Tuesday, April 3, 2012

Gandingan bekas kekasih

PENERBIT, David Teo (dua dari kanan) bersama barisan pelakon 3 Temujanji pada majlis pratontonnya di Sunway Pyramid, malam tadi.
PENERBIT, David Teo (dua dari kanan) bersama barisan pelakon 3 Temujanji pada majlis pratontonnya di Sunway Pyramid, malam tadi.
Pengarah 3 Temujanji nafi ambil kesempatan atas kegagalan cinta Pierre, Yana

PENGARAH Hashim Rejab yang tampil dengan naskhah ketiga, 3 Temujanji, berjaya menggandingkan bekas pasangan kekasih, Pierre Andre dan Yana Samsudin, dalam filem komedi cinta yang bakal menjengah panggung pada 5 April ini. Hashim berkata, dia memilih Pierre bukan untuk mengambil kesempatan atas kegagalan hubungan cinta mereka, sebaliknya inginkan hero berbeza untuk digandingkan dengan Yana. Bagaimanapun, kedua-duanya bersikap profesional tanpa mencampur adukkan sejarah hitam yang pernah melingkari kehidupan mereka sebelum ini.“Pada mulanya Yana agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai rancangan menggandingkannya dengan Pierre. Namun, kedua-duanya cuba bersikap profesional, seterusnya bersetuju menerima tawaran berkenaan.

“Memang tak dinafikan pada awalnya mereka nampak kekok, bagaimanapun keadaan itu berjaya diatasi mereka. Malah kedua-duanya berjaya membentuk karakter Riana dan Mukhsin dengan baik, mungkin berdasarkan pengalaman sebagai pasangan kekasih sebelum ini.“Filem ini memang langsung tiada kaitan dengan kisah percintaan mereka. Cuma, kita mahukan keserasian itu supaya nampak cantik di atas skrin,” katanya yang pernah menghasilkan Sekali Lagi dan Papa I Love You.
Mengenai sambutan yang diharapkan terhadap filem terbarunya itu, Hashim tidak berani meletakkan sebarang sasaran memandangkan suasana industri filem yang agak kurang memberangsangkan tahun ini.

Begitupun, dia tetap mengharapkan kutipan diraih filem ini mampu melebihi pungutan dua filem arahannya sebelum ini. Sekali Lagi membuat kutipan kasar RM2.04 juta dan Papa I Love You pula sekitar RM500,000.

“Saya tidak berani menjangka reaksi penonton terhadap filem ini, tetapi jika mereka sukakan filem yang tidak memerlukan kita terlalu berfikir, 3 Temujanji sesuai dengan cita rasa seperti itu.

“Filem ini mempunyai ciri hiburan dan komedi yang digemari masyarakat di negara kita, sesuai bagi mereka yang datang menonton wayang semata-mata untuk hiburan dan bersantai,” katanya yang mengakui lebih matang setelah selepas menyiapkan tiga judul.

Filem yang menelan belanja kira-kira RM1.5 juta ini dirakam di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Selain Pierre dan Yana, 3 Temujanji turut dibintangi Kamal Adli dan Diana Amir.

Filem ke-58 terbitan Metrowealth Pictures (MIG) yang mempunyai sedikit suntikan percintaan ala Korea ini mengisahkan seorang wanita bernama Riana (Yana) yang tidak mempercayai lelaki dan cinta dalam hidupnya.

Prinsip Riana amat mudah, cinta hanya membawa sengsara dan semua lelaki tidak berguna pada pandangan matanya. Keadaan ini menyebabkan Riana menetapkan setiap hubungannya dengan lelaki tidak akan lebih daripada tiga temujanji. Selepas tiga temujanji, mereka akan berpisah dan mereka tidak akan berhubung lagi. Dengan cara ini Riana percaya dia akan dapat menikmati keseronokan bercinta tanpa perlu sengsara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: