|
SEAWAL pukul 8 pagi seramai 256 orang berduyun-duyun berkumpul di Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor semata-mata untuk bersaing bergelar juara dalam sebuah pertandingan futsal.
Bagaimanapun, ia bukan pertandingan futsal biasa, sebaliknya kejohanan yang dianjurkan oleh Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM itu disertai oleh peserta daripada rumah anak-anak yatim dan pelarian.
Separuh daripada jumlah peserta tersebut merupakan golongan anak yatim, pelarian dan badan bukan kerajaan (NGO), manakala selebihnya terdiri daripada pelajar UiTM serta syarikat-syarikat yang telah menderma.
Sememangnya program seperti Futsal Amal 2012 Piala Muslim Aid itu dapat mendedahkan penghuni rumah anak yatim dan anak pelarian dengan kehidupan masyarakat luar.
Aktiviti rekreasi dan bersukan seperti itu memberi peluang kepada mereka bergaul dan bermesra dengan masyarakat sekali gus membina keyakinan diri.
Barangkali, ia dilihat hanya usaha kecil dan impak yang terhasil sukar untuk diukur, namun sekurang-kurangnya usaha begini dapat membuka jalan supaya mereka memiliki personaliti dan keyakinan diri yang tinggi.
"Program ini dapat menggembirakan anak-anak yatim dan komuniti pelarian yang mengambil bahagian.
"Selain itu, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan taraf kesihatan para peserta kerana saya diberitahu mereka telah berlatih hampir setiap hari menjelang perlawanan," kata Pengurus Pembangunan Program Muslim Aid, Muhammad Kamarulazizi.
Pada program yang tamat pada pukul 6 petang itu, pasukan futsal Badan Kebajikan Siti Khadijah muncul sebagai juara Futsal Amal dengan membawa pulang wang tunai RM1,000, hamper dan medal.
Naib juara pula disandang oleh pasukan futsal Komuniti Pelarian Somalia dengan memenangi wang sebanyak RM700, hamper dan medal.
Bagi Yayasan Ijabah, biarpun tidak dapat memasuki peringkat akhir, mereka berjaya memenangi tempat ketiga dengan hadiah berupa wang tunai RM500, hamper dan medal.
Semua hadiah pemenang merupakan hasil sumbangan syarikat-syarikat persendirian dan individu yang prihatin terhadap nasib anak-anak yatim serta pelarian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: