Sunday, April 22, 2012

Peserta Gerbang Cinta menaruh harapan

Pasangan Ahmad Faiz Mujahid Annuar dan Wan Nornastasha Wan.

Terpancar harapan dan impian bagi 30 pasangan yang terpilih dalam sesi temuduga bersama panel Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia Musim Ke-3 bagi melayakkan diri sebagai antara 10 pasangan terbaik pada peringkat akhir nanti.

Sesi temuduga untuk pemilihan 10 pasangan akhir itu dikendalikan oleh barisan ahli panel terdiri daripada wakil penganjur dan penaja yang diketuai sendiri oleh Penolong Ketua Pengarang 2 Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid.

Kesemua 30 pasangan ini tersenarai selepas melalui dua saringan pemilihan.

Pada saringan pertama sebanyak 100 pasangan disenarai pendek daripada lebih 10,000 penyertaan yang diterima bagi peraduan musim ini.

Selain melihat dari segi keserasian pasangan, turut dinilai pada sesi temuduga ialah keterampilan, keyakinan, pengetahuan dan perancangan selepas perkahwinan.

Biarpun sesetengah pasangan pada awalnya nampak gementar berhadapan dengan barisan ahli panel, rata-ratanya begitu teruja dan bersemangat menjawab soalan yang diajukan.

Pasangan Ahmad Faiz Mujahid Mohd Annuar, 29 dan Wan Noornastasha Wan Nasaroldin, 29, mengakui amat bersyukur kerana terpilih sehingga ke peringkat ini dan berharap rezeki menyebelahi mereka untuk dicalonkan pada peringkat akhir nanti.

"Kami bersyukur kerana dapat menjawab soalan yang ditanya ketika sesi temuduga bersama juri tadi.

"Beberapa persediaan dilakukan sebelum hadir hari ini supaya sesi temuramah berjalan dengan lancar dan tenang.

"Kami berharap rezeki menyebelahi untuk ke peringkat seterusnya memandangkan semua peserta yang datang semuanya nampak yakin dan bersemangat," kata Ahmad Faiz Mujahid.

Tambahnya, penyertaan pertama kali ini adalah atas inisiatif ibunya yang merupakan pembaca setia akhbar Utusan Malaysia.

"Tanpa berfikir panjang kami mencuba nasib menyertai pertandingan ini, tambahan hadiah yang ditawarkan kepada bakal pemenang sangat lumayan dan membantu bakal pasangan yang akan mendirikan rumah tangga," katanya.

Pasangan Tentera Laut dan Tentera Darat, Mohd. Zaidi Mohd Bishan, 26 dan Zazalina Ghazali, 26, pula tidak menyangka akan dipanggil untuk sesi temuduga.

"Ketika dihubungi pihak penganjur untuk hadir pada hari ini rasa macam tidak percaya.

"Rasa bersyukur dan berterima kasih diucapkan kepada pihak penganjur kerana memilih kami memandangkan jumlah pasangan yang memohon adalah ramai.

"Kami memang mengikuti Peraduan Gerbang Cinta ini sejak musim pertama dan kedua lagi, sehinggalah kami terbuka hati untuk menghantar borang pada musim ketiga ini," katanya.

Jelas Mohd. Zaidi, cadangan kakaknya supaya mereka menyertai peraduan ini nyata tidak sia-sia sehingga terpilih untuk sesi temuramah.

Seorang lagi pasangan, Amir Hashim, 26 dan Norsyazwani Johari, 25, mengakui terkejut dan gembira kerana terpilih dalam pencalonan ini.

"Alhamdulillah kami tenang ketika menjawab soalan tadi tambahan ada membuat sedikit pembacaan sebelum datang ke sini.

"Kami juga berharap rezeki memihak kepada kami untuk terpilih sehingga ke peringkat akhir," katanya.

Selain kereta dan wang tunai, juara Peraduan Gerbang Cinta musim ini bakal membawa pulang hadiah pakej perkahwinan bernilai RM150,000 serta barang kemas, set sofa, barang elektrik dan spa.

Tempat kedua dan tiga hadiah ketiga masing-masing akan membawa pulang motosikal skuter dan pakej perkahwinan berjumlah lebih RM100,000 dan RM80,000, serta hadiah sampingan lain.

Peraduan musim ini juga menyaksikan penyertaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai penaja utama bersama Dios Astana Bridal (busana dan cenderamata) sebagai penaja bersama serta rakan-rakan strategik lain, Mastar Catering (jamuan), Kampung Pengantin (lokasi), Precious Moments (pelamin), D'Sayang Entertainment (sistem bunyi dan fotografi) dan Afidah Khamis Makeup & Stuff (jurusolek).

Turut menaja , Preety Peektures (video perkahwinan), Sri Sutra Travel (pakej bulan madu), CJ Print (kad perkahwinan) dan Utusan Online (laman sesawang rasmi peraduan).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: