MELIHAT wajahnya yang ayu dengan skarf dililit rapi menutupi auratnya, mungkin tidak ramai menyangka pemilik nama Maria Elena Zarul Ahmad, 25, ialah seorang jurutera - kerjaya yang didominasi oleh lelaki.
Menceritakan pelbagai pengalaman manis serta cabaran pekerjaannya, boleh dirasakan perasaan teruja wanita muda ini terhadap kerjaya yang dijawatnya kira-kira dua tahun ini.
"Bidang kejuruteraan ini lebih kepada penyelesaian masalah. Saya meminati subjek Matematik dan Fizik ketika zaman sekolah lagi membuatkan saya memilih kerjaya ini.
"Sebenarnya ia sama seperti kerja lain yang ada cabaran sendiri. Mungkin kerana kebanyakan jurutera ialah lelaki membuatkan orang ramai berpendapat pekerjaan ini kurang sesuai untuk wanita.
"Sebagai seorang jurutera perempuan, saya perlu pandai menyesuaikan diri dengan suasana yang dipenuhi dengan rakan sekerja dan klien lelaki.
"Alhamdulillah saya tiada masalah hubungan antara rakan sekerja dan mereka melayan saya seperti biasa tanpa diskriminasi," ujar siswazah Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang memegang Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia ini.
Kerjayanya sebagai jurutera juga memberikannya pengalaman baru apabila perlu menghadiri mesyuarat di dalam dan luar negara.
Fesyen
Walaupun melakukan pekerjaan yang 'kasar', Maria tetap gemar berfesyen seperti wanita lain.
Dia yang juga penulis blog http://peliks.blogspot.com ini sering memuat naik video tutorial cara memakai selendang dan ia menjadi ikutan ramai.
"Saya seorang yang sederhana dan berfesyen mengikut apa yang cantik di mata saya.
"Kadang-kadang saya ada juga mengikut trend fesyen terkini tetapi disesuaikan dengan imej saya yang bertudung dan saya akan pastikan ia tidak nampak canggung.
"Tidak semua fesyen terkini sesuai dengan kita. Oleh itu kita perlu pandai bereksperimen dan yang penting biar selesa," ujarnya yang turut gembira dengan perkembangan fesyen tudung sekarang.
Terangnya, bertudung tidak menghalang daripada berfesyen asalkan bersesuaian dan masih menjaga aurat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: