Penyanyi popular sekitar tahun 90-an Rahim Maarof bakal kembali menyanyi di kelab malam bagi menjayakan konsert mini yang diberi nama Rahim Maarof, Gigit yang akan diadakan di Rum Jungle, Kuala Lumpur pada 6 Mei depan pada pukul 10 malam.
Akuinya yang ditemui pada majlis sidang akhbar tersebut, ia merupakan persembahan pertamanya di kelab malam selepas 20 tahun meninggalkan pentas kelab malam.
Rahim Maarof yang cukup terkenal dengan lagu Shakila dan Istana Menanti juga sempat meluahkan rasa kecewanya apabila lagu ketuhanan dendangannya bersama Caprice berjudul Tuhan Tolonglah kurang dimainkan di corong radio tempatan meskipun sudah dua tahun lagu itu dirakamkan.
Kosmo!: Rahim Maarof memang terkenal dengan lagu rock mengapa beralih kepada lagu bergenre ketuhanan pula?
RAHIM MAAROF: Lagu tersebut telah lama dirakamkan, bagi saya tidak salah untuk saya menyanyikan lagu ketuhanan kerana ia merupakan mesej yang ingin saya sampaikan buat anak muda.
Bagaimana pula dengan sambutan peminat terhadap lagu ketuhanan itu?
Video lagu itu telah dimuat naik ke laman perkongsian video YouTube, pada mulanya hanya 40,000 orang menontonnya dan sekarang sudah cecah 80,000 orang. Saya kira itu satu jumlah yang cukup besar tetapi saya kecewa kerana lagu itu kurang dimainkan di stesen radio.
Maknanya lagu itu tidak mendapat tempat di stesen radio?
Saya ikuti semua stesen radio yang ada di Malaysia dan saya dapati mereka kurang memainkan lagu itu. Apa salahnya jika sebelum atau selepas azan mereka memutarkan lagu tersebut.
Selepas ini adakah anda akan muncul dengan lagu ketuhanan lagi?
Saya tidak boleh berjanji tetapi kalau ada peluang apa salahnya. Tidak lama lagi saya akan muncul dengan sebuah lagu single terbaharu yang akan didendangkan pada konsert mini di Rum Jungle. Apa tajuknya dan bagaimana lagunya saya tidak boleh beritahu sekarang.
Kenapa baharu sekarang anda mengadakan konsert mini?
Saya seorang penghibur dan sudah rancang lama untuk mengadakan konsert mini cuma tahun ini peluang itu muncul. Bagi saya tahun ini merupakan masa yang sesuai.
Berapa buah lagu yang akan didendangkan pada malam itu?
Saya akan mendendangkan sebanyak 15 buah lagu untuk persembahan selama dua jam, tetapi biasalah pasti akan ada permintaan lagu tambahan, jika itu berlaku selagi saya terdaya saya akan nyanyi untuk peminat yang hadir.
Sudah lama tidak muncul dalam industri seni, yakin ramai peminat yang akan hadir pada 6 Mei depan?
Sasaran peminat yang datang adalah 700 orang dan lokasi konsert mini boleh memuatkan 1,300 orang dalam satu-satu masa. Setakat ini sambutan amat menggalakkan. Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert mini saya jangan lupa dapatkan tiket berharga RM53 dan RM63 menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com atau hubungi talian 03-7957 6088.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: