KELIBATNYA langsung tidak kelihatan dalam siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang sudah pun melabuhkan tirainya di Pasir Gudang, Johor Bharu, 25 Mac lalu. Ketika finalis lain berusaha merebut peluang itu untuk bertemu dan beramah mesra bersama peminat mereka di lima lokasi terpilih, namun ia tidak berlaku pada Nora Danish. Sebagai finalis kategori Pelakon TV Wanita Popular kali ini, kehadiran aktres jelita itu dinantikan peminatnya. Malangnya, tiada satu lokasi pun dihadiri Nora, walaupun pihak penganjur sudah memaklumkan berkenaan hal itu kepadanya sejak awal lagi.Pastinya tindakan Nora yang tidak menyertai acara promosi terbabit meninggalkan kesan kepada penganjur dan peminat, khususnya. Mana tidaknya, ruang yang membolehkan dia mendekati peminat, yang selama ini setia menyokong kerjaya seninya tidak digunakan oleh pelakon siri Puteri ini.
Sudahnya, ada hati yang kecewa dan terkilan dengan sikap Nora yang dianggap tidak menghargai usaha peminat selama ini. Lebih-lebih lagi apabila ada spekulasi menyatakan, keengganan Nora menyertai siri jelajah hanyalah kerana tidak mahu bertentang mata dengan seorang lagi pelakon lain yang turut tersenarai dalam kategori sama dengannya, iaitu Fasha Sandha.
Atas faktor itulah maka ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini memberikan pelbagai alasan supaya dia tidak terbabit dalam acara berkenaan. Bagaimanapun, saat diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, Nora menafikan keengganan bertemu Fasha menjadi punca dia tidak mengikuti siri promosi ABPBH2011.
“Ingin saya tegaskan, ketidakhadiran saya dalam siri jelajah promosi bukan disebabkan tidak boleh berjumpa dengan pelakon dimaksudkan. Bagi saya, apa yang berlaku biarlah ia berlalu. Ia memang tiada kena mengena dengan isu itu. Lagipun, siri promosi itu membabitkan ramai artis, bukannya kami berdua saja.
“Pada awalnya, memang saya berhasrat mengikuti siri jelajah kali ini. Namun, apakan daya saya memang terikat dengan jadual penggambaran yang sangat ketat. Penggambaran itu pula turut membabitkan ramai pelakon senior. Saya tak mahu menyusahkan mereka jika terpaksa mengambil cuti ataupun menangguhkan penggambaran,” jelas Nora sewaktu menghadiri sesi fotografi bersama Hip di Butik Rafflesia The Pearl Centre, Hotel Park Royal, petang semalam.
Jejai tak cerita apa-apa
Anggun dengan busana milik Innai Red serta solekan Anas Nakkal, keayuan pelakon berdarah kacukan Melayu-Myanmar ini semakin terserlah apabila dia menggayakan aksesori kalung mutiara mewah yang direka khas Pengarah Urusan Refflesia sendiri, iaitu Winnie Sin.
Kalung mewah bernilai RM250,000 yang bakal menjadi habuan pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2011 itu dihiasi 144 mutiara putih air segar terpilih, 312 mutiara putih air segar terpilih, 73 butiran manik jed terpilih, bertatahkan 69 berlian bundar seberat 1.99 karat serta emas putih.
Tambah Nora, sepatutnya dia membuat kemunculan istimewa pada siri jelajah di Melaka. Namun hasrat itu terbantut apabila dia terpaksa memenuhi komitmen lain yang sudah dijanjikan lebih awal.
“Pada tarikh itu juga saya terpaksa ke Brunei kerana menghadiri majlis pelancaran sebuah kereta. Memang saya sudah berjanji dengan penganjur yang saya mahu ke Melaka, tetapi penganjur di Brunei menukar tarikh acara pada hari yang sama dengan siri jelajah promosi ABPBH.
“Memandangkan mereka sudah siapkan kain rentang dan menguar-uarkan kehadiran saya pada majlis itu, jadi saya terpaksa memenuhi undangan mereka,” terangnya.
Meskipun mempunyai sebab kukuh mengenai ketiadaannya dalam acara itu, namun ia tidak bermakna Nora mengambil enteng perasaan peminatnya.
“Terus-terang, saya memang terkilan dan sedikit kecewa kerana tidak dapat bertemu peminat saya. Bukan senang untuk bertemu mereka, namun tuntutan kerja membuatkan saya terpaksa melupakan hasrat itu,” ujarnya.
Sementara itu, meskipun belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai tarikh pernikahan Fasha dan bekas suaminya, Jejai, tentunya ramai yang ingin tahu apakah Nora akan menghadirkan diri pada majlis pasangan itu. Saat soalan itu berkumandang, Nora mendiamkan diri buat seketika sambil memikirkan ayat paling sesuai sebagai jawapan.
“Sebenarnya, sehingga ke saat ini, Jejai memang tidak pernah bercerita apapun mengenai perkahwinannya. Cuma apa yang boleh saya katakan, kehadiran saya tidak diperlukan di situ,” katanya sambil menguntumkan senyuman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: