Bintang Kecil
Sesungguhnya peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anaknya amat penting. Sebagai umat Islam, dituntut ke atas kedua ibu bapa untuk menjalankan tanggungjawab mereka memberi didikan yang sempurna kepada anak-anak.
Begitu juga setiap anak memiliki bakat dan potensi yang apabila diasah dan dikembangkan dapat menghasilkan prestasi yang luar biasa. Kerana itu pengembangan bakat dan potensi yang dimiliki anak harus dimulai sejak kecil.
Muhammad Nabil Husayni Mohammad Rozie misalnya, walaupun baru berumur sembilan tahun namun dia mempunyai bakat bertadarus al-Quran.
Kebolehannya dalam bidang tadarus dan mengaji al-Quran yang ditunjukkan ketika masih kecil amat mengujakan keluarganya.
Malah, ketika usianya menjangkau empat tahun dia petah bercakap seolah-olah seperti kanak-kanak berumur 10 tahun.
Apabila mendengar suaranya yang lunak mengalun ayat-ayat suci al-Quran membuatkan sesiapa yang mendengarnya akan terpegun. Mungkin kebolehan itu turun dari bapanya yang dipanggil abi yang turut mempunyai kemahiran sama.
Menurut ibunya, Noor Azlina Abd. Rahman, Nabil seorang anak baik dan mendengar kata. Seperti anak-anaknya yang lain, Nabil telah diajar al-Quran sejak dia masih kecil.
“Pada usia Nabil empat tahun, dia boleh membaca dan menghafaz ayat-ayat lazim. Melihatkan dia berminat, maka saya dan suami perlahan-lahan mendidiknya dengan bacaan yang betul.
“Apabila diajar sesuatu bacaan dia mudah dapat. Tetapi tidak semua bacaan dia dapat menghafaznya waktu itu," jelasnya
Nabil merupakan anak sulung daripada tiga beradik lelaki, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra pada sesi pagi. Manakala, pada sesi petang dia ke Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra yang berhampiran rumahnya.
Nabil telah mula menjinakkan diri dengan mewakili sekolah di peringkat daerah Sepang dalam pertandingan Tilawah al-Quran bagi kategori lelaki untuk Program Karnival Tadarus Quran Zon Bangi dan mendapat naib johan.
Apabila ditanyakan kenapa berada di tempat kedua? Nabil hanya tersenyum. Walaupun tidak bernasib baik, itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan usahanya lagi.
“Saya tidak berputus asa, tapi saya akan cuba memperbaiki lagi kelemahan yang akan dibantu oleh abi nanti. Sebenarnya saya berasa gementar sedikit, kerana ia adalah kali pertama saya mewakili sekolah.
“Selain itu, pada tahun lepas saya ada mewakili sekolah dalam hafazan dan pada tahun ini juga mewakili pertandingan azan," cerita Nabil.
Bapanya, Mohammad Rozie Mohd. Rejab menjelaskan bagaimana dia mendidik dan mengajar Nabil untuk mendapatkan bacaan yang lancar dengan qiraat yang pelbagai.
“Setiap hari jika ada kelapangan selepas saja solat Maghrib berjemaah, saya akan mengajarnya. Jika masa pertandingan hampir tiba, tiap-tiap malam saya akan pastikan dia dalam keadaan bersedia.
“Saya tegas dalam mendidik anak, jika Nabil tidak boleh membawa bacaan satu-satu qiraat itu. Saya suruh juga dia mencuba sehingga berjaya. Alhamdulillah, dia dapat mengikuti dengan sebaiknya.
“Paling penting dalam suara, soal pemakanan mesti sentiasa dijaga, selalunya umminya yang sentiasa menitikberatkan soal ini. Seperti makanan berminyak, pedas atau minuman berais harus dielakkan untuk menjaga suara," jelasnya.
Cita-cita Nabil yang mahu menjadi seorang jurutera elektronik yang berjaya suatu hari tidak pernah dihalang oleh kedua orang tuanya.
“Nabil seorang yang berdikari, kami tidak memaksa dia untuk memilih bidang apa yang digemarinya, tetapi atas dasar didikan awal pengetahuan agama menjadi panduan buat dirinya dalam melahirkan muslim yang profesional," kata ayahnya lagi.
Tambah ayahnya, Nabil juga ada membuat rakaman suara untuk video klip Haiya BidDoa dibawah Children Islamic Centre (CIC). Video klip itu hanya boleh ditonton di YouTube.
Video klip rakaman itu menceritakan kisah animasi kartun dan di dalamnya mengandungi doa yang dibaca dengan menggunakan suara Nabil, seperti doa makan, doa bangun tidur dan sebagainya. Selain itu, Nabil juga pernah mengikuti video klip bersama kumpulan nasyid Far East pada usia lima tahun dalam album Ahlan Bina.
Nabil mempunyai hobinya tersendiri. Pada waktu petang yang terluang dia akan bersama rakan-rakan bermain bola. Selain itu, dia juga suka melayari Internet, membaca buku cerita juga gemar dengan bermain komputer.
Ilmu persilatan dan kompang juga diminatinya, jika pulang ke kampung, datuknya akan mengajarkan serba sedikit gerakan silat kepadanya.
Ayahnya juga jika ada waktu senggang seperti hujung minggu melatih Nabil membuat tulisan khat. Beliau yang juga merupakan penceramah bebas telah menyediakan satu buku khas untuk Nabil dan adik-adiknya mempelajari bersama-sama.
“Pendedahan sebegini sengaja dicuba untuk menaruh minat dalam dirinya. Malah, di sekolah juga ada diajar penulisan khat. Mungkin melalui ini bakat dia dalam bidang khat dapat diasah," ujar Mohammad Rozie yang bekerja di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai Ketua Seksyen Kesihatan dan Keselamatan di Bahagian Pembangunan dan Fasiliti juga merupakan penceramah bebas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: