Chef Dr Ezani

ENAM tahun dia menimba ilmu di negara orang. Pulangnya ke tanah air, Ezani Farhana Md Monoto,26, membawa segulung ijazah dalam jurusan pergigian dari Universiti Adelaide, Australia.

Saat itu, dia sudah tidak ragu-ragu untuk mencurahkan khidmat sebagai doktor pergigian sekiranya mendapat panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, iklan pencarian peserta program realiti masakan, MasterChef Malaysia musim pertama terbitan Astro bagaikan memanggil-manggil dirinya untuk menyertai uji bakat.

Didorong minat mendalam terhadap dunia kulinari, Ezani mencuba nasib dan tertulis rezekinya untuk tersenarai sebagai salah seorang peserta.

Tanpa diduga, tawaran menyertai MasterChef Malaysia hadir serentak dengan penerimaan surat panggilan daripada KKM untuknya berkhidmat di Sabah.

Keputusan perlu dibuat segera dan Ezani hanya boleh memilih satu. Menganggap peluang memasuki MasterChef Malaysia sebagai tidak boleh dilepaskan, gadis kelahiran Muar, Johor dan membesar di Kuala Lumpur ini memohon penangguhan daripada KKM.

Ternyata percaturan Ezani tidak silap apabila percubaan sulungnya menyertai program pertandingan masakan telah mengangkatnya sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Nama Ezani secara tiba-tiba menjadi popular dan menjadi bualan hangat penonton yang setia mengikuti aksinya dalam MasterChef Malaysia.

Katanya sejak memenangi gelaran juara MasterChef Malaysia tiga bulan lalu, hidup saya berubah seratus peratus.

“Pergi ke mana-mana, sudah ada yang mengenali dan meminta untuk bergambar bersama. Sedangkan, saya adalah seorang yang simple dan langsung tidak terfikir untuk menjadi popular.

Ditemui ketika majlis pelantikannya sebagai duta produk makanan, My Chef baru-baru ini, tutur Ezani, dia juga terharu mengenangkan penerimaan baik masyarakat terhadap dirinya.

“Saya langsung tidak menjangka masyarakat dapat menerima kehadiran saya yang masih mentah dalam bidang masakan.

“Ada kalanya, saya rasa bagaikan bermimpi. Jika tidak menyertai MasterChef Malaysia, tentunya kini saya sedang berkhidmat sebagai doktor pergigian,” ujar Ezani.

Minat lahir dari rumah

Mengikat kontrak bersama Astro selama tiga tahun, jelas Ezani, dia kini menumpukan kerjayanya sebagai chef di bawah pengurusan stesen televisyen tersebut.

Tiada yang lebih melegakan Ezani apabila permohonannya untuk menangguhkan perkhidmatan sebagai doktor pergigian buat kali kedua diluluskan KKM.

Biarpun cita-cita asalnya adalah dalam bidang pergigian, ia bukanlah penghalang untuk anak bongsu daripada dua beradik ini untuk mencapai impian dalam dunia masakan yang cukup diminatinya.

Malah, menurut Ezani, dia sendiri asalnya adalah seorang yang suka memasak ketika di rumah dan beruntung kerana berkongsi hobi yang sama dengan ibu dan kakak sulungnya.

“Minat saya terhadap dunia masakan lahir dari rumah kerana ibu dan kakak saya gemar mencuba resipi baru.

“Sejak kecil lagi saya sudah membantu ibu membuat kuih raya. Maka, dalam banyak-banyak jenis masakan, saya paling suka menghasilkan pastri selain pencuci mulut,” katanya yang kini menetap di Kajang bersama keluarga tercinta.

Bagi Ezani, penyertaannya dalam MasterChef Malaysia dilihat sebagai sangat tepat untuk menambah ilmunya dalam dunia kulinari.

“Alhamdulillah, program ini telah membuka peluang seluas-luasnya kepada saya untuk menerokai bidang masakan secara lebih serius.

“Saya gembira dengan penghasilan program sebegini dan berharap ia dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya yang bersaing dengan Wahidan Abang Supain di peringkat akhir.

Saat ditanya sama ada dia akan terus bergiat secara sepenuh masa sebagai chef, Ezani berkata, masih terlalu awal untuk dia membuat keputusan.

“Apa yang pasti, saya akan tetap meneruskan khidmat sebagai doktor gigi sebaik saja tamat kontrak bersama Astro kerana itu sudah menjadi tanggungjawab saya.

“Mungkin dalam masa sama, saya akan bergiat juga dalam bidang masakan kerana saya berhasrat untuk memiliki kafe sendiri suatu hari nanti,” katanya.

Malah, menurut Ezani, kepuasan memasak bukan sekadar dirasai ketika berjaya menghasilkan makanan yang sedap, tetapi juga apabila kemahirannya dipertingkatkan.

“Siapa yang tidak suka sekiranya masakan dihasilkan mendapat pujian dan dinikmati dengan penuh selera.

“Namun, bagi saya kepuasannya tidak setakat itu. Saya mendapat kepuasan ketika memasak sekiranya dapat mempelajari skil baru dan menambah baik sesuatu resipi itu,” katanya.

Tanggung jawab berat

Memandangkan Ezani kini sudah dikenali masyarakat, secara tidak langsung gelaran chef selebriti adalah amat tepat untuk diberi kepadanya.

Malah, Ezani juga diangkat sebagai ikon bersama-sama angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor di majlis pelancaran program 5 Tahun Transformasi oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Sebagai orang baru, menurut Ezani, ada kalanya dia berasa segan dengan gelaran tersebut.

“Saya masih malu-malu lagi apabila orang memanggil saya sebagai chef selebriti dan juga ikon, namun saya terimanya sebagai satu penghargaan.

“Menyandang gelaran tersebut pastinya bukan mudah kerana besar tanggungjawabnya. Bagaimanapun, saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik,” katanya optimis.

Dalam usaha untuk menjadi chef berkebolehan, tentunya ada cabaran dihadapi oleh Ezani, terutama jika ada yang mempersoalkan kemampuannya yang baru setahun jagung.

Ini kerana, berbanding chef selebriti terkemuka lain seperti Datuk Chef Wan, Datuk Chef Ismail dan Chef Florence misalnya, pengalaman Ezani dengan mereka boleh diibaratkan sebagai langit dengan bumi.

Tidak menafikan hal itu, menurut Ezani, dia cuma berharap agar masyarakat memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuannya.

“Sedikit sebanyak, penonton sudah dapat menilai kemampuan saya dalam program itu dan saya akan terus berusaha menghasilkan masakan setanding dengan chef profesional. Insya-Allah,” katanya yang menjadikan Chef Wan sebagai idola.