Shafie nafi beri Zahida ‘wang begitu banyak’
zahida rafik

SHAH ALAM - Datuk Seri Shafie Apdal hari ini secara terbuka menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan bekas pemandunya, Noor Azman Azemi yang mengaitkan beliau dengan pembayaran wang dalam jumlah yang besar kepada seorang artis Zahida Rafik sejak beberapa tahun lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, segala maklumat yang disebutkan dalam laporan polis yang dibuat oleh Noor Azman, yang dibuat bulan lalu, adalah tidak benar sama sekali.

“Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman bin Azemi yang bertarikh 13 Mac 2012, yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik,” kata beliau yang juga Naib Presiden Umno.

Shafie berkata, tindakan segelintir pihak yang menyebarkan laporan polis tersebut sebagai berniat jahat yang bermotifkan kepentingan politik pihak tertentu.

Dalam kenyataannya, Shafie turut menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berterusan memfitnah dan mengaitkan namanya dengan isu tersebut.

Zahida sebelum ini membuat laporan polis terhadap Noor Azman yang dikatakan telah melarikan sejumlah RM200,000 wang syarikatnya setelah meminta pemandunya itu memasukkan wang tersebut dalam akaun syarikat perniagaan milik keluarganya.

Minggu lalu, Noor Azman pula membuat laporan polis mendakwa bahawa seorang menteri Kabinet menyerahkan wang sejumlah RM1.5 juta kepada Zahida.

Spekulasi itu terus meruncing apabila beberapa pemimpin parti politik pembangkang membuat sidang akhbar menyebarkan dakwaan tersebut dengan mengaitkan nama Shafie sebagai menteri terbabit yang memberikan wang beberapa kali kepada Zahida dalam jumlah yang besar.

Noor Azman, 38, yang bekerja sebagai pemandu peribadi Zahida sejak tiga tahun lalu mendedahkan skandal itu dalam laporan polis terhadap artis itu, yang menuduhnya melarikan wang RM200,00. Tuduhan Zahida terhadap Noor Azman itu dilaporkan sebuah akhbar pada 3 Mac lalu.

Berikut kenyataan penuh Datuk Seri Shafie:
“Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman bin Azemi (No. K/P: 740214146237) No report AMPANG/007017/12 yang bertarikh 13 Mac 2012 yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik,” katanya.

“Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam laporan polis berkenaan adalah TIDAK BENAR sama sekali dan kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan salinan laporan polis berkenaan adalah BERNIAT JAHAT dan BERUNSUR POLITIK semata-mata.

“Sehubungan dengan itu, saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan perkara ini.