SENI arca mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding dengan seni halus yang lain. Berbentuk tiga dimensi membuatkan bahan seni visual ini diminati ramai sehingga ia dikatakan berkait rapat dengan kerja-kerja senibina yang sering mengutarakan konsep arca berkaitan dengan alam kehidupan seharian.
Berasal dari bahasa Latin iaitu sculpere yang membawa makna proses mengukir, melarik, mencungkil dan mengguris, ia pada mulanya dibina dalam bentuk figura manusia yang berkaitan dengan sistem kepercayaan ataupun agama, selain arca ukiran daripada gading, tulang, tanduk dan tanah liat.
Bagaimanapun kaedah kesenian ini berevolusi daripada bahan tradisional seperti batu marmar, kayu, gangsa dan sebagainya kepada bahan plastik, fabrik dan bahan buangan.
Sekiranya diteliti dengan mendalam atau secara ilmiah, kita dapat mengesan daya kreativiti yang ada pada pengkarya yang mampu menggambarkan sesuatu entiti khusus, perlambangan mahupun yang ditempah untuk memperingati suatu peristiwa bersejarah dalam kehidupan seorang tokoh terkemuka.
Pengarca antarabangsa kebanyakannya merujuk kepada sejarah dan juga budaya masing-masing sebagai panduan berkarya tetapi dengan perkembangan yang ada, ia tidak lagi terhad kepada bentuk carving dan modeling sahaja.
Begitu juga dengan hasil tangan anak muda bernama Jamil Zakaria. Daripada garisan biasa, beliau membuktikan kemahiran dan kebolehan mengarca dalam cara yang tersendiri.
Berbekalkan dawai berwarna-warni yang dibentuk berdasarkan imaginasinya, Jamil yang pada mulanya banyak menghasilkan arca menggunakan jerami padi beralih kepada bahan yang lebih tahan lasak.
Menurut Jamil, dawai yang digunakannya itu kena dengan konsep arca berbentuk garisan.
“Saya suka menghasilkan arca berbentuk struktur kehidupan dan daripada kajian yang saya lakukan, saya dapati penggunaan dawai menepati cita rasa saya dalam penghasilan karya berbentuk acra.
“Dawai mudah dilentur dan hanya memerlukan perkakas biasa untuk menghasilkannya, selain ia mudah didapati,” jelasnya.
Beliau berkata, sebelum penghasilan sesebuah arca, Jamil terlebih dahulu membayangkan dan seterusnya melakar bentuk acra tersebut di atas kertas kosong.
Dari imej tersebut maka terhasillah sebuah arca berbentuk abstrak bersesuaian dengan kehendak peminat seni arca moden.
“Saya pilih konsep arca konseptual kerana ia memerlukan daya pemikiran yang tinggi untuk menginterpretasikan bentuk dan maksud arca tersebut.
“Tidak ramai pengarca menggunakan konsep seperti ini, sebab itulah saya tertarik untuk menerokainya.
“Setiap karya mengambil masa yang panjang untuk dihasilkan. Ada yang mengambil masa sehingga sebulan. Setakat ini, rekod arca paling besar yang pernah saya hasilkan sebesar 1.5 meter (lima kaki),” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: