|
PERCAYA atau tidak, Intan Ladyana seorang yang penakut membonceng apatah lagi menunggang motosikal? Hal itu diakuinya sendiri ketika pertemuan pada sidang akhbar bersama Rempit United di Saddles Coffee House, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur minggu lalu.
Kata Intan, pada mulanya dia tidak menyangka akan mampu menunggang motosikal sehinggalah dia membintangi filem Adnan Sempit bersama aktor Shaheizy Sam pada tahun 2010.
“Saya seorang yang penakut terutama menaiki motosikal, tapi apabila sudah selalu buat aksi itu dalam filem Adnan Sempit I dan II rasa takut itu semakin hilang.
“Memang pada mulanya dengar saja perkataan rempit saya beranggapan segalanya negatif. Semakin hari perspektif itu semakin terhakis daripada diri saya,” singkap Intan yang melakonkan watak Nadia dalam filem Adnan Sempit I dan II.
Tambahnya, merempit bukan berkisar tentang perkara negatif semata-mata, sebaliknya dalam yang sama isu itu harus dipandang serius dan positif.
“Dengar saja perkataan rempit pasti ramai yang akan berfikir tentang perkara negatif seperti bohsia atau lumba haram. Tapi sedarlah bahawa merempit bukan memberikan makna sedemikian.
“Jenayah dan merempit merupakan dua perbuatan dan maksud berbeza. Merempit tidak semestinya merompak atau meragut tapi perompak atau peragut barangkali melakukan perbuatan merempit untuk memudahkan kerja mereka,” katanya yang menyeru agar perbuatan merempit tidak disalah tafsir oleh segelintir masyarakat.
Ikon
Isu yang sensitif untuk dibicarakan, namun Intan yang dimaklumkan akan turut serta mendaftarkan keahlian di bawah pertubuhan Rempit United atau Pertubuhan Rempit Bersatu, mempunyai misi untuk diselesaikan.
Rempit United yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri merupakan salah satu langkah kerajaan untuk mendapatkan sokongan organisasi luar dalam usaha membantu remaja bermasalah dan mengintegrasikan ke dalam masyarakat.
Bukan setakat ikon atau figura yang menjadi model untuk dicontohi oleh masyarakat, ujar Intan dia bakal menyampaikan mesej-mesej positif berkenaan isu itu.
“Insya-Allah kami akan mengadakan siri jelajah untuk memberikan motivasi kepada orang ramai berhubung gejala merempit yang dianggap berbahaya dan membahayakan orang ramai.
“Sekali gus membuka mata masyarakat apa itu sebenarnya merempit, kerana bagi saya terma merempit itu tidak bermaksud negatif tapi tindakan jenayah yang disertakan dengan merempit sebenarnya punca isu ini dipandang serong,” jelas Intan.
Menjadi seorang ikon bukan tugas mudah bagi pelakon itu. Tambah Intan mesej positif yang perlu disampaikan perlu bersifat mendidik bukan menghukum.
“Adalah menjadi kewajipan saya sebagai ikon untuk membantu masyarakat, terutama tentang stigma isu rempit.
“Pasti ada isu-isu tertentu yang akan saya bangkitkan untuk menyedarkan semua bahawa merempit bukan seperti stereotaip yang dibina masyarakat selama ini,” tegasnya.
Kahwin
Soalan lapuk untuk ditebak kepada pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya yang usianya tahun ini menginjak angka 30.
|
|
Dia sudah lali dengan soalan ‘bila akan kahwin?’ dan jawapannya tetap sama; “Masih dalam perancangan, Insya-Allah tahun depan.”
Soalan klise yang sudah dianggap tidak perlu ditanyakan lagi kerana baginya andai sudah ada jodoh pasti akan sampai ke jinjang pelamin.
Tertanya-tanya adakah hubungan pasangan secocok Intan Ladyana dan Kamal Adli ini semakin retak memandangkan mereka sudah semakin jarang kelihatan bersama dan kisah cinta mereka juga tidak panas dibicarakan, Intan hanya tersenyum.
Kata pelakon filem Bini-Biniku Gangster itu, hubungan mereka masih berjalan lancar.
“Kami sibuk dengan kerja dan kalau ada masa kami akan berjumpa. Alhamdulillah kami masih kekal bersama sehingga sekarang,” bicara Intan yang kini sedang dalam proses penggambaran filem Pada Suatu Cinta Dahulu arahan Hashim Rejab.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: