Sesi latihan di Balai Berita NSTP di Bangsar, malam tadi.
BARISAN vokalis terhebat tanah air bakal menghangatkan kedinginan puncak Genting pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Ahad ini, dengan persembahan penuh bertenaga lagi menghiburkan. Gigih melakukan latihan sejak beberapa hari lalu, semua artis yang terbabit dalam segmen persembahan pada malam penuh gemilang itu, termasuk barisan penyanyi yang bakal diiringi muzik orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik terkemuka, Datuk Ramli MS, pastinya menyajikan hiburan yang meninggalkan kesan amat mendalam buat penonton.Semalam, latihan bersama 46 pemuzik orkestra diadakan di Balai Berita, sejak jam 6 petang sehingga 11 malam, sebelum latihan seterusnya dilangsungkan di Arena of Stars, hari ini dan esok. Raptai penuh pula akan diadakan beberapa jam sebelum acara sebenar berlangsung, Ahad ini.
Latihan berkenaan membabitkan penyanyi dan pemuzik seperti Datuk Sheila Majid, Datuk M Nasir, Ziana Zain, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Tam Spider, Aizat, Azlan Typewriter, Jaclyn Victor, Bob, Shi la Amzah, Black, Faizal Tahir, Ramlah Ram, Mas Idayu, Salma, Shiha, Hafiz, Adira, One Nation Emcees dan Man Kidal.
Ramli yang sudah lebih 10 tahun bekerjasama dengan ABPBH berkata, kepercayaan diberikan Berita Harian untuk mengiringi persembahan artis dianggap sebagai tanggungjawab yang harus disempurnakan dengan sebaiknya.
Dia yang mula membuat susunan baru terhadap lagu yang bakal dipersembahkan sejak sebulan lalu berkata, sesi latihan semalam berlangsung secara santai supaya tidak memberikan tekanan kepada artis dan pemuzik.
“Dalam muzik, kita tidak boleh berlatih beriyaiya, bimbang apabila tibanya acara sebenar, persembahan boleh menjadi kaku. Biasanya pada malam kemuncak nanti barulah kami akan bermain dengan sepenuhnya.
“Lagipun, dengan latihan yang dilakukan sejak semalam dan empat lagi latihan yang akan diadakan sehingga tibanya majlis sebenar, saya kira persiapannya amat memadai,” katanya.
Sementara itu, Ziana yang bakal berduet dengan Azlan menerusi lagu Anggapanmu nyata tidak sabar untuk memukau penonton pada malam penuh berprestij itu.
Ziana yang juga akan mengalunkan lagu daripada Meet Uncle Hussain (MUH), Lagu Untukmu, mengaku dia sendiri berdebardebar pada mulanya apabila diminta menyanyikan lagu kumpulan berkenaan. Sebagai persediaan, sejak seminggu lalu dia gigih menghafal melodi dan lirik lagu popular terbabit.
“Selama ini saya tidak pernah terfikir akan menyanyikan lagu kumpulan MUH, tapi itulah yang dikatakan kejutan serta kelainan yang sering ditonjolkan dalam acara ini.
“Alhamdulillah, selepas latihan malam ini (malam tadi) perasaan berdebar itu berjaya diatasi. Saya memang sudah tidak sabar untuk beraksi bersama Lan pada malam kemuncak nanti,” katanya yang kali akhir menjayakan ABPBH pada 2008.
Penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta Dayang Nurfaizah, juga sependapat ABPBH sentiasa menampilkan kelainan pada setiap acara kemuncaknya.
Dia yang bakal berduet sekali lagi bersama Anuar Zain berkata, setiap tahun keterujaan membuat persembahan amat berbeza. Malah, dia memang sentiasa menantikan peluang untuk beraksi di pentas ABPBH.
“Apabila membabitkan persembahan secara duet, Dayang akan pastikan dapat menjalani latihan secukupnya kerana lirik dibahagikan mengikut bahagian masing-masing.
“Mujur Dayang biasa bekerjasama dengan Anuar, jadi keserasian itu sudah ada. Seingat Dayang, kali terakhir kami berduet menerusi lagu Dia pada ABPBH beberapa tahun lalu,” katanya.
Selain barisan artis berkenaan, turut memeriahkan acara kemuncak itu ialah persembahan sketsa Ombak Rindu yang bakal dijayakan hero pujaan ramai, Aaron Aziz, di samping Maya Karin dan Lisa Surihani.
Turut membuat persembahan pada 8 April ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Ezlynn, Fauzi Nawawi, Lisdawati, Maria Farida, Najwa Latif, Stacy, VIP dan Watie Elite.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: