Tuesday, April 3, 2012

Resipi turun temurun

pix_middle

BENTUKNYA sama tetapi rasa berbeza. Ada yang hasilnya seperti bengkang atau bingka dan ada pula seperti bahulu.

Walaupun kelihatan sama, tekstur dan rasa tentu saja berbeza kerana ada yang ditambah santan, ada pula sekadar adunan asas iaitu telur, gula dan tepung.

  • Foto

    SITI NORMAH...kuih bakarnya ada kelainan.

  • Foto

    KAWAL...Kamariah sudah arif hal menjaga api.

Entah mengapa masing-masing sangat popular dengan acuan yang sama iaitu acuan berbunga-bunga seperti kemboja. Ada yang pukul rata, memanggil semuanya sebagai bahulu kemboja walaupun apabila dirasa ia sebenarnya bingka.

Setahu penulis, ada tiga atau empat jenis rasa yang berbeza. Antaranya ada yang berwarna hijau, coklat muda dan ada yang ditambah bijan di atasnya.


Kadang-kadang, selagi belum makan kita sukar meneka jenis kuih itu, sama ada ia bahulu bakar, bahulu kemboja, kuih bakar atau bingka tepung.


Memang mengelirukan, tambahan pula nama kuih berbentuk bunga ini sering mempunyai panggilan berbeza di setiap negeri walaupun berkongsi resipi hampir sama. Jadi, namanya bercampur-baur sebaik menjumpainya di Kuala Lumpur.

Siti Normah Ahmad, 56, pengusaha kuih bakar secara tradisional di Kampung Kuala Ina, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, menjelaskan pada penulis mengenai perbezaan kuih bakar dan kuih bahulu kemboja.

“Rasanya tidak sama. Kuih bakar kami sendiri ada campuran rempah jadi tentu saja ada kelainan rasa di samping resipi utamanya seperti telur, santan, gula dan tepung,” katanya.

Tarikan istimewa rasa rempah pada kuih bakar Siti Normah menyebabkan dia mempunyai ramai pelanggan setia. Ada yang datang serata Malaysia seperti Kuala Lumpur, Johor dan Sabah. Ada yang membeli untuk gerai mereka, ada juga kerana mahu mengadakan majlis seperti kenduri dan perkahwinan.

Siti Normah sudah mengusahakan kuih bakar sejak 1976 dengan resipi turun temurun daripada nenek dan kemudian diwarisi ibunya. Hanya dia seorang saja berminat mengikut jejak langkah arwah ibunya dan ia terus menjadi minat yang mendalam.

“Sebabnya dari kecil lagi saya melihat emak membuat kuih bakar ini dan selalu membantunya. Dari situ timbul minat untuk meneruskan perniagaan ini menggunakan resipi turun temurun nenek bersama suami.

“Setiap kali, kami membancuh seperiuk adunan yang banyaknya 10 gantang. Jumlah itu akan berganda sekiranya musim cuti sekolah dan perayaan. Satu periuk menghasilkan kira-kira 500 biji kuih bakar,” beritahu Siti Normah, anak ke-10 daripada 14 adik beradik.

Tambahnya, adunan dibancuh sebelah malam dan sebelah siang baru dibakar bagi menghasilkan kuih yang sebati dan sedap rasanya.

Istimewanya, Siti Normah masih lagi menggunakan kaedah tradisional dapur kayu bagi membakar kuihnya. Ketuhar yang direka oleh suaminya sejak 30 tahun lalu itu tampak begitu praktikal dan mudah dikendalikan.

Pada masa sama, ia menghasilkan kuih yang sempurna masaknya kerana ia mempunyai ruang pembakar atas dan bawah sesuai bagi memasak kuih bakar. Ketuhar itu boleh membakar 20 biji kuih setiap kali.

“Kuih masak dalam masa 10 minit saja. Kaedah tradisional ini saya kekalkan kerana ia menghasilkan kuih yang lebih wangi dan enak walaupun caranya agak sukar dan perlu sentiasa mendapat stok kayu getah sebagai kayu api. Hendak dapatkan kayu pula bukanlah senang dan jumlah yang digunakan juga banyak.

“Kayu api ini perlukan tiga lori dua tan bagi penggunaan pembakaran kuih tiga hingga empat hari saja,” katanya.

Membakar kuih bakar perlu mempunyai jumlah kayu bakar yang sama banyak di sebelah atas dan bawah supaya kepanasan sama rata. Jadi Siti Normah dan pembantunya yang juga sepupunya, Kamariah Ibrahim, 62, sudah arif benar dalam hal penjagaan dapur mereka.

Mula membakar dari jam 6.30 pagi hingga 5 petang, waktu bekerja mereka bertambah sehingga ke malam sekiranya musim cuti sekolah dan perayaan.

Sebelum memperbesarkan perniagaan dan mempunyai ketuhar khas, Siti Normah terlebih dulu membuat kuih bakar secara kecil-kecilan di belakang rumahnya saja.

“Waktu itu menggunakan tong saja sebagai tempat membakar. Sekali bakar hanya dapat enam biji kuih dan dulu, tempahan tidak sebanyak sekarang,” katanya.

Kata ibu tiga anak lelaki ini, kuih bakar selain selalu dijadikan hadiah hantaran juga amat popular dijadikan hadiah kepada tetamu yang datang ke kenduri-kendara.

“Kalau mahu dijadikan hantaran, kami tambah lebih kurang lima biji hiasan ceri merah dan hijau di atasnya,” katanya.

Tentu saja kuih bakar Siti Normah lebih berseri setelah ada tambahan ceri.
Perniagaan Normah dan suami tampak santai kerana ia dilakukan di kawasan rumah mereka sendiri yang luas, redup dan nyaman.

Mereka merancang waktu kerja dan cuti sebaik mungkin supaya kehidupan seharian bukan hanya mementingkan perniagaan tetapi juga dapat melakukan aktiviti biasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: