Monday, April 23, 2012

R.A.F.L bawa pulang RM10,000

PESERTA New Straits Times Streets Race 2012 ketika berlumba di LRT KLCC, semalam.
PESERTA New Straits Times Streets Race 2012 ketika berlumba di LRT KLCC, semalam.
KUALA LUMPUR: Berbekalkan semangat kental meneruskan perlumbaan walaupun dua rakan lain mengalami kekejangan membuahkan hasil berbaloi kepada pasukan R.A.F.L untuk muncul juara ‘New Straits Times Streets Race 2012’, semalam.

Dengan kejayaan mengatasi 500 peserta lain yang mewakili 125 pasukan, R.A.F.L dianggotai Muhammad Leslie Jirin, 30; Mohd Azril Ishak, 26; Mohamad Farizul Syauqie Ismail, 27, serta Anthony Abong, 34, dari Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan itu membawa pulang wang tunai RM10,000.
Leslie ketika ditemui berkata, pasukannya tidak menyangka muncul juara kerana soalan yang diberikan memang sukar terutama di awal perlumbaan.
“Awal lagi kami sudah bermula lambat sebab soalan agak susah dan memerlukan kita berfikir. Namun, kami tidak berputus asa memberi saingan kepada pasukan lain. Kami turut mengalami cabaran di tengah perlumbaan apabila dua rakan (Anthony dan Farizul) mengalami kekejangan.

“Ada 12 ‘check point’ kami kena lalui termasuk ujian rempuh halangan serta angkat pasir seberat 20 kilogram sambil berjalan. Pengalaman sebagai tentera akhirnya membantu kami memintas pasukan lain,” katanya.

Naib johan disandang pasukan Awesome & her jantans yang membawa pulang wang tunai RM8,000, disusuli pasukan Geng Kaki Lari di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM5,000, manakala peserta di tempat keempat hingga ke-13 masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.

Pertandingan yang bermula seawal jam 8 pagi itu dianjurkan akhbar News Straits Times (NST) dengan kerjasama RapidKL, TV8 serta Radio Fly FM.
Perlumbaan mencabar pengetahuan itu memerlukan peserta menjelajah beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur antaranya, Bangsar, stesen KL Sentral, Bukit Bintang dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) sejauh 10 kilometer serta perlu melalui 12 pusat pemeriksaan bagi mencari jawapan kepada soalan yang diberikan.

Peserta tidak dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti teksi, sebaliknya hanya dibenarkan berjalan kaki atau menaiki kemudahan aliran transit ringan (LRT). Mereka turut dibekalkan kad LRT bernilai RM20 setiap satu.

Turut disediakan, hadiah cabutan bertuah termasuk penginapan di hotel terkemuka, percutian tiga hari dua malam ke Phnom Penh, Kemboja dan Bali, Indonesia, baucer pembelian bernilai RM50 hingga RM500, telefon bimbit jenama Samsung Galaxy serta jam tangan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarang Kumpulan NST, Datuk Syed Nadzri Syed Harun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: