SETIAP orang memiliki cara dan cita rasa yang berbeza. Jika seseorang itu mengenali atau mengetahui apa yang menjadi inspirasi mungkin lebih mudah baginya mendapat apa yang diimpikan dalam hidupnya.
Bagi insan berjiwa seni seperti Eric Choong, setiap rekaan fesyennya, tersirat satu 'cerita' yang melatari perjalanannya.
Umpama satu filem yang sedang berlangsung, Eric membayangkan setiap rekaannya bagai mendokong watak masing-masing dalam penceritaan ideanya.
Nama Eric memang tidak perlu diperkenalkan lagi pada persada industri fesyen rantau ini.
Terkenal dalam penghasilan busana pengantin dan adi busana (avant garde), pereka ini membawakan 'kisah' terbaru dalam koleksinya yang diberi nama Goddesses of Olympus.
"Saya mula jatuh cinta dengan kisah zaman dongeng Greek selepas menonton filem Clash of the Titans dan Immortals. Sejak dari itu saya sering mendapat inspirasi untuk menghasilkan rekaan terbaru yang mengandungi elemen dewa-dewi Greek.
"Sudah tentu saya membayangkan wajah wanita jelita dan lelaki yang kacak, siapa yang tidak sukakan kecantikan?" kata Eric yang ditemui di butiknya di Jalan Telawi 3 Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tahun lalu, beliau menghasilkan rekaan berinspirasikan burung angsa putih di tasik dan tahun sebelum itu pula Eric mengetengahkan tema Selamatkan Bumi yang diinspirasikan selepas hasil lawatannya ke Tibet.
Namun timbul persoalan adakah gaya klasik Greek tersebut masih relevan untuk masa kini dan ini jawab Eric; "Wanita masa kini memang ramai yang tampil berkeyakinan tinggi dan memiliki personaliti yang mempersonakan. Berdasarkan kajian saya menerusi pembacaan, itu adalah sebahagian unsur yang dimiliki oleh dewa-dewi Greek.
"Dan dari situ saya cuba terjemahkan maksud tersebut dalam rekaan saya yang bercirikan romantik, sensual dalam kekuatan yang dibawakan oleh wanita zaman itu," jelasnya yang turut menyediakan busana untuk pengantin Melayu.
Koleksi eksklusif Eric ini mengadunkan penggunaan fabrik sutera sifon, tafetta sebagai fabrik dominan dan pelbagai lagi unsur lain
Setiap busana dipermodenkan dengan sentuhan tekstur dan ropol, selain diperkaya dengan penggunaan renda dan organza. Bukan itu sahaja, koleksi ini juga hadir dengan hiasan kepala sepadan yang pastinya memberikan anda aura berbeza ketika menggayakannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: