Sunday, April 22, 2012

Satu keluarga satu anak angkat


NOrlina Alawi, kasih sayangnya terhadap anak-anak tiada sempadan.


ANAK-anak ini putih! Jiwa mereka polos. Mereka tak bersalah, mereka tak berdosa. Siapalah kita mahu hukum mereka? Mereka berhak dicintai dan dikasihani. Mereka ini amanah Allah SWT kepada kita semua.

"Percayalah... biar sekadar sepotong roti atau sesuap nasi sahaja yang mampu saya berikan buat anak-anak ini, saya sanggup! Biarlah saya tak makan... biarlah saya terpaksa berpuasa demi anak-anak ini, saya akan buat apa sahaja!

"Saya selalu bermohon dan merayu dalam doa, mudah-mudahan, mereka yang mengata saya, mereka yang menuduh saya berpura-pura, dilimpahi Allah kasih sayang yang lebih daripada saya terhadap anak-anak ini.

"Pegangan saya mudah, kejarlah akhirat... carilah akhirat... Insya-Allah selepas itu, hak dunia akan mengejar kita, orang-orang yang mencari dunia juga akan mencari kita. Ini lebih indah bukan?

"Mudah-mudahan dengan terbitnya kisah Cinta Tanpa Sempadan Norlina Alawi ini, akan lahirlah lebih ramai klon-klon seperti saya. Sama-samalah kita berkongsi rezeki, membahagi kasih sayang dengan anak-anak yang terpilih mendepani ujian Allah dan saling memahami takdir hidup yang sememangnya tidak pernah sama di antara satu sama lain. Saya yakin hidup ini akan lebih indah jikalau kita mampu berbuat demikian."

Sengaja dimasukkan rintihan ibu tabah ini, Norlina Alawi kerana faham ada ramai yang memberikan stigma negatif terhadap apa yang beliau lakukan selama ini.

Norlina ditemui di pejabatnya yang terletak di Taman Cahaya Indah, Ampang, Selangor, ketika sesi bertemu media bagi mempromosikan program kesedaran yang dinamakan Jelajah Cinta Tanpa Sempadan (JCTP).

Program tersebut bermatlamat melahirkan lebih ramai ikon dalam masyarakat untuk mengikuti jejak langkahnya.

"Selepas 10 tahun saya berjaya menyelesaikan lebih dari 200 kes anak angkat menerusi Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) yang kebanyakan daripadanya anak yatim yang menghidapi HIV/AIDS, anak tidak sah taraf, anak mualaf dan anak bukan warganegara.

"Menerusi program jelajah ini saya amat berharap dapat memberi kesedaran seterusnya melahirkan lebih ramai individu yang prihatin dan penyayang serta ikhlas memikul tanggung jawab sebagai ibu bapa yang telah diamanahkan oleh Allah," jelasnya.

Menurut Norlina, antara pendekatan yang digunakan ialah dengan bertemu hati ke hati menerusi slot yang dirangka pada tiap lokasi jelajah.

"Sebanyak 12 negeri akan kami jelajah bermula dari 24 Mei ini iaitu di Johor. Pelancaran program kesedaran ini akan dilakukan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada tarikh 6 Mei nanti.

"Dalam jelajah itu nanti, akan diadakan juga pameran gambaran sebenar tentang bagaimana kehidupan saya sekeluarga. Kami juga akan mengedarkan risalah, komik motivasi dan beberapa slot menarik.

"Selain itu terdapat juga karnival, pameran, jualan dan pertunjukkan fesyen jubah," jelas Norlina.

Norlina memberitahu, jelajah itu bukan saja melibatkan dalam negeri malah luar negara juga.

"Insya-Allah dalam pada jelajah di antara negeri dalam Malaysia, kami juga akan ke negara seperti United Kingdom, Singapura, Thailand, Brunei, Arab Saudi dan banyak lagi negara cuma tarikhnya belum ditentukan lagi.

Menurut Norlina, program jelajahnya ini mendapat sokongan dan kerjasama dari Platun Seni Rejimen 515 di mana tempat suaminya bertugas.

"Ini adalah satu penghargaan besar dan saya yakin dengan kerjasama ini ia bakal memberikan impak yang lebih besar buat negara dan seluruh dunia," ujarnya.

Bagi sesiapa yang menyokong program ini dijemput mengikuti perkembangan JCTP menerusi blogspot norlinaalawi.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: