Tuesday, April 3, 2012

Jaga nilai eksklusif

Sara Ali
Sara Ali
Sara berlakon Jangan Pandang-Pandang kerana sentuhan Ahmad Idham

KETIKA sebilangan pelakon muda seangkatan seakan berlumba menonjolkan diri pada majlis sosial, Sara Ali, 22, lebih selesa menjaga nilai eksklusif dengan lebih banyak menghabiskan masa di rumah sekiranya tiada tugasan di lokasi penggambaran. Baginya, lebih baik membataskan diri daripada muncul tanpa sebarang produk, namun dia tidak akan culas menghadiri sesuatu acara jika ia masih berkaitan kerja terutama pelancaran drama atau filem.“Bukan mahu jual mahal, sebaliknya penonton kini mudah bosan kerana jika seseorang itu mudah dilihat di mana-mana. Bagi mereka, sudah tiada lagi eksklusif artis terbabit yang boleh diikuti jika kerap muncul di majlis-majlis.

“Sebenarnya saya sendiri kurang faham dengan selera masyarakat tempatan yang menyukai seseorang artis itu, kerana rupa atau bakat? Justeru, saya mahu orang menilai kemampuan saya bersandarkan bakat, bukannya kisah peribadi.

“Saya jadikan Maya Karin sebagai contoh. Jika ada produk atau cerita berkaitan kerjaya saja barulah dia muncul. Bagi saya, Maya kurang menonjolkan diri demi menjaga nilai eksklusifnya yang tentu saja membawa impak positif jika dilihat dari aspek lain,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Jangan Pandang Pandang (JPP).

Selain JPP, Sara atau nama sebenar, Siti Sarah Hairi Ali yang disunting sebagai pelakon menerusi Facebook (FB) mula dicungkil bakatnya menerusi Sesuatu Yang Tertinggal kira-kira dua tahun lalu, disusuli Nur Kasih The Movie, Penunggu Istana, Klip 3GP, Songlap serta Azazil.
Benar bagai diluah, mendekatinya yang tampil bersama imej baru dengan berambut pendek sedikit keperangan seakan menyingkap sisi misterinya yang jarang tercalit gosip kecuali pernah dikaitkan dengan Bintang Paling Popular 2010, Shaheizy Sam.

Tampak pendiam, namun hakikatnya Sara rancak berceloteh jika kena tempat dan ketikanya, apatah lagi saat diaju persoalan yang dilihat menjadi topik kesukaan iaitu filem dan pengarahan.

“Saya masih terlalu baru. Banyak perkara perlu saya pelajari termasuk kerja belakang tabir. Bagi saya, proses pembelajaran sentiasa berlaku dalam hidup ini. Lagi pun sampai bila saya mahu berlakon?

“Jika lengkap ilmu di dada, saya mahu duduk di kerusi pengarah suatu hari nanti cuma buat masa ini biarlah saya menimba pengalaman dan ilmu dulu kerana bukan mudah tanggungjawab yang mahu digalas.

“Kalau ikut perancangan, saya mahu menyambung pengajian di bidang perfileman di luar negara seperti di New York Film Academy (NYFA). Bukan pusat pengajian di sini kurang bagus, tetapi belum terbukti lagi graduan perfileman tempatan yang benar-benar menyerlah,” kata pemegang ijazah seni bina di Lim Kok Wing ini.

Mengulas pembabitannya dalam filem arahan Ahmad Idham, Sara berkata, keunikan watak gadis bernama Yana dan kekuatan kisah komedi seram ini selain kredibiliti pengarah itu sendiri membuatkannya tidak sabar menanti maklum balas penonton.

“Ahmad Idham ada sentuhan tersendiri. Bagi saya, jika diberi naskhah komedi, dialah yang paling berkesan mencorakkan filem seperti itu kerana sentuhannya sentiasa menjadi. JPP ialah kisah pengembaraan menarik, apatah lagi penuh dengan cabaran berlakon di dalam hutan.

“Ya, pengalaman ini sesuatu yang berharga. Saya berharap karektor serta komedi situasi yang dibawakan mampu mencuit hati ramai. Apa pun saya sendiri menyukai jalan cerita dan karakter setiap watak,” katanya yang digandingkan dengan Zizan Razak dalam filem yang mula ditayangkan 29 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: