula dengan menghalang jalan, saya harap mereka bertimbang rasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, walaupun sudah berkali-kali saman dikeluarkan, namun mereka masih meletakkan kenderaan di kawasan larangan.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman ketika dihubungi berkata, sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemilik kenderaan itu menyusahkan banyak pihak kerana bukan saja melambatkan bomba melakukan kerja menyelamat, malah boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Apabila berlaku keadaan seperti itu, kami mengalihkan kenderaan terbabit tanpa mengambil kira siapa pemiliknya demi menyelamatkan mangsa selain kompaun dikeluarkan kerana menghalang laluan bomba menyalahi undang-undang.


“Jangan mengambil jalan mudah kerana kecemasan berlaku bila-bila masa dan jika sudah terlambat tiada guna menyesal,” katanya.


Justeru, katanya, orang ramai perlu peka masalah itu kerana bukan saja memudahkan bomba melakukan tanggungjawab, malah pemilik kenderaan juga mampu menyelamatkan nyawa berharga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: