DJ Lin bersama kedua anaknya

Melihatkan raut wajahnya tenang pasti ramai tidak menduga ibu tunggal yang memiliki dua cahaya mata ini, pernah melalui pelbagai cabaran sebelum mencapai kejayaan dalam kehidupannya seperti hari ini.

Sebagai ibu tunggal, pemilik nama Roslinda Abdul Majid, ini tabah membesarkan kedua anaknya, Nazreen Asyran, 9 dan Nureen Aresya, 11. Malah, dia sentiasa mengimpikan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Roslinda atau lebih popular dengan gelaran DJ Lin, mengakui kehidupannya semakin bermakna dengan dua cahaya matanya di sisi. Bersyukur dengan rezeki yang ada, Lin semakin optimis membesarkan anak-anak bersama kariernya yang semakin bersinar di Suria FM.

“Sebelum ini memang banyak masa dihabiskan kepada kerja sahaja. Bayangkan, saya perlu menguruskan pelbagai urusan yang melibatkan media dan selebriti. Kemudian, pada sebelah malam saya perlu memberikan tumpuan kepada tugasan sebagai penyampai pula.

“Memang agak berat ketika itu, namun demi minat terhadap bidang ini, saya teruskan juga. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kesungguhan terhadap kerja, saya kemudiannya hanya ditugaskan sebagai penerbit rancangan dan penyampai radio sahaja.

“Jadi, sekarang saya mempunyai lebih waktu untuk dikongsi bersama anak-anak,” katanya yang mudah memberikan kerjasama sepanjang sesi fotografi bersama Zass, di Dhania Day Spa, Kota Damansara.

Ditanya bagaimanakah rutin hidupnya seharian, Lin berkata, dia akan memastikan setiap pagi, persiapan sekolah anak-anak akan diuruskan terlebih dahulu.

“Kemudian, selepas tamat waktu persekolahan biasa, saya akan menyiapkan mereka untuk ke sekolah agama pula, selepas siap semuanya barulah saya memulakan kerja.

“Bagaimanapun, sebelum memulakan slot Suria Cinta, saya akan pulang ke rumah terlebih dahulu untuk berjumpa dan meluangkan masa mereka. Lagi pun, slot Suria Cinta bermula pada jam 11 malam hingga 2 pagi. Apabila saya pulang, biasanya mereka sudah tidur.

“Ada kalanya, mereka menunggu saya, tetapi saya nasihatkan mereka supaya tidur dahulu kerana mereka sudah seharian sibuk dengan aktiviti di sekolah,” katanya yang menjadikan amalan menyuap makanan untuk anak bagi mengeratkan kasih sayang.


Tonton wayang, berkaraoke

Ujar wanita berusia 36 tahun ini, setiap kali mempunyai masa terluang, dia pasti tidak melepaskan peluang membawa anaknya keluar bersama. Aktiviti menonton wayang dan berkaraoke menjadi pilihannya dan anak-anak untuk menghiburkan hati mereka.

“Selain daripada itu, saya juga suka membawa anak-anak makan. Destinasi pilihan kami pula, pusat membeli-belah Pavillion dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC),” katanya.

Lin berkata, sepanjang membesarkan anaknya, dia tidak mengalami masalah kerana keduanya mampu menerima karier ibu mereka dengan baik.

“Saya lega sebab mereka sangat memahami. Saya lihat sejak usia mereka semakin meningkat, mereka mula faham dengan tugas saya. Sebagai ibu, saya gembira kerana anak-anak sangat menghormati saya,” katanya.


Mahu anak jadi doktor

Bercerita mengenai pendidikan anaknya, tegas Lin, walaupun sibuk dengan tugasan, dia tidak akan sesekali membiarkan anaknya mengabaikan pelajaran mereka.

Baginya, dalam kehidupan, pendidikan perlulah diutamakan demi menjamin masa hadapan yang cemerlang.

“Terus-terang saya katakan, saya memang memasang cita-cita yang tinggi untuk melihat anak berjaya dalam kehidupan mereka.

“Malah, saya mempunyai angan-angan supaya anak dapat bergelar doktor apabila mereka dewasa. Sebab itulah, bermula daripada kecil sehingga sekarang saya sangat mengambil berat mengenai pembelajaran mereka di sekolah,” katanya.

Jelasnya, dia berbangga kerana kedua anaknya sering kali mendapat keputusan yang baik setiap kali peperiksaan.

“Setakat ini, setiap tahun, saya antara ibu yang naik ke pentas untuk mengambil hadiah sempena kejayaan cemerlang mereka. Biasanya, mereka antara lima pelajar yang menerima keputusan terbaik setiap tahun.

“Alhamdulillah, walaupun sibuk saya mahu anak-anak berjaya menjejakkan kaki ke menara gading,” katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya.

Ditanya adakah dia mengizinkan anak-anak memilih bidang seni, Lin berkata, dia tidak pernah menghalang anak-anak membuat pilihan menentukan masa depan mereka.

“Cuma, apa yang penting mereka perlu menggenggam segulung ijazah terlebih dahulu. Selepas itu barulah boleh membuat pilihan sendiri,” katanya.


Tunggu jodoh sesuai

Setelah enam tahun menjalani kehidupan sendirian, jujur Lin akui, dia juga seperti wanita lain yang turut memerlukan teman dalam kehidupannya.

Bagaimanapun, dia berharap lelaki yang bakal muncul dalam kehidupannya nanti dapat menerima dia seadanya.

“Biarlah lelaki itu menerima saya, Roslinda, bukan kerana DJ Lin. Lagi pun, saya tidak mahu dia mendampingi saya kerana status saya semata-mata.

“Saya akui walaupun tugasan membuatkan saya berjumpa ramai orang, namun sehingga kini saya masih belum berjumpa lelaki yang sesuai.

“Mungkin kerana saya lebih memberikan perhatian kepada kerja. Tetapi saya yakin, jika sudah ketentuan Ilahi, sampai masanya saya akan bertemu juga dengan si dia yang saya impikan, ” katanya.


Rezeki tidak putus

Mengakui bersyukur dengan kehidupannya kini, Lin berkata dia tidak pernah menyangka akan dikenali dan dilimpahi rezeki yang tidak putus-putus sejak kebelakangan ini.

“Alhamdulillah, semakin hari, semakin bercambah rezeki yang diperoleh. Saya sangat bersyukur dengan kehidupan yang saya ada hari ini dan sentiasa berdoa semoga terus diberkati,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai perkembangan terbarunya, Lin baru sahaja ditawarkan menjadi duta bagi produk makanan tambahan serta penjagaan kulit, Nureen’s Beauty selama setahun.

Selain itu, dia juga bakal melancarkan single pertamanya yang berjudul Ranting Kenangan pada bulan hadapan.

“Ini adalah hadiah saya buat peminat, single ini merupakan ciptaan Eddie Hamid dan penulis liriknya pula Ku Seman Ku Hussein.

“Menariknya, single ini akan diterbitkan bersama madah cinta daripada saya sendiri, selain sejarah hidup dan nota cinta yang mempunyai lapan muka surat,” katanya.

Dalam pada itu, Lin turut berkongsi rasa gembiranya apabila pengikut laman Facebook, DJLINSURIACINTASURIAFM, telah pun mempunyai lebih 90,000 pengikut. Malah blognya iaitu FANDJLINCINTAMANIA.BLOGSPOT.COM menerima kunjungan hampir 30, 000 ribu sejak ditubuhkan.

Selain itu, bagi mempunyai hubungan yang lebih erat bersama peminatnya, Lin juga mempunyai akaun Twitter, @DJLINSURIACINTA.